
HYUNDAI SANTA FE 1.6TGDI HYBRID, BAPAK SCAMMER
Kumpulan Kia-Hyundai menjual sekitar 7.23 juta unit kenderaan pada tahun 2024 sekaligus berada pada kedudukan ke 3 di peringkat global. Bagi model Hyundai Santa Fe, ia merupakan sebuah SUV bersaiz sederhana dengan sekitar 280,000 unit terjual di peringkat global
Walaupun model terbaru telah diperkenalkan, pasaran kita hanya menerima varian facelift generasi ke 4 pada bulan September 2024. Jadi untuk berlaku adil, ia masih dikira sebagai sebuah model baru yang telah dinaik taraf dengan banyak perkakasan dan bukan sekadar menukar bampar dan rekabentuk luaran semata-mata
Pada hemat penulis, walaupun dinamakan sebagai kenderaan yang dinaiktaraf Hyundai Santa Fe 2024 ini sebenarnya sarat dengan teknologi. Jangan biarkan logo hybrid dan rupa paras Santa Fe memperdayakan anda
Pertama Hyundai memilih untuk menggunakan platform baru dikenali sebagai Hyundai N3 platform yang serba baru, menawarkan penggunaan keluli tegangan tinggi untuk menghasilkan cesi, sub kerangka, ruang enjin dan juga lantai kabin

Pada masa sama, platform baru ini menawarkan pekali geseran yang rendah menurun daripada 0.34 kepada 0.33 dengan rekaan yang dioptimumkan. Rekaan luar Hyundai Santa Fe masih menggunakan rekaan lama Sensous Sportiness namun jeriji depan menerima rekaan terbaru Cascading Grille
Apabila diapit dengan rejaan lampu depan dan diberikan nafas baru melalui rekaan DRL berbentuk T, bagi penulis ia menyerlahkan lagi nilai premium yang ada pada Santa Fe facelift ini. Ditambah pula dengan penggunaan rim 19 inci 5 spoke berbentuk bintang, rekaan sebegini memang nampak kemas di mata sasaran pelanggan yang berumur pertengahan 30 an sehingga 40 an
Paling menarik jika Santa Fe ditenung dari sudut bucu kiri atau kanan belakang, garisan bahu nampak tegap memanjang dan bersambung dengan garisan pintu belakang yang ditajamkan seolah-olah meminjam prinsip rekaan BMW

Untuk kemasan di belakang, Santa Fe versi facelift diberikan lampu reflektif yang baru memanjang di pintu belakang dan juga kemasan bampar bawah yang lebih menarik. Pendek kata, susah kalau orang awam nak cam kereta apa kalau tak tengok logo Hyundai
Pintu belakang juga hanya memaparkan perkataan Hybrid sahaja, menyebabkan ramai pemandu terpedaya dengan keupyaan sebenar Santa Fe yang dipasang dengan enjin turbo
Namun perubahan sebenar terletak di ruangan enjin, dengan penggunaan platform N3 yang baru membenarkan Hyundai mengenepikan enjin lama bagi memberi ruang kepada trenkuasa hibrid serba baru

Enjin petrol 2.4 aspirasi normal ditamatkan dan digantikan dengan 2 varian hibrid, yang menerima khidmat enjin hibrid 1.6 TGDi dengan teknologi hibrid parallel. Enjin turbo ini sahaja menjana 180PS dan 265Nm tork manakala motor elektrik dipasang dalam kotak gear menjana 60PS dan 264Nm tork
Motor elektrik ini menerima kuasa dari bateri hibrid 1.49kWh dipasang dalam ruang kargo dan sistem ini menjana kuasa keseluruhan 230PS dan 350Nm tork. Anda bayangkan anda boleh memilih sebuah SUV segmen D, 7 tempat duduk pada harga permulaan RM 185,000 sahaja.
Turut menerima pembaharuan ialah rombakan di bahagian dalam dan susunan papan pemuka Santa Fe dengan teknologi “shift by wire”. Ini membenarkan Hyundai menggunakan sistem penukaran gear tanpa penggunaan sistem mekanikal yang kompleks dan ruang dibawah tombol gear boleh digunakan untuk meletak barang.

