![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2017/09/piaggio-medley-S-5.jpg)
Dalam dunia ni ada banyak produk yang direka untuk pasarannya. Misalnya kalau kau berduit dan kaya, boleh beli beg Louis Vuitton. Kalau bajet sederhana boleh beli Coach. Kalau bajet sedang-sedang boleh beli Bonia. Kesemuanya adalah beg, fungsinya sama, kualitinya lebih kurang dan membezakannya ialah kelas jenama.
Kereta pun sama. Kereta kompak kecik macam A45 AMG tu pun senarai menunggunya bukan sedikit. Golf R dengan harga meninggal pun tetap ada pengikutnya dan semalam Abang Japar berborak dengan dealer Can-Am Spyder baru. Motor tiga roda ni pembelinya sangat unik.
Kadang-kadang ada yang tak pernah bawak motor pun. Beli dan parkir di garaj, beli sebab suka tengok. Bangun pagi sambil minium kopi dan hisap rokok Surya, boleh lap motor Can-Am sambil tenung-tenung Panigale Superleggera di tepi.
MV Agusta F4 AMG harga sebuah kondo mewah? Ada je orang beli, jangan bimbang. Orang-orang kaya tetap akan beli Range Rover Sport Autobiography, padahal ada saja model yang premium lebih murah macam Cayyenne pun tak kurang hebatnya.
Begitulah profil produk, mereka sasarkan kepada pengguna yang tahu apa yang pembeli mahu.
Tapi Piaggio? Serius? Medley S? skuter apa ni?
Baiklah. Sewaktu motor ni dilancarkan ke pasaran tempatan, Abang Japar rasa ia akan dapat pasarannya. Matematiknya mudah, ia pasaran niche premium dan skuter 150cc di pasaran sebenarnnya tidak banyak pilihan. Cuma ada Honda PCX (RM12K) dan terbaru Yamaha NVX (RM11K) .
Piaggio kemudiannya menyerikan lagi pasaran.
Kepada yang tak tahu, Piaggio adalah kumpulan syarikat sama yang hasilkan Vespa dan Aprilia, Gilera, Moto Guzzi dan Derbi. Di Malaysia, hak edaran Piaggio dipegang oleh Kumpulan Naza di bawah anak syarikatnya Naza Primera (yang juga mengedarkan Vespa).
Kalau nak cerita pasal Vespa juga mungkin makan masa enam hari lapan malam sebab banyak model dan varian yang dijual. Nanti kita cerita lain tapi secara umumnya kita tahu Vespa dan Piaggio adalah produk premium. Vespa pekak pun kau tak jumpa yang harga bawah RM10K, sebab memang begitu lumrahnya. Ia mahal bukan sebab laju, tapi sebab produk yang diletak dalam kelasnya tersendiri.
PIAGGIO MEDLEY S
Piaggio Medley S ini dilancarkan awal bulan ini dan kami di mekanika adalah antara yang terawal dapat unit pandu uji. Ketika orang lain sibuk review Yamaha NVX, kami relax je bawak Medley. Nampak? sebab web mekanika ni rare.
OK tipu.
Pertama sekali dan yang terutamanya yang paling nombor wahid tentang Medley S ini dibincangkan tak lain tak bukan ialah harga jualannya. Rata-rata berpendapat RM17,000 untuk sebuah skuter 150cc dianggap mahal.
Bukan kau je, Abang Japar pun sama. Sebab majoriti kita tak mampu walaupun negara kita kaya sebenarnya sebab mampu tolong ekonomi negara paling kaya di dunia – Amerika Syarikat kau tahu?
Pun begitu, bila ditanya di kalangan kelompok pemilik Vespa, mereka kata biasa saja harga ni. RM17K dapat box belakang, padding, slip mat lantai tu ramai juga yang cakap murah. (box tu bukan made in Jinjang, import dari Itali).
BACA: BAGAIMANA SEBUAH SKUTER JADI IKON GAYA HIDUP?
Vespa Sprint 150 3V ABS yang baru tu pun dalam lingkungan harga ni juga. Nampak? OK. Sedikit demi sedikit, Abang Japar mula faham profil pembeli yang disasarkan.
SEBENARNYA SKUTER NI BESAR JUGA
Melihat dari dalam gambar memang susah nak terangkan. Tetapi kalau kau berketinggian dekat 6 kaki macam Abang Japar, lutut memang tak berlaga dengan bar hendal bila duduk di atas skuter Medley S. Ia ada jarak yang cukup lega antara lantai, kaki, lutut dan bar hendal. Bahagian ni Abang Japar bagi lima bintang.
Ketinggian tempat duduk Medley S ini ialah 799 mm, Ia hampir 10mm lebih tinggi dari NVX (NVX 791mm) dan dalam kategori ini, PCX pelana yang paling rendah ialah PCX pada ketinggian 760mm.
Itu poin pertama. Sebab mungkin Abang Japar sudah memasuki wilayah warga emas, skuter begini rasa sangat santai dek posisi tunggangan ni. Abang Japar pernah duduk atas NVX dan punggung terpaksa diposisi ke belakang sedikit, kalau tidak, lutut akan berlaga dengan kompartmen sebelah kiri.
Jika kau tak cukup tinggi, Medley ini mungkin kurang selesa. Kerusi skuter ni memang cukup tebal dan direka agak “tinggi” berbanding skuter lazim. Hasilnya, ruang simpanan bawah kerusi yang cukup besar.
