INILAH MEJA POOL HYPER DARIPADA BUGATTI – BAGI SINI SEMUA BORANG MLM SEKARANG JUGAK
Jika anda seorang billionaire dengan kekayaan melampau macam dalam mimpi kami, semestinya anda menaiki jet peribadi dan melawat Bugatti untuk membeli sebuah kereta baharu bila teringin. Bugatti memang merupakan pengeluar kenderaan terkenal dari Perancis yang sentiasa dikaitkan dengan kereta-kereta terhebat di muka bumi ini.
Menariknya produk terbaru Bugatti bukannya hypercar tetapi meja pool. Semestinya ini bukan meja pool sembarangan yang ada di kelab-kelab rekreasi tapi ianya dihasilkan dengan material dan kemasan yang setanding dengan hypercar termahal di dunia ciptaan mereka.
Kemampuan dan kehebatan kejuruteraan Bugatti membolehkan mereka menghasilkan kereta-kereta yang hanya golongan ultra-kaya mampu miliki. Tengoklah hypercar Bugatti Chiron (betullah kami suruh tengok je). Ia merupakan sebuah objek bergerak yang paling mahal di dunia dan menjadi dambaan golongan berkemampuan menunggu untuk membayar jutaan USD untuk memilikinya. Kenapa? Sebab ia sesuatu yang eksklusif.
Chiron yang dikuasakan enjin quad-turbo W16 adalah lagenda jentera dengan enjin pembakaran dalaman sebelum era proses elektrifikasi kenderaan bermula. Tak ada dah kereta lain yang sehebat Chiron dengan enjin yang besar gedabak macam ni.
Falsafah yang sama juga diterapkan oleh Bugatti sewaktu mereka menghasilkan meja pool ini. Menurut mereka hanya material terbaik sahaja dipilih untuk digunakan dalam penghasilannya.
Jadi apakah bahan-bahan yang menjadi ramuan mereka? Tak banyak sebenarnya. Gentian karbon, bilet aluminium dan aniline leather (bukan kulit biasa-biasa tapi kulit haiwan yang paling tinggi kualiti, cukup lembut dan dihasilkan dengan proses tradisi yang cukup teliti di Jerman). Kulit ini digunakan pada semua bahagian yang ‘disentuh’ bola pool.
Malah kerangka meja pool ini menggunakan aluminium CNC yang kemudian digilap sehingga berkilauan seperti cermin. Ia kemudian dilindungi dengan panel-panel badan yang dihasilkan daripada gentian karbon. Laa… dah buat cantik-cantik kenapa ditutup pulak?
Meja ini kemudian distabilkan oleh gyroscope binaan dalaman supaya ia cukup rata sekalipun jika ia diletakkan di atas yacht. Malah sistem kestabilan ini cuma memerlukan masa 5 saat sahaja untuk beroperasi dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi.
Bola-bola pool kemudian disusun menggunakan kamera artificial vision Keyence IV-500CA untuk memastikan ianya berada dalam petak yang tepat untuk memudahkan pemain menggunakannya.
Kayu pool mana kayu pool? Jangan bimbang kayu pool pun disertakan sekali siap dengan blok kapur. Keduanya juga dihasilkan secara custom oleh Bugatti dan jugak dihasilkan daripada gentian karbon. Kapur tu tetap kapur betul la takkan nak letak serbuk gentian karbon. Calar nanti meja boh.
Limited edition tak meja pool ni? Itu sudah tentu kerana Bugatti cuma akan menghasilkan 30 unit sahaja meja ini.
Macam mana dengan pengeluar lain? Apa kata Proton cuba keluarkan papan congkak edisi khas lepas ni. Perodua pula boleh keluarkan gasing gentian karbon. Okey tak?