HYUNDAI LABUR RM2.16 BILION UNTUK KILANG DI KULIM
Hyundai Motor bakal membuka kilang pertamanya di Malaysia tahun depan dengan pelaburan bernilai RM2.16 bilion, sekali gus menandakan pelaburan terbesar pengeluar automotif Korea Selatan itu di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyatakan kilang yang akan didirikan di Kulim, Kedah itu dijangka membawa banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Ini adalah pelaburan besar. Sebanyak tujuh model kereta akan dihasilkan dalam tempoh lima tahun. Kilang ini akan memulakan operasi tahun depan,” katanya kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup dengan konglomerat Korea Selatan, Hyundai Motor dan OCI Holdings, sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Anwar dan delegasi tiba di Seoul malam tadi untuk lawatan rasmi selama tiga hari, yang bertujuan mempereratkan kerjasama ekonomi, teknologi, dan perdagangan.
Tahun depan, Malaysia dan Korea Selatan akan meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik.
Pelaburan Hyundai ini bukan sahaja dijangka meningkatkan keupayaan industri automotif tempatan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi hijau di Malaysia. – The Star
- BACA: HONDA PASSPORT TRAILSPORT BAHARU – LEBIH GARANG DAN RUGGED UNTUK MASUK HUTAN
- BACA: BMW F 900 R DAN BMW F 900 XR 2025, LEBIH RINGAN, CIRI ASAS BERTAMBAH
- BACA: PORSCHE CARRERA T CABRIOLET DAN COUPÉ 2025, 394PS/450NM, MANUAL SAHAJA
- BACA: XPENG G6 – PILIHAN LEBIH BAGUS, LEBIH MURAH, LEBIH CANGGIH?