Buletin

HYUNDAI TERIMA LEBIH 236K PERTANYAAN TENTANG IONIQ 5. PALING TINGGI SETAKAT INI

Hyundai dilaporkan sangat gembira dengan penerimaan orang ramai terhadap model elektriknya, Ioniq 5 apabila mengumumkan jentera itu sudah menerima lebih 236,000 pertanyaan daripada pelanggan di Eropah.

Itu merupakan angka pertanyaan yang paling tinggi pernah direkodkan oleh sebuah model baharu Hyundai.

Malah, 3,000 unit model edisi khas Hyundai Ioniq 5 ‘Project 45’ sudah hampir tiga kali ganda terlebih langganan dalam tempoh 24 jam pertama sebaik sahaja tempahan dibuka.

Ioniq 5 merupakan model pertama Hyundai yang dibina berasaskan kepada seni bina khusus untuk EV. Ia juga menjadi model pertama untuk sub jenama Ioniq.

“Minat yang luar biasa tinggi terhadap Ioniq 5 membuktikan keupayaan Hyundai dalam mobiliti emisi sifar. Dengan pengecasan ultra pantas, jarak perjalanan yang jauh dan ruang dalaamn boleh ubah, Ioniq 5 sememangnya mencipta satu penanda aras baru dalam kelasnya.

“Semua karekteristik ini jelas menarik minat sejumlah besar pelanggan di Eropah,” kata Naib Presiden Hyundai Motor Europe, Andreas-Christoph Hofmann.

Hyundai Ioniq 5 bakal ditawarkan dengan dua pilihan pek bateri, 58kWh dan 72.6 kWh serta dua motor elektrik berkembar. Varian paling berkuasa menawarkan janaan sehingga 302hp dan pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.2 saat.

Jika mahukan jarak pemanduan paling jauh, pelanggan perlu memilih versi motor tunggal dengan pek bateri 72.6 kWh. Ia dikatakan mampu memberi jarak sehingga 480km mengikut kitaran WLTP.

Model asas menampilkan motor elektrik tunggal dengan pek bateri 58kWh berkuasa 167hp dan tork setinggi 350Nm.

Satu lagi ciri menarik pada crossover elektrik itu ialah pengecasan pantas 800 volt. Apabila disambungkan dengan pengecas 350kW, Ioniq 5 boleh dicaj dari 5 hingga 80 peratus dalam masa cuma 18 minit. Manakala pengecasan selama lima minit menawarkan jarak sejauh 100km.

Ioniq 5 ‘Project 45’ akan menjadi varian pertama memasuki produksi dan diserahkan kepada pelanggan di Eropah pada pertengahan tahun ini.

Ia menawarkan hampir semua yang diinginkan oleh pelanggan seperti bumbung solar dan rim aloi bersaiz 20 inci.

Google ads
Back to top button