Berapa besar? Boleh isi dua buah helmet saiz penuh tanpa masalah. Kalau masih tak cukup lagi, bahagian kompartmen depan, masih ada dua slot kecil yang boleh diletakkan barang-barang peribadi seperti dompet, kunci, telefon bimbit dan rokok Surya.
LETS FLY!!!!
Sejak mengambil skuter ni di Naza PJ, Yamaha LC135 kelajuan cahaya Abang Japar terus berehat dan inilah pengangkutan seharian sebab ia memang seronok ditunggang. Walaupun prestasi pecutannya lebih kurang sama dengan mana-mana skuter 150cc yang lain, karekteristik enjin i-GET ini memang disesuaikan dengan pemanduan bandar.
Kelajuan maksimum sekitar 120km/j jika berbadan sado seperti Abang Japar (72kg) atau 110km/j jika gemok seperti Pak Amid (91kg)
Tapi keseronokan sebenar Medley S ini ialah tork di peringkat bawah yang sangat sedap. Pecutan 0-80km/j memang cukup lancar dan dalam keadaan trafik berhenti-jalan (stop & go), Medley melakukan tugasnya dengan cemerlang.
Ia tidak terasa “lagging” sebagaimana transmisi CVT yang lazim. Kalau kau biasa bawak skuter mesti perasan sela masa bila kita off throttle dan cuba perah semula pendikit.
Enjin 151cc Medley S ini menghasilkan sejumlah 14.75HP dan tork 14.40 Nm. Sebagai perbandingan, Yamaha NVX juga hampir sama pada 14.8HP, tetapi PCX lebih rendah 13.4 HP.
SELESA KE?
Sangat selesa dik. Ia tak terlalu lembut macam Avantiz atau PCX dan tak terlalu keras macam SR MAX. Baik naik seorang atau berdua, suspensi skuter ni mampu menyerap kejutan dengan bagus.
Sedar atau tidak, ia dibantu oleh profil roda yang besar. Bahagian hadapan dipasangkan dengan roda 16 inci bersama tayar 100/80-16 (terbesar dalam kelasnya) dan belakang pula dilengkapkan dengan tayar 110/80-14. Gabungan ini juga lebih besar dari kebanyakan skuter 200cc 300cc dan Maxi 400cc pun.
Pengendalian skuter ni mengingatkan Abang Japar kepada skuter SR MAX, J300 dan Forza NSS300.
Apa yang lebih bagus ialah pusat breknya dilengkapi dengan sistem ABS depan DAN belakang. Brek bahagian hadapannya diangkup omboh berkembar dan cakera 260 mm sementara bahagian belakangnya ialah satu cakera 240mm dengan angkup berkembar.
Apa pentingnya ABS dan brek bagus pada sebuah skuter?
Berbeza dengan fizikal sebuah motosikal yang mana beban terletak di bahagian tengah, skuter menampung kapasiti berat pada bahagian belakang. Di situlah enjin dan di situlah juga suspensinya, jadi penggunaan ABS sangat membantu, lebih-lebih lagi ketika jalan basah.
Kalau kau pakai skuter mesti pernah rasa nak tergelincir waktu selekoh (atas garisan jalan misalnya) atau kadang-kadang di stesen minyak atas permukaan simen.
MINYAK JIMAT JUGA
Tangki bahanapi skuter ni berkapasiti tujuh liter purata jarak untuk setangki sangat bergantung pada cara tunggangan. Jadi Abang Japar ringkaskan macam di bawah;
- Dalam bandar dengan trafik tinggi – 150km – 170km
- Lebuhraya – 180km – 200km
- Bandar + lebuhraya – 160km – 180km
Ia lebih jimat dari yamaha LC blok VR4 Abang Japar dan dalam perjalanan Kuala Lumpur ke Nasi Bamboo Sg Klah Sungkai, Abang Japar tak berhenti isi minyak pun. Ya. Geng Y15, Dinamik, 125ZR semuanya berhenti untuk tambah petrol.
Apakah pendapat Abang Japar secara peribadi terhadap skuter ini?
Sebenarnya, skuter bukanlah perkara yang pernah terlintas untuk Abang Japar beli. Payah untuk warga emas yang dah 30 tahun bawak motor dengan brek kat kaki nak beralih kepada motor automatik dan brek belakang di tangan kiri.
Tahu tak apa masalah skuter automatik urban hari ini? Samada tak cukup kuasa, atau yang maxi, saiznya besar sangat. Kurang praktikal nak mencilok dan parkir.
Abang Japar pernah cuba Kymci Xciting 400i dan NC700 Integra. Kymco sedap tapi terlalu gemuk, sementara Integra sedap dan sempurna tapi harga Exora.
Tapi Abang Japar memang suka Medley S ni. Rekabentuknya mungkin tidak sukan. Dari depan, macam kepada Asimo pun ada. Tapi rekaan tepi dan belakangnya memang kemas.
Tapi bila kau berhenti di lampu isyarat, semua orang akan tengok. Kira macam bawak F4 AMG. Kau pernah jumpa orang ride MV Agusta hari hari? tak ada kan?
Jadi ia rare.
Mat motor memang suka benda-benda rare ni.
dan Abang Japar salah seorang darinya.
[ngg_images source=”galleries” container_ids=”29″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]