
INI 10 KERETA PALING LARIS DI DUNIA PADA TAHUN 2022. TOYOTA MENDONIA
Jika anda rajin, anda boleh buat semakan pantas ke laman sesawang Statista.com bagi menyemak 10 model kereta paling laris jualannya pada tahun 2022 dan jangan terkejut kerana kebanakan kereta yang paling laris di dunia ialah Toyota.
4 daripada 10 model yang terlaris di dunia ialah Toyota menjadikan jenama ini sebagai salah jenama terlaris di dunia. Berikut ialah senarai penuh model terlaris di dunia pada tahun 2022.
1. Toyota Corolla – merupakan kereta paling popular di dunia dengan 1.12 juta unit Corolla terjual pada tahun 2022. Memasuki generasi ke 12, Corolla E210 dipasang serata dunia dengan pilihan sedan 4 pintu, hatchback 5 pintu dan juga wagon 5 pintu.
Corolla dibina atas platform serba baru TNGA-C ini menawarkan suspensi double wishbone pada roda belakang dengan pilihan enjin 1.2 turbo, 1.5 aspirasi Normal Dynamic Force, 1.6, 1.8 dan juga 2.0 bagi varian paling berkuasa. Varian paling ekonomi ialah 1.8 hibrid dan 2.0 hibrid
2. Toyota RAV4 – sebanyak 840,000 unit SUV generasi ke 5 ini terjual di seluruh dunia. Ia dibina dengan menggunakan platform TNGA-K yang turut dikongsikan dengan Camry dan juga Toyota Harrier ditawarkan dengan enjin 2.0 NA Dynamic Force, 2.5 NA, dan juga pilihan enjin hibrid 2.5
Bagi pasaran China, varian plug-in hibrid turut ditawarkan kepada pengguna. Model generasi ke 5 ini juga ditawarkan dengan sistem Dynamic Torque Vectoring AWD bagi memudahkan pemilik meredah laluan sukar.
3. Ford F-Series – orang Amerika sangat sukakan kenderaan besar yang melahap bahan api, sebagai contoh trak F-150 boleh digunakan dan disesuaikan untuk semua keperluan pengguna di sana. Ia boleh direka dengan mewah dengan kemasan dalam dibalut kulit atau direka untuk kegunaan kerja buruh. Maka ia menjadi pilihan pembeli dengan jumlah jualan seluruh dunia ialah 790,000 unit.
F-150 juga ditawarkan dengan pelbagai varian trenkuasa samaada diesel ataupun trenkuasa hibrid serta terdapat model khusus untuk elektrik sepenuhnya yang diberi nama Lightning. Enjin paling kecil ialah 2700cc turbo berkembar EcoBoost manakala enjin paling besar ialah 5200cc V8 Raptor.
4. Tesla Model Y – sebanyak 760,000 unit EV ini berjaya dijual sepanjang tahun 2022. Model Y adalah crossover kompak yang diasaskan daripada platform model 3 dengan jarak antara roda ditetapkan pada 2891mm. Anda boleh memilih samada varian pacuan roda belakang ataupun pacuan semua roda
Varian paling berkuasa dilengkapi dengan 2 motor elektrik, menjana 456 kuasa kuda dan 674Nm tork. Ia berupaya memecut 0-100km/jam dalam masa 3.5 saat serta boleh dipandu sejauh 513km. Model ini menggunakan bateri ion lithium sebesar 81kWh.
5. Toyota Camry – sedan segmen D ini telah dilancarkan pada tahun 2017 lagi dengan menggunakan platform TNGA-K, direka khusus untuk keselesaan namun dengan tawaran pemanduan yang sangat sporti bagi menarik golongan muda. Malah rekaan luaran Camry juga tidak lagi bosan seperti model lama
Kajian JD Power memberikan markah 91/100 bagi masalah kualiti dan penyelenggaraan menjadikan Camry adalah pilihan terbaik bagi kebanyakan pengguna di dunia. Maka tidak hairanlah sebanyak 680,000 unit Camry telah dijual pada tahun 2022.
6. Honda CR-V – menduduki tangga ke 6 ialah sebuah SUV segmen C keluaran Honda yang sangat popular dengan jumlah jualan di serata dunia mencecah 600,000 unit. Ia ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 turbo, 2.0 NA dan juga 2.4 NA bagi generasi ke 5.
Bagi generasi ke 6, CR-V mengekalkan pilihan enjin 1.5 turbo dan pada masa sama menawarkan sistem intelligent -Multi Mode Drive dual motor yang lebih cekap tenaga. CR-V adalah SUV lasak, luas, boleh digunakan untuk meredah laluan offroad ringan dan juga lengkap dengan ciri Honda Sensing.
7. Chevrolet Silverado – bagi tahun 2022 model ini menerima rekaan luaran yang lebih bergaya, kualiti binaan kabin diperkemaskan dan juga penawaran aksesori yang lebih menarik. Pembeli akan tertarik dengan tawaran harga yang cukup munasabah dan bernilai pada pandangan pelanggan
Namun seperti biasa, bagi pasaran Amerika saiz enjin adalah segalanya. Ia akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2700cc turbo 4 silinder, 4300cc V8 NA, 5300cc V8 NA dan 6200cc V8 NA. Hanya ada satu pilihan enjin turbodiesel iaitu 3000cc 6 silinder Duramax. Sebanyak 590,000 unit Silverado berjaya dijual sepanjang tahun 2022
8. Hyundai Tucson – iaitu pencabar terdekat Honda CR-V juga membuktikan bahawa jenama Korea juga menjadi pilihan kepada 570,000 unit pengguna di seluruh dunia. Generasi ke 4 Tucson datang dengan rekaan luar yang cukup berani selain diberikan pilihan 4 enjin petrol, 1 varian hibrid, 1 varian plug-in hibrid dan juga 2 varian diesel
9. Toyota Hilux – memasuki generasi ke 8, Toyota Hilux adalah kenderaan serbaguna 4×4 yang ditawarkan dengan 2 pilihan rekaan samaada single cab ataupun double cab. Anda boleh gunakannya sebagai kenderaan rekreasi, membawa barangan kerja dan dalam keadaan ekstrim ia digunakan di medan konflik sebagai kenderaan pembawa senjata termasuklah di Ukraine
Namun rekaan dalam kabin adalah cukup selesa seperti sebuah sedan eksekutif. Hanya 3 pilihan enjin sahaja yang ditawarkan samaada 2.4 turbodiesel, 2.5 turbodiesel ataupun 2.8 turbodiesel serta di sesetengah pasaran 3.0 turbodiesel. 560,000 unit Toyota Hilux terjual di seluruh dunia pada tahun 2022.
10. Pikap Ram – ya sekali lagi model trak ini menjadi pilihan pengguna Amerika dan turut dijual di Kanada, Mexico, Brazil, Colombia, Argentina, Chile, Paraguay, Angola, Ghana, Peru, Europe, Filipina dan negara Arab.
Sama seperti Hilux, ia boleh digunakan sebagai kenderaan kerja ataupun kenderaan mewah untuk pengguna. Jadi ia menjadi pilihan kepada 550,000 pengguna di seluruh dunia yang mahukan sebuah trak pikap yang besar