
HYUNDAI i30 N LINE – YANG INI MACAM VW GOLF R LINE
Hyundai ini bijak juga. Bukan juga tetapi memang bijak pun. Walaupun nampak macam Kia lebih ke hadapan tetapi hakikatnya ia adalah subsidiari kepada Hyundai.
Pada bulan Julai tahun lepas Hyundai telah melancarkan lawan Golf GTI iaitu i30 N. Untuk projek ini Hyundai memang fokus habis apabila melantik Albert Biermann yang merupakan bekas Pengarah BMW bahagian M Division.
i30 N memang padu, enjin 2.0 T-GDi empat silinder dengan 247bhp dan 260 paun tork.
Jika dikira berdasarkan sambutan pula, model ini memang menjadi apabila i30 N First Edition sebanyak 100 unit di Jerman habis dalam masa dua hari sahaja.
Okay, i30 N memang nak lawan VW Golf GTI pun dan tidak terhad setakat itu. Dalam varian VW Golf ada R Line dan tahukah anda Hyundai baru sahaja melancarkan i30 N Line pada 19 Julai lalu untuk pasaran Eropah.
Model R Line ini kiranya untuk pelanggan yang mahukan Golf yang nampak sporti macam GTI tapi tidak mahukan prestasi macam GTI. Di negara kita pun ada jual Golf R Line.
i30 N Line pun sama juga dan ia merupakan model Hyundai pertama yang ditawarkan dalam varian ini.
Bahagian luaran N Line ini mempunyai beberapa persamaan dengan i30 N dan menariknya terdapat juga beberapa perubahan lain.
Tidak tertumpu pada bahagian komestik sahaja, Hyundai telah menala semula suspensi, brek dan respon enjin supaya sepadan dengan rupa.
Di bawah ialah beberapa lagi ciri-ciri Hyundai i30 N Line:
- Ada dua pilihan enjin iaitu 1.4 liter T-GDI 140 PS dan 1.6 liter CRDI diesel 136 PS. i30 N didatangkan dengan enjin 2.0 T-GDI
- Bamper depan dan belakang seiras i30 N dengan garisan berwarna perak sebagai identiti N Line
- Roda aloi 18 inci
- Muncung ekzos berkembar
- Pilihan kerusi balutan suede jenama N
- Tombol gear N
- Tayar PS4 Michelin Performance
- Brek yang lebih besar berbanding model standard
Walaupun tidak sepantas i30 N tetapi yang ini pun sudah memadai untuk pelanggan yang mahukan sebuah kereta dengan ciri-ciri sporti dan bukan terlampau keras. Kira sesuai untuk pemanduan harian sebab penggunaan minyak pun tidak tinggi sangat.
Apa yang lebih menarik ialah Hyundai kini bukan sahaja mensasarkan jenama Jepun tetapi memasuki sempadan VW. Yang ini padu.
BACA: HYUNDAI PERKENAL i30N – 271HP UNTUK MENENTANG CIVIC TYPE-R (DAN GOLF GTi)
BACA: HYUNDAI i20 R5 – KERETA LUMBA MESRA BAJET KOREA YANG HANDAL