Skrin multimedia dibesarkan dari 7 inci menjadi 8 inci lengkap dengan sistem Android Auto dan Apple Car Play tanpa wayar. Turut disertakan ialah ruang pengecasan telefon tanpa wayar dan juga lampu kabin pelbagai pilihan warna di bahagian depan
Konsol tengah pula menempatkan segala butang fizikal bagi mengaktifkan semua ciri yang ditawarkan termasuklah ciri pengudaraan dalam kusyen, kamera 360 darjah dan semua ciri penyaman udara yang sangat senang untuj dicapai dan digunakan
Pemandu pula menerima skrin sebesar 12.3 inci lengkap dengan ciri Head Up Display yang turut memaparkan amaran titik buta pada sistem HUD. Hanya rekaan corong penyaman udara sahaja yang kelihatan tidak kena pada mata penulis.

Kusyen di ruangan tengah boleh dilipat 60:40 untuk memberi ruang bagi memudahkan penumpang masuk ke bahagian belakang. Terdapat 5 poin USB disediakan, 2 soket 12 volt dan satu soket 220v bago kemudahan pengguna
Namun penulis mendapati poin ISOFIX agak sukar diakses dan corong penyaman udara barisan kedua berada di bawah, kurang ideal untuk anda yang menggunakan baby seat. Bagi penumpang barisan ke 3, ia ditawarkan dengan 2 corong penyaman udara dan alat kawalan penyaman udara tersendiri
Sekiranya 7 tempat duduk digunakan, ruang bagasi dihadkan kepada 130 liter sahaja dan pemasangan jaring bagi mengelakkan beg anda jatuh amat diperlukan. Namun ruang bagasi ini boleh dibesarkan menjadi 634 liter bila kusyen barisan ke 3 dilipat atau 2396 liter bila kusyen barisan kedua direbahkan

Ruang kaki barisan ke 3 sebenarnya agak terhad, lebih sesuai untuk didiami oleh kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Apatah lagi Hyundai menegaskan ruang di barisan ke 3 sebenarnya lebih sesuai untuk digunakan sekali sekala sahaja
Sebaik sahaja memijak pedal, Santa Fe akan menggunakan bateri dan motor elektrik sebagai penggerak utama. Malah jika anda melepaskan pedal minyak pada halaju lebuhraya sekalipun, enjin akan dimatikan dan motor elektrik mengambil alih kerja
Semuanya berlaku dengan harmoni dan lancar bagaikan memandu sebuah SUV berkuasa petrol seperti biasa. Malah kalau anda tidak ambil pusing atau tidak melihat meter, anda tak tahupun adakah Santa Fe menggunakan petrol ataupun motor elektrik
Hyundai menyatakan purata penggunaan bahan api adalah sekitar 16.67km/l dengan bacaan terbaik penulis adalah sekitar 16.2km/liter. Satu tangki penuh membolehkan Santa Fe dipandu sejauh 970km jika anda memandu secara berhemah

Ramai juga pemandu lain yang cuba menduga keupayaan Santa Fe baik di lebuhraya ataupun di jalan berbukit. Semuanya disebabkan perkataan “HYBRID” yang tertulis dengan nyata, memberikan imej Santa Fe sebagai kereta lemau
Namun sekali lagi Santa Fe memperdayakan ramai pengguna jalan raya yang lain, gabungan sistem turbo dan hybrid adalah sangat buas dan “brutal”. Mungkin pecutannya tidak sehebat kereta elektrik
Tapi sudah cukup untuk membuatkan tayar Goodyear F1 Eagle SUV berkokok di lampu isyarat. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 8.9 saat manakala halaju tertinggi ialah 185km/jam dan penulis sahkan ia sekali lagi memperdayakan penulis dan boleh pergi lebih laju. Noktah.

