
HYUNDAI RN24 JADI MAKMAL BERGERAK, 641 PS DENGAN BADAN TERBUKA, TANPA BUMBUNG
Apabila Hyundai mengeluarkan sejumlah model berprestasi N, pengeluar dari Korea itu tidak kosong.
Hyundai sejak sekian lama berentap di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan dua kali menjuarai kategori pengeluar. Hyundai juga terlibat di dalam perlumbaan kereta penumpang (touring).Â
Tidak setakat bermain dengan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE), Hyundai tampil dengan kenderaan elektrik (EV) Ioniq 5 N.
Kesungguhan Hyundai di dalam dunia berprestasi diserlahkan lagi melalui RN24.
Hadir tanpa panel badan penuh dan bumbung, RN24 merupakan makmal bergerak (rolling lab) yang menunjukkan potensi masa depan kenderaan elektrik berprestasi tinggi.
Hyundai sebelum ini tampil dengan beberapa makmal bergerak seperti RM (Racing Midship) pada 2012, EV RN22e dan N Vision 74 yang berfungsi sebagai tapak ujian (testbed) teknologi prestasi tinggi.
RN24 mempertontonkan wawasan Hyundai N untuk masa depan yang terdekat dan adakah ini bayangan projek baharu?
Projek ini adalah manifestasi kepada hasrat untuk memuatkan rangkaian kuasa EV paling berkuasa dalam pakej sekecil mungkin.Â
Hyundai N menggunakan sistem kuasa elektronik (PE) dua motor dari Ioniq 5 N yang berkuasa 650 ps.
Casis yang digunakan RN24 diinspirasi dari WRC.
Rangka keselamatan tanpa panel badan atas bukan sahaja melindungi pemandu tetapi juga berfungsi untuk kestabilan kereta di dalam aksi kelajuan tinggi.
Rim 19 inci Elantra N warna hitam kusam menambah tarikan selain spoiler yang diambil dari Kereta Lumba Touring (TCR) Hyundai Motorsport.
Spoiler ini meningkatkan prestasi aerodinamik, kelincahan dan kestabilan. Hyundai N turut menggunakan perkakasan dari cetakan tiga dimensi untuk ketegaran yang lebih baik dan pengurangan berat.
Pek bateri 84 kilowatt-jam (kWj) juga diambil dari Ioniq 5 N dan telah direka semula untuk dimuatkan pada casis dengan jarak roda 340 milimeter (mm) lebih pendek.
Ukuran itu meletakkan RN24 di dalam saiz segmen B dan setara jentera lumba i20 N Rally1 Hybrid WRC.
Ampaian RN24 direka baharu ala WRC dengan penyerap hentak spesifikasi rali dan subkerangka berketegaran tinggi.
Sistem Logik Kawalan Pemacu Rangkaian Kuasa pada RN24 membolehkan pemandu melaras kuasa PE, sensitiviti pecutan dan brek regeneratif dan keseimbangan kuasa PE melalui butang pada stereng.
Kefungsian itu sama seperti ciri-ciri kawalan pada kereta WRC Hyundai. Prestasi penyejukan bateri dan motor pula dipastikan berkesan dengan pengubahsuaian pada sistem Ioniq 5 N.
Aksi yang lebih lincah dicapai melalui tetapan stereng yang memberikan tahap tindak balas seperti kereta rali.
Mod Rali mengoptimumkan pembahagian daya kilas pada semua roda dan seperti sistem pacuan empat roda yang digunakan pada i20 N Rally1.
Teknologi mekanikal pada jentera rali itu disimulasi oleh Mod Rali RN24 melalui kawalan elektronik daya kilas motor.
e-Handbrake adalah satu lagi teknologi yang diinspirasi dari penglibatan Hyundai N selama satu dekad di dalam WRC.
Teknologi ini mengurangkan berat kerana tidak memerlukan brek fizikal untuk beberapa fungi dan baru-baru ini telah diuji di peringkat perlumbaan WRC.
Berbekalkan segala ciri hebat, bagaimana pula dengan bunyi ekzos yang tidak wujud pada EV? Pengeluar sudah pun mempunyai jawapannya.
Untuk RN24, sistem bunyi output tinggi dipasang dengan dua pembesar suara dan tambahan kepada tetapan Active Sound+ Ioniq 5 N.
Runut bunyi RN24 dilaungkan melalui dapra belakang yang berfungsi sebagai kotak audio.





