Buletin

IBU PEJABAT TESLA RASMI DIBUKA – BERPERANAN SEBAGAI PUSAT SEHENTI

Tesla Malaysia hari ini secara rasmi membuka ibu pejabatnya di Malaysia, yang terletak di Cyberjaya.

Bangunan berkeluasan 55,000 kaki persegi itu turut memuatkan pusat pameran, jualan dan penghantaran kereta pelanggan, ruang kerja, sistem pengecas super bagi kegunaan dalaman serta pusat servis.

Tesla turut mengumumkan model 3 akan mula dihantar kepada pelanggan pada hujung tahun ini manakala model Y, pada awal tahun depan.

Model 3 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi dan ditawarkan pada harga bermula RM189,000 untuk varian pacuan roda belakang (RWD).

Turut hadir di majlis perasmian tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut beliau, pembukaan ibu pejabat Tesla ini bukan sahaja sebagai lembaran baharu jenama itu di negara ini, malah meluaskan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

“Ini juga selari dengan komitmen serta usaha kerajaan dalam meluaskan lagi proses kemampanan dan kelestarian alam sekitar menerusi skim Peneraju Global Battery Electric Vechicle (BEV),” katanya.

Tambahnya lagi, ia bukan sahaja syarikat sebagai proses jual beli kenderaan, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat di Malaysia.

Ibu pejabat Tesla terletak di Cyberview 23A, Persiaran APEC, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Selangor, dibuka dari Isnin – Jumaat (9 pagi – 6 petang) sementara hari Sabtu dan Ahad beroperasi bermula pukul 10 pagi sehingga 7 malam.

Google ads
Back to top button