
HYUNDAI BUKA N PERFORMANCE SHOP, ADA PELBAGAI BARANGAN TERMASUK TOPI KELEDAR LUMBA
Pada Januari 2024 Hyundai membawa model konsep IONIQ 5 N Performance NPX1 yang sarat dengan perkakasan khas ke Tokyo Auto Salon.
Hyundai juga berkongsi rancangan untuk mengembangkan lagi penawaran produk melalui N Performance Parts untuk kesemua model N di peringkat antarabangsa.
Terbaru Hyundai telah membuka kedai dalam talian N Performance Shop yang membolehkan pemilik menaik taraf model N mereka.
Hyundai sudah lama terlibat dalam sukan permotoran seperti yang ditunjukkan di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Sebelum hadirnya i20 N Rally1, Hyundai terlebih dahulu bersaing dengan Coupé pada 1998 dan 1999 dan bertukar kepada Accent WRC dari 2002 sehingga 2003.
Kehadiran semula ke dalam WRC pada 2014 membuahkan hasil apabila Hyundai menjuarai kategori pengeluar sebanyak dua kali pada 2019 dan 2020.
Untuk pengguna di jalanan, Hyundai menawarkan sejumlah model berprestasi seperti i20 N dan Veloster N selain model dengan perkakasan khas N Line.
Menjengah ke laman sesawang N Performance Shop, Hyundai menawarkan perkakasan untuk model N seperti IONIQ 5, Avante, Kona dan Veloster.
Aksesori umum N Line juga ditawarkan dan barangan wajib iaitu pelekat N Performance dijual pada harga 15,000 won (RM52.61).
Di antara perkakasan yang dijual ialah rim 20 inci BRAID pada harga 5,350,000 won (RM18,768). Rim itu mempunyai berat 12.4 kilogram (kg) atau penjimatan 1.1 kg berbanding rim asal.
Satu lagi pilihan dan paling menarik ialah rim 21 inci hibrid karbon Dymag yang dijual pada harga 18,000,000 won (RM63,163) dengan berat keseluruhan 9.9 kg.
Banyak lagi perkakasan menarik seperti spoiler dan palang topang penyerap hentak gentian karbon yang masing-masing dijual pada harga 1,780,000 won (RM6,245) dan 369,000 won (RM1,294).
Hyundai turut menawarkan sistem pengambilan udara yang berharga 420,000 won (RM1,473).
Perkakasan yang ditawarkan lengkap dari sistem brek N Performance, pad brek FERODO, pegas gegelung H&R, tali tunda dan tali pinggang keledar enam sudut Sabelt yang berharga 770,000 won (RM2,701).
Topi keledar pun ada! N-Performance Stilo Venti WRC dijual pada harga 1,550,000 won (RM5,438).