Pada semua keadaan, enjin akan sentiasa dihidupkan dalam mode ECO, iaitu mode paling lemau. Kebanyakan rakan dan ahli keluarga penulis yang mencuba memberikan komen bahawa Santa Fe terasa sangat lemau dalam mode ini
Kebanyakan masa penulis akan menggunakan mode SMART ataupun Power sewaktu mendaki dan memotong kereta, lori dan kenderaan berat. Kalau setakat enjin 1.5 turbo atau 1.0 turbo, usah buang masa dan segeralah ke lorong kiri.
Dalam mode Power, penulis juga perasan bateri hybrid semakin cepat dicaj dan pada masa yang sama motor elektrik bekerja dengan lebih keras. Gear juga pada RPM yang tinggi mencecah 5000 ke 6000 RPM

Cuma sayangnya transmisi 6 kelajuan ini bukan ditala untuk pemanduan agresif, dengan kadangkala ia tidak mahu menurunkan gear seperti yang dikehendaki oleh penulis. Mungkin ia direka supaya tidak terlalu membebankan motor elektrik
Satu lagi kelemahan Santa Fe yang boleh dimaafkan ialah “stering feel” yang terlalu lembut walaupun dipandu dalam mode Power. Penulis lebih sukakan sterimg yang sedikit tegap terutama ketika melayan selekoh berbukit di laluan Grik-Jeli
Rasa stering OK sahaja jika anda pemandu biasa, tidaklah seteruk Proton X90 tapi pada masa sama tidak dapat memberikan rasa yang setara seperti stering yang digunakan oleh Honda CR-V e:HEV

Sebagai bekas pemilik kereta Hyundai, satu lagi aspek yang berjaya merekod markah cemerlang ialah sistem gantungan McPherson dan Multi-link yg digunakan. Ia bukanla benda baru bagi Hyundai tapi jurutera Hyundai banyak belajar daripada Albert Biermann mengetuai Hyundai satu ketika dulu
Kalau dulu, suspensi Hyundai terasa bersepah sepah. Tapi ketika memandu pulang berhari raya dan menghabiskan masa 12 hari memandu, penulis boleh senyum dengan prestasi dan talaan suspensi Santa Fe
Biarpun tidak menggunakan suspensi aktif, ia tidak terlalu keras dan pada masa sama tidak terlalu lembut seperti Jaecoo C9 ataupun Alphard. Jalan beralun di kawasan kampung menawarkan rasa premium manakala selekoh tajam membuatkan adrenalin kita mengalir deras

Untuk sebuah SUV, talaan spring dan penyerap hentak Santa Fe sangat cemerlang dengan kawalan cesi meyakinkan penulis. Tambahan pula aspek NVH juga berjaya dipertingkatkan oleh Hyundai dengan bacaan purata 56dB pada halaju 110km/jam
Dalam aspek keselamatan, semua varian meneriam ciri keselamatan yang penuh dan sama. Sistem Hyundai Smart Sense menawarkan ciri Front Collision Braking, Blind Spot Collision Braking, dan juga Rear Cross Collision braking serta amaran membuka pintu dan peringatan penumpang belakang
Hanya sistem Auto High Beam sahaja bagi penulis tidak memadai dan patut digantikan dengan ciri lampu depan adaptif. Bagi varian turbodiesel dan Hybrid Max, Santa Fe dipasang dengan ciri Blind Spot View monitor
Untuk berlaku adil penulis senaraikan 2 perkara yang tidak disukai oleh penulis. Pertama ruang kargo adalah kecil, 130 liter apabila semua tempat duduk digunakan. Kedua ialah kusyen barisan ke 3 dipasang terlalu rendah, bagi menawarkan ruang kepala yang bagus

Keadaan ini menyebabkan kaki penumpang akan naik ke atas seperti mencangkung apabila duduk di sini. Namun ini adalah kelemahan yang wajar anda terima jika anda mahu membeli Hyundai Santa Fe Hybrid
Ia adalah SUV segmen D 3 baris tempat duduk, 7 penumpang dengan teknologi enjin turbo yang berkuasa dan sistem hibrid yang menjimatkan. Harga yang diminta iaitu RM 185,000 bagi varuan Plus dan RM 205,000 adalah harga yang sangat wajar untuk dpertimbangkan sebagai SUV anda yang baru



