INI 4 PERKARA YANG SAYA TAK SUKA TENTANG YAMAHA NVX…
Setahun yang lalu, saya diberi peluang menunggang uji Yamaha NVX 155. Sebetulnya, saya bukanlah jenis yang boleh bawak motor automatik ni. Memang kekok habis bila nak berhenti kaki mulalah menekan-nekan lantai mencari brek belakang.
Skuter bandar lagi pun mana ada yang laju sangat pun. Kalau dah nama skuter, nak maintain 100km/j pun jumpa bukit sikit rasa nak kena kayuh dengan kaki.
Tapi itu dulu. Bila Yamaha mengasaskan enjin Bluecore 155 dengan sistem VVA menerusi NMAX, skuter kecik ni jadi lebih seronok ditunggang. Ia hampir setara prestasinya dengan sebuah kapcai yang mempunyai cc enjin yang sama.
Dan pandangan saya berubah selepas menunggang uji NVX (dan juga X-MAX 250cc). Skuter automatik ni memang seronok dan mudah, tambahan pula sistem keyless dan juga kompartmen barang bawah seat yang luas.
Tak perlu risau waktu hujan, kasut pun tak basah air tak merecik dan juga pulassssss sajaaaaaa.
Antara X-MAX dan NVX?
Setelah saya menunggang keduanya, saya memilih NVX.
Kenapa? Sebab prestasi stop & Go X-MAX dan NVX sebenarnya tak banyak berbeza pun. Top Speed X-Max pun tak kemana sebab dengan saiznya yang besar, 250cc maxi sebenarnya tak cukup untuk maintain di lebuhraya.
Dan saiz besar X-MAX itu sendiri menyusahkan kalau nak mencilok dan parking. Lagipun kalau dah besar panjang dengan sifat maxi tapi tak cukup laju, saya ada pilihan sebuah Suzuki V-Strom di rumah.
Baiklah. Kita cerita pasal NVX.
Setelah hampir setahun dan perbatuan hampir mencecah 10,000 kilometer, ini perkara yang saya ingin komen.
1.SUSPENSI
Skuter adalah sebuah skuter. Melainkan ia sebuah T-Max atau Integra yang lebih besar, skuter punya handling memang begitu saja lah. Keselesaan memang kelaut.
NVX ni mungkin sebab ia sebuah skuter yang laju, jadi Yamaha buatkan suspensinya lebih keras. Atau lebih tepat lagi, terlebih keras.
Model pertama yang saya beli ini menggunakan topang suspensi tanpa sub tank. Jenis absorber spring sebatang. Dia punya keras memang macam nokrom. Ingatkan sebab motor ni baru, tapi selepas membonceng bini yang gemok pun tak maunya dia jadi lembut.
Jadi saya tukarkan dengan absorber Kayaba spesifikasi Vietnam. Tapi sekarang, HLYM dah bagi spec ini untuk NVC standard yang dijual di Malaysia.
Sedap ke?
Tak juga, tapi kalau dibandingkan dengan absorber yang asal, yang ini elok sikit lah tak lah bergegar sangat hempedu bila langgar line kuning atas jalan. Tapi tetap tak sesedap absorber YSS G Sport yang berharga lebih seribu tu lah.
Walaupun suspensi belakang keras nak mati, lain pula ceritanya dengan suspensi depan. Lembut ya robbi.
Kalau anda biasa dengan motor Yamaha, memang suspensi depan motor dia lembut. Baik, LC, Ego, Nuovo, Y15ZR semuanya setting lembut dan kalau anda jenis selalu main brek depan, cukup seminggu, terhentak-hentak shaft fork dengan mounting absorber depan.
Apa pilihan yang ada?
Ada beberapa pilihan untuk “keraskan” fork NVX ni. Setakat ini, saya dah tukarkan spring asal dengan spring dari RFRS dan pelincir fork baru. Prestasinya agak memuaskan dan bolehlah dengan harga tak sampai RM200 semua.
Pilihan lain ialah fork kit YSS yang akan menukar setting fork depan menjadi acah-acah adjustable. Ia boleh dilaras. Harganya sekitar RM700 macam tu.
Pilihan lain, ialah fork kit dari Ohlins. Harga dia boleh buat bergaduh juga lah..
Satu lagi pilihan ialah fork depan USD dari jenama generic. Tapi tak berani nak try bila ada orang pos dalam dalam group dulu fork ni tercabut dari crown handle. Katanya dari Taiwan, entah-entah buat kat pedalaman China kita tak tahu.
Lagi satu, USD Fork jenama OHLINS memang TAK ADA untuk NVX. Yang ada fork entah dari mana, warna gold dan ditampal sticker OHLINS.
2.BREK
Bergantung pada jenis orang. Kalau anda jenis amatur mungkin rasa cukup, tapi memandangkan saya bekas pelumba Isle Of Man TT dan juara 6 kali berturut-turut rali Dakar, ia tak memadai.
Brek belakangnya paling tak membantu.
Apa yang nak diharapkan pada brek drum? Dan sejujurnya, Yamaha patut pasangkan brek cakera solid pun tak apa dah kat tayar belakang ni. Peliknya NMAX si kembarnya boleh pulak dipasang dengan brek disc?
Apa pilihan yang ada?
Dalam pasaran, ada beberapa kit brek cakera belakang yang dijual. Antaranya, kit brek NMAX, brek Brembo, Racing Boy dan Racing Girl. OK, Racing Girl tu tipu.
