Motosikal

TVS APACHE RTR200 4V RACEEDITION – CBU INDIA, SLIPPER CLUTCH, TOP SPEED 129KM/J, RM10,950 SEUNIT

Daju Motors Sdn. Bhd. (Daju Motors) hari ini melancarkan model naked terbaharu ke pasaran tempatan, TVS Apache RTR200 4V RaceEdition dan kapcai NEO X3i.

Sebagaimana yang diketahui, TVS merupakan jenama motosikal dari India milik syarikat TVS Motor Company yang beribu pejabat di Chennai.

Sebelum ini, TVS menjadi semakin popular apabila menjalin kerjasama dengan BMW Motorrad untuk menghasilkan model touring BMW 310GS dan naked BMW G310R.

BMW 310GS telahpun dibawa masuk oleh BMW Motorrad Malaysia, dengar kata sambutannya memang hangat. Tetapi ia kini didakwa mengalami masalah permintaan yang melebihi penawaran.

Ok, berbalik kepada TVS Apache RTR200 4V Race Edition. Ia merupakan versi tambah baik daripada model RTR200 standard. Motosikal itu mula dipasarkan di pasaran India sejak tahun 2000 dan menjadi pesaing sengit kepada model Bajaj Pulsar.

Keluarga Apache bermula dengan TVS Apache 150, sebelum dikembangkan kepada empat model bersama beberapa varian. TVS Apache RTR 200 dilihat sebagai motosikal sub 200cc terbaik di India buat masa sekarang.

Dari segi penampilan, TVS Apache RTR200 4V RaceEdition tampil dengan elemen yang menjadikannya lebih sporty dan mewah. Komponen yang dimaksudkan termasuklah  flyscreen di hadapan, lampu utama LED dengan rekaan tajam dan pelekat Race Edition baharu.

Fork dipasang dengan penutup. Manakala tangki minyak berkapasiti 12 liter yang didatangkan bersama garis-garis tajam dikekalkan. Bahagian belakang pula diserlahkan dengan lampu LED dan pemegang.

Motosikal streetfighter ini menggunakan khidmat enjin SOHC bersesaran 197.75cc dengan sistem penyejukan cecair. Mampu menjana kuasa sehingga 20hp dan tork 18.1Nm, ia kemudian dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan.

Kombinasi tersebut membolehkan pecutan maksimum 129km/j Dari segi penggunaan minyak pula, ia mencatat sekitar 43km bg setiap liter petrol.

Penunggang boleh mengharapkan tunggangan yang selesa kerana jentera itu menggunakan suspensi fork teleskopik 37mm (depan) dan KYB monoshock di belakang.

Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera bersaiz 270mm di depan dan 240mm di belakang. Kedua-dua rim 17 inci itu dibalut dengan tayar Pirelli bersaiz 90/90 (depan) dan 130/70 (belakang).

Sisi sporty TVS Apache RTR200 4V Race Edition semakin terserlah apabila dilengkapi slipper clutch anti-reverse torque (A-RT), pertama dalam kelasnya. A-RT bukan sahaja mengurangkan kesan brek enjin ketika gear diturunkan secara agresif, malah membuatkan penukaran gear lebih lancar berbanding model biasa.

Maklumat tunggangan seperti dipaparkan pada paparan instrumen digital sepenuhnya.

TVS Apache RTR200 4V RaceEdition didatangkan dalam lima warna menarik iaitu hitam, merah, putih, kelabu dan hitam matt. Harga yang ditawarkan ialah RM10,950 seunit.

GALERI 

Google ads
"
"
Back to top button