Pandu Uji

TUNGGANG UJI: YAMAHA NVX 155 VVA, INILAH SKUTER SPORTY SAYA

Yamaha NVX, skuter moden yang paling dinantikan oleh ramai rakyat Malaysia dan ia telah dilancarkan secara rasmi pada Julai tahun lepas selepas setahun dipertontonkan di Litar Antarabangsa Sepang.

Ia mendapat pujian dan rebiu yang meluas. Sepertimana produk premium Yamaha yang lain, Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) tidak ada masalah menjual skuter ini. Masalahnya ialah pengeluarannya yang perlahan menyebabkan tempoh menunggunya agak lama walaupun selepas hampir setahun dilancarkan.

Skuter tetap sebuah skuter, walaupun ia direka laju macam Aprilia SR-MAX menggunakan pacuan rantai sekalipun, orang-orang Malaysia yang dah biasa dengan motosikal kapcai biasanya tak ambil peduli pun pasal skuter.

Kebanyakannya kekok bila menunggang sesuatu tanpa apa-apa pedal di kaki. Tayar kecik, brek di tangan dan transmisi automatik pada motosikal memang susah nak diterima konsep ni bagi majoriti penunggang motosikal di Malaysia.

Sebab itu juga bila kami tanyakan kepada pengguna motosikal, memang ramai yang akui mereka masih memilih kapcai berbanding skuter dan sebab itu jugalah kapcai masih terus unggul mencatat jualan tertinggi setiap tahun. Trend yang kami yakin tak akan berubah.

Tapi skuter keluaran HLYM yang satu ni memang lain.

Jika ada sebuah skuter yang mungkin akan mengubah angka perkongsian pasaran, ia akan disumbangkan oleh model ini. Yamaha Jepun sedar, untuk “menarik” golongan moped dan street naked, mereka perlukan sebuah skuter yang lebih sporty. Ia bukan sahaja menambah daya tarikan peminat skuter tetapi turut berupaya “memujuk” pengguna kapcai beralih kepada motosikal jenis ini.

Baiklah. Sedap ke skuter ni?

Abang Japar pun mengambil skuter ni minggu lepas untuk tunggang uji sebab ramai sangat dah yang tanya apa pendapat kami tentangnya.

Pertama, Abang Japar bukanlah peminat skuter. Nak beli skuter? jauh sekali, tak pernah terlintas pun.

Kali terakhir tunggang uji panjang yang dibuat ialah Piaggio Medley S 150 pada tahun lepas. Ia sedikit mengubah persepsi Abang Japar tentang skuter moden yang sudah direka lebih canggih dan responsif. Terutamanya dalam kelompok 150cc.

Yamaha NVX ini dilengkapi teknologi VVA dengan enjin 155cc sama seperti NMAX. Dalam wilayah 150cc ini, kau ada empat pilihan iaitu (sebenarnya lima kalau masukkan sekali Sym Symphony)

  • Yamaha NVX – 14.75hp
  • Yamaha NMAX – 14.88hp
  • Honda PCX – 13.4hp
  • Piaggio Medley S – 14.80hp
  • Sym Symphony – 10.5hp

Selama seminggu menunggang skuter ni, Abang Japar boleh simpulkan, ia satu produk yang sesuai untuk kau beralih daripada kapcai. Ya. Masalah utama sebuah skuter urban ialah ia sangat lemau bila dipulas habis. Termenung rasanya nak tunggu meter panjat dari 70km/j ke 100kmj.

Sifat asas skuter bandar biasanya sedap pada kelajuan rendah dan berhenti jalan (stop-go). Bila masuk saja lebuhraya yang semua kenderaan berada pada purata kelajuan 100-120km/j, menitik air mata dik kalau bawak Ego. Kuasa mendaki memang macam tak ada, nak memotong kenderaan lain pun jadi bahaya.

NVX tidak secepat Y15ZR atau RS150R. Ia mungkin kurang 10-15 peratus kurang kuasa malar di jalanraya pada kelajuan konsisten berbanding kapcai dengan cc yang sama kerana sistem CVT nya itu. Itu realiti yang kau kena terima pada sebuah skuter. Kalau kau rasa beli NVX kemudian nak maintain full throttle KL-Seremban, baik lupakan. Silap haribulan, cukup setahun enjin boleh runtuh. 

Dalam kes jarak jauh, kapcai super moped masih lagi pilihan terbaik. Tapi jika kau selalu main dalam kawasan bandar yang sesak dan sekarang nak upgrade daripada Honda Wave Dash atau Yamaha LC, ini adalah calon yang sesuai.

Bagi sebuah skuter 14.75hp, pecutan 0-100 skuter ni memang sentiasa ada daya kilasnya (orang putih kata torque). Sebenarnya, inilah julat kelajuan yang kau perlukan pada sebuah motosikal. NVX memang tak menghampakan. Bila sekali-sekala masuk ke highway terbuka yang membolehkan kau memecut, ia mampu membawa sehingga 120km/j. 

