
HYUNDAI E3W DAN E4W CONCEPT DIPERKENAL, KERJASAMA DENGAN TVS, TEKSI RODA 3 VERSI BAHARU?
Bajaj, auto, tuk-tuk atau pelbagai lagi nama merujuk kepada kenderaan kecil roda tiga yang digunakan sebagai pengangkutan awam.
Tidak boleh dipandang remeh, kenderaan ini mempunyai fungsi penting di dalam ekonomi sesebuah negara sebagai objek mobiliti dan sosio ekonomi.
Berpuluh tahun sejak pengenalannya, pelbagai inovasi telah dijalankan termasuk versi elektrik.
Terbaru Hyundai Motor Company turut mengambil bahagian dengan memperkenalkan mobiliti mikro elektrik E3W dan E4W Concept di India.
Selain kenderaan elektrik (EV) satu perkara yang sering disebut di dalam industri adalah mobiliti mikro atau micromobility.
Terma ini merujuk kepada kenderaan pengangkutan kecil dan mesra alam seperti motosikal elektrik dan kenderaan elektrik mikro.
Hyundai mempunyai wawasan untuk menyumbang kepada pengalaman berkenderaan buat pelanggan di India dengan menyebarkan mobiliti mikro yang mesra alam dan selamat.
Ini selaras dengan situasi di India dengan penggunaan mobiliti mikro yang tinggi.
Hyundai mengambil keputusan untuk menilai pengeluaran secara besar-besaran EV mikro tiga dan empat roda yang boleh digunakan di India pada masa depan.
Model konsep tersebut hadir dalam bentuk kompak bagi menyesuaikannya dengan keadaan lalu lintas dan kerumitan jalan raya di sana dan menawarkan keselesaan dan keselamatan yang lebih baik berbanding kenderaan sedia ada.
Di antara ciri-ciri yang dipertingkat seperti ruang penglihatan dan perlindungan pelanggaran melalui cermin besar sudut condong dan lantai rata serta jarak roda lebar untuk keselesaan penumpang.
Lagi ciri praktikal seperti cangkuk tunda dan kerusi boleh lipat untuk pengguna kerusi roda dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pengangkutan, logistik dan penyelamatan kecemasan.
Satu lagi yang menarik ketinggian badan boleh dilaras untuk pemanduan semasa hujan.
Hyundai merancang untuk terus membangunkan mobiliti yang bersesuaian dengan persekitaran setempat termasuk menilai penggunaan cat yang mengurangkan pengaliran haba dan bahan kalis air dan persediaan untuk hujan lebat.
Semasa majlis pengenalan Hyundai turut mengumumkan rancangan untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan, TVS.
Kedua-dua syarikat akan menilai rancangan untuk membekalkan mobiliti mikro dengan Hyundai menyediakan keupayaan teknologi dan pengetahuan berkaitan seperti reka bentuk dan pembangunan kenderaan.
Hyundai akan turut berkongsi tentang reka bentuk berdasarkan pengalaman menghasilkan kenderaan siap manakala TVS bertanggung jawab di dalam pengeluaran dan penjualan.
Selain itu, berdasarkan keupayaan dan sumber teknologi yang banyak di India, Hyundai merancang untuk membangunkan dan menghasilkan mobiliti mikro termaju secara tempatan.
Pada masa yang sama menyumbang kepada peningkatan sistem pengangkutan tempatan dan memajukan pengeluaran.



