Motosikal

KEMUKA DATA PALSU, KERAJAAN JEPUN ARAH YAMAHA HENTI EDAR YZF-R1

Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Pelancongan (MLIT) Jepun telah menjalankan audit dan pemeriksaan di ibu pejabat Yamaha Motor Co di Iwata, Jepun pada Rabu. 

Hasil dari pemeriksaan tersebut, MLIT mendapati Yamaha telah melakukan ujian pensijilan kenderaan yang tidak mematuhi standard selain memalsukan permohonan yang diperlukan untuk patuh peraturan keselamatan dan alam sekitar Jepun. 

*Yamaha YZF-R1

Pada 31 Mei, Yamaha mengakui telah menjalankan ujian bunyi YZF-R1 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan selain menyerahkan data palsu bagi model YZF-R3 dan TMAX. 

Menurut data semasa, Yamaha telah pun menjual hampir 7,500 unit bagi ketiga-tiga unit terlibat. Difahamkan, sebaik siasatan penuh selesai, pihak berkuasa Jepun akan menentukan sama ada perlunya panggilan semula besar-besaran diadakan bagi model terlibat. Selain itu, media Jepun melaporkan bahawa Yamaha berkemungkinan besar akan berdepan penalti tambahan. 

*Yamaha YZF-R3

Setakat ini, kerajaan Jepun telah pun menyekat pengedaran dan penghantaran R1 namun belum ada langkah lanjut melibatkan R3 dan TMAX. 

Pada masa sama, Yamaha belum menjelaskan sama ada pengedaran itu hanya terhad kepada pasaran domestik Jepun sahaja atau turut melibatkan pasaran antarabangsa. 

Sementara itu, MLTI juga akan menjalankan audit dan siasatan terhadap Honda Motor Co. dan Suzuki Motor Corp sebelum hujung bulan ini. Agensi Reuters mendakwa Honda telah pun mengenal pasti lebih dua dozen model berdepan isu sama sejak Oktober 2017. 

Untuk rekod, kerajaan Jepun mula melaksanakan audit besar-besaran terhadap sektor automotif susulan insiden skandal ujian melibatkan Toyota pada 2022. 

*Yamaha TMAX

Bagaimanapun, kes Toyota lebih berat kerana memalsukan data ujian kemalangan sementara Yamaha tidak mematuhi standard emisi bunyi pada R1. Bagi R3 dan TMAX pula melibatkan bunyi hon sahaja.

Google ads
Back to top button