Artikel Pilihan

INI 5 TIPS CARA PILIH KERUSI KANAK-KANAK DALAM KENDERAAN

Tempat duduk kanak-kanak merupakan salah satu aksesori yang dipandang dengan sebelah mata oleh kebanyakan pengguna kenderaan yang mempunyai anak kecil. Antara alasan yang diberikan ialah anak tidak mahu duduk dan menangis, tempoh kegunaan yang pendek kerana anak cepat membesar, mahal dan macam-macam lagi.

Bagi ibu bapa yang mementingkan keselamatan anak-anak, tempat duduk ini merupakan satu keperluan dan bukannya pilihan. Pernah dengar kata-kata berbunyi “biar anak menangis hari ini daripada kita menangis di kemudian hari?” Bagi yang belum mempunyai anak pun teruskan membaca untuk menambah ilmu kelak bila diperlukan.

Kesedaran orang ramai tentang kepentingan tempat duduk kanak-kanak ini telah membuatkan para pengeluar bersaing hebat antara satu sama lain untuk menghasilkan produk yang selamat, selesa dan mudah digunakan oleh kanak-kanak. Kebanyakan produk ini juga diuji oleh badan yang bertanggungjawab menguji mutu dan kualiti sesuatu produk. Apa yang penting dan anda perlu tahu ialah, anak-anak anda tidak akan mendapat perlindungan sepenuhnya jika berlaku kemalangan tanpa menggunakan tempat duduk khas untuk mereka.

Tempat duduk kanak-kanak terbaik mesti mempunyai kemