Motosikal

SISTEM YAMAHA AMT DIUMUMKAN – GEAR AUTOMATIK UNTUK ENJIN ‘CROSSPLANE’

Selepas Honda, BWM dan KTM, Yamaha menjadi pengeluar motosikal terbaru untuk memperkenalkan transmisi automatik untuk motosikal yang dinamakan Yamaha Automated Manual Transmission (AMT). 

Menurut Yamaha, sistem tersebut membolehkan penunggang memberi fokus penuh kepada pengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi. Berdasarkan kenyataan itu, hampir pasti sistem AMT ini akan dipadankan pada model berkuasa tinggi seperti MT-07, MT-09, Tracer 7, Tracer 9 dan beberapa model lain. 

Seperti jenama lain yang ada dalam pasaran ketika ini, penunggang boleh memilih untuk mengoperasikan jentera dalam keadaan automatik sepenuhnya (pulas dan pergi) atau mengaktifkan mod manual (menukar gear dengan cara menekan butang (+) dan (-) seperti yang terdapat pada model DCT ditawarkan Honda. 

Ini bermakna motosikal dengan transmisi AMT tidak lagi menawarkan pertukaran gear dengan menggunakan kaki. Menurut Yamaha, operasi pertukaran gear akan dikendalikan oleh dua aktuator elektrik bagi menggantikan fungsi klac dan gear kaki. Yamaha mendakwa aktuator tersebut hanya seberat 2.8kg. 

Menariknya, Yamaha memaklumkan bahawa sistem AMT itu akan memaksimakan karakter enjin ‘crossplane’ sedia ada. 

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Yamaha memperkenalkan transmisi automatik kerana pernah melakukannya lebih 20 tahun lalu menerusi sistem YCC-S (Yamaha Chip Controlled Shift) yang diguna pakai pada FJR1300. Sistem berkenaan membolehkan penunggang menukar gear secara manual menggunakan jari. 

Google ads
"
"
Back to top button