Lebih daripada itu memang tak sedap sebab lantai dah mula bergetar dan bar hendal dah mula terasa ringan.

Di selekoh, ini mungkin skuter yang paling Abang Japar yakin untuk menurunkannya rapat ke jalan tar. Rim 14 inci dan suspensinya memang terasa stabil untuk standard sebuah skuter. Tapi ada sedikit kekurangan, suspensi teleskopik depan tu kalau ditala sedikit lebih keras mungkin lebih bagus. Abang Japar rasa suspensi hadapannya terlalu lembut. Suspensi belakangnya mantap. tiada komplen.

Satu lagi kelebihan NVX ni ialah pengunaan sistem ABS di hadapan yang cukup membantu motosikal ini berhenti dengan baik. Sayangnya, bahagian roda belakang masih menggunakan brek jenis gelendong/dram yang mana kuasa berhentinya agak menyedihkan. Lebih menyedihkan lagi, “abang” NVX iaitu NMAX yang lebih murah pun dah pakai brek cakera.

Masalahnya lebih terasa kerana ini ialah sebuah skuter di mana momentum beratnya tertumpu pada bahagian tengah dan belakang. Brek belakang dram ini perlu ditarik kuat dan memakan masa untuk membiasakan diri dengannya. Kesudahannya, Abang Japar pakai brek depan sahaja sepanjang masa.

Satu lagi kekurangan NVX ialah posisi pembonceng di belakang yang kurang selesa. Berbanding NMAX, NVX lebih sesuai ditunggang sendirian daripada membawa pembonceng di belakang yang terpaksa duduk tinggi dan terkangkang akibat badan skuter ini yang gemuk. pelana belakangnya lebih nipis dan paling tak best ialah posisi tempat letak kaki jauh ke depan.

Kalau keutamaan kau ialah selesa, Abang Japar cadangkan kau beli NMAX, ia lebih fokus pada tujuan itu.

Apa yang menjadikan skuter ini nampak mahal ialah lampu LED hadapan dan belakang, meter LCD 5.8 inci dan sistem keyless. Sistem tanpa kunci ni memang betul-betul menyenangkan sampaikan kelmarin Abang Japar sampai terlupa cabut kunci motor sendiri Y15ZR  waktu parking. Bahaya betul.

Sistem keyless ni cuma perlukan dilaras di bahagian tombol sahaja. Sama fungsinya macam kereta. Bila parkir, pulas ke kanan dan bar hendalnya terus terkunici. Satu pusingan kekiri menandakan pusat kunci simpanan bawah tempat duduk dan tangki minyak dibuka. Satu pusingan lagi akan menghidupkan operasi keseluruhan.

Memang mudah dan praktikal sampaikan Abang Japar terfikir nak convert Demak Interchange pakai sistem ni. 

Paparan LCD 5.8 inci juga menjadikan skuter ni nampak premium. Kesemua maklumat dari asas bacaan putaran enjin, kelajuan dan jam semuanya dalam bentuk digital. Cuma dek kecanggihan (dan mungkin sudut pandang) digital itu membuatkan pandangan sebelah siang agak kabur kerana silau. Tapi waktu malam memang cantik dan terang.

Sebagai sebuah skuter, bahagian bawah tempat duduk direka dengan ruang simpanan 25 liter. Namun menyimpan helmet open face pun sedikit mencabar. Sempit. Abang Japar rasa, jurutera ni ukur dengan helmet saiz XXXS agaknya.

Di bahagian panel depan ada satu tempat simpanan kecik (yang juga menjadi sempadan lutut bagi penunggang yang tinggi). Tapi ia terlalu kecil untuk sebuah telefon bimbit berskrin 5.5 inci. Bonusnya, ada soket kuasa di dalamnya.

Satu lagi kekurangan NVX ini ialah saiz tangki bahanapinya yang kecil bagi standard sebuah skuter. Kapasitinya cuma 4.6 liter dan sebagai perbandingan, NMAX didatangkan dengan tangki 6.6 liter. 2 liter perol adalah jumlah yang besar untuk sebuah skuter yang biasanya lebih pelahap minyak berbanding kapcai.

Sewaktu menunggang motosikal ni selama seminggu, purata perjalanan untuk setangki petrol yang Abang Japar catatkan ialah sekitar 100km sahaja. Tidaklah jimat untuk sebuah motosikal 150cc, tapi dalam kategori skuter yang lincah, ia agak munasabah.

Pada harga RM10,500 termasuk GST, ia bukanlah sebuah motosikal 150cc yang murah. Tapi dalam kategori skuter, ia masih berpatutan kalau dilihat pada spesifikasi yang ditawarkan. Ia ada ABS dan walaupun satu saluran (single channel), ia satu-satunya skuter dalam kategorinya yang ada fungsi sedemikian rupa.

Ditambah dengan paparan LCD penuh 5.8 inci, lampu LED dan sistem keyless dan start/stop, sebenarnya bagus juga pakej NVX ni. 

 

Kau rasa macamana?

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”157″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button