Saya memilih untuk tak upgrade belakang setakat ini. Setelah berbincang dengan pomen skuter, beliau cadangkan pakai brek depan yang bagus. Jadi, kami pasangkan brek 4 pot Brembo dengan disc lebih besar – 260mm.
Terus rasa yakin bila bawak jetski ni. Ia boleh berhenti bila-bila masa dan di mana jua. Sebenarnya, kit brek ni adalah dari NMAX yang dah siap datang dengan braket caliper, plug & play. Masa saya tukar tahun lepas, tak banyak pilihan. Sekarang ada Nissin, Racing Boy dan lain-lain.
Tapi brek ni tetap ada kekurangannya.
Kelemahan brek ni ialah pam brek atas yang tak cukup besar untuk menampung tekanan bawah. Masa nak buat bleeding tu memang bleeding lah hidung, lama juga lah nak bagi angin habis keluar semua.
Lagipun, brek depan ni ada sistem ABS. Memang makan masa untuk buat bleeding.
Setakat ni, setelah dua kali bleeding, Alhamdulillah, brek ni bertindak cemerlang. Rasa macam bawak Panigale V4R Xmax ++
Kenapa tak tukar pam atas?
Pilihan terbaik ialah Brembo RCS 19 . Tapi masalahnya reservoir tank dia jenis duduk luar dan ia tak ada braket side mirror.
Dah tua-tua ni malas betul nak cabut side mirror, lepas tu ada tank reservoir brek pula terkeluar. Tak manis rasanya bila dilihat oleh anak-anak muda di jalanan.
3. TAYAR
Patutnya siapa yang buat keputusan pasang tayar IRC kat NVX ni elok dilempang laju-laju. Tayar standard skuter ni memang tak boleh diharap langsung. Ia mungkin boleh dipakai di Benua Arab sana yang tak ada hujan.
Waktu kering, dia beraksi seperti biasa. Tapi kalau ada air sikit, pasir sikit, nah, kau berdoalah dan mengucap laju-laju. Tak ada grip langsung.
Inilah satu-satunya motor keluar kedai yang saya tukar terus tayarnya. Kata orang, motor standard memang out lah tayar.
Ya betul. Saya ada Y15ZR, LC135, Modenas Kriss dan semuanya boleh pakai lah tayar standard tu, tapi tidak bagi NVX ni.
Saya pilih tayar Michelin sebab melihatkan bunganya yang meyakinkan walaupun rupanya buruk ya robbi berbanding Pirelli Rosso. Lagi satu, inilah saiz tayar yang ada iaitu 140 belakang dan 120 depan (tayar standard sebenarnya 110 di depan)
Pilihan untuk tayar lain ada banyak, tapi saiznya 150 di belakang. Tayar lebar maksudnya lebih berat dan itu bukanlah satu pilihan untuk skuter cukup-cukup makan macam NVX ni.
Lagipun, saya pilih untuk pasangkan inner hugger di bawah untuk menahan kotoran dari terpercik. Hugger ni hanya ada pada spesifikasi Vietnam sahaja dan ia memang berguna. Kalau dah pasang hugger, tayar tak boleh lebar dari standard dah.
4. GLOVE BOX
Yamaha NVX ni adalah antara skuter yang paling tak banyak tempat letak barang. Kecuali di bawah seat. Tapi sebenarnya ada satu kompartmen kecil di sebelah kiri bawah handle.
Ia dilengkapi dengan soket 12V meskipun di tahun 2019. Motor cap itik pun dah pakai soket USB. Tapi bukan itu masalahnya.
Sejak dibeli, saya tak pernah pakai walaupun sekali. Jangankan nak cas henpon, nak simpan rokok perisa apple pun tak yakin. Ini kerana mekanisme penguncinya yang sangatlah dungu rekaannya.
Ia tak ada pengunci berbentuk slide atau memutar atau soket pengunci. Cuma satu tuil plastik yang hanya “menyendal” pada bahagian lubang kecil pada kompartmen.
Malah, kalau tanya pengguna NVX, ramai yang tak tahu macamana nak bukak kerana mekanisme ni mengelirukan. Sebab tu ramai yang cungkil keluar, padahal ia perlu ditekan sehingga ia terbuka.
Dan banyak jugalah yang jahanam penutup ni.
KESIMPULAN
Adakah saya menyesal? Adakah sebab Honda dah ada Vario?
Tidak sama sekali. Yamaha NVX mungkin tak sempurna tapi dengan tak banyak pilihan yang ada di pasaran, ia adalah yang terbaik berdasarkan harga dan spesifikasi seperti keyless dan ABS.
Ramai juga yang tanya mekanika samada nak beli NVX atau Y15ZR dan tak kurang juga yang jual Y15ZR beli NVX.
Menariknya juga, ada yang lepas pakai NVX sekejap terus jual balik sebab tak serasi dah biasa pakai kapcai. Ya betul.
Yang itu kita cerita di lain artikel nanti –
MANA SATU PILIHAN HATI? Y15ZR ATAU NVX?
OK tak?
Sementara tu kau tengok lah video ni mungkin boleh nampak jelas apa yang diceritakan. Jangan lupa subscribe youtube kami tau.
- BACA: TUNGGANG UJI YAMAHA NVX
- BACA: TUNGGANG UJI KTM SUPERDUKE
- BACA: TUNGGANG UJI YAMAHA MT-09
- BACA: TUNGGANG UJI: PIAGGIO MEDLEY S
GALERI