
HYUNDAI ELANTRA FACELIFT 2019 – REKAAN TAJAM DAH MACAM SEAT/AUDI
Hyundai baru-baru ini memperkenalkan model facelit sedan Elantra 2019 yang tampil dengan reka bentuk lebih menarik.
Dijangka dijual pada lewat tahun ini, sedan tersebut nyata menerima penambahbaikan signifikan dari setiap segi. Penampilannya dipertingkatkan menerima fascia hadapan lebih tajam, lampu utama berbentuk tiga segi dan gril radiator baharu.
Pasukan reka bentuk Hyundai dilihat memberi perhatian khusus pada rekaan luaran baharu ini. Bahagian belakang menerima bampar baharu, lampu nipis dan spoiler untuk memberikan gayaan lebih dinamik.
Ruang kabin juga diberi proses naik taraf yang signifikan dengan kluster instrumen dan butang kawalan lebih ergonomik. Sistem infotaimen terdiri daripada AVN versi 5.0 terbaharu yang tampil dengan paparan bersaiz lapan inci dan pemproses lebih laju. Sistem itu menawarkan menu lebih baik dan panda kamera 360 darjah.
Hyundai menawarkan tiga pilihan enjin untuk Elantra. Di pasaran Amerika Syarikat, varian Elantra SE, SEL dan Limited dikuasakan oleh enjin bersesaran 2.0-liter Atkinson-cycle yang mampu menghasilkan kuasa 147hp.
Varian Elantra Eco didatangkan dengan enjin turbo 1.4 liter berkuasa 128hp. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan.
Enjin ketiga ialah 1.6 liter turbo empat silinder yang menggunakan kotak gear enam kelajuan manual atau klac berkembar tujuh kelajuan automatik. Enjin itu akan ditawarkan secara eksklusif pada Elantra Sport dengan gayaan berbeza dan bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini.
Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi barisan ciri SmartSense. Ini termasuklah Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keep Assist dan Driver Attention Alert. Pengguna boleh memilih varian yang dilengkapi sistem tambahan seperti Forward Collision-Avoidance Assist dengan Pedestrian Detection, Safe Exit Assist, Lane Change Assist dan Blind-Spot Collision Warning dengan Rear Cross-Traffic Alert.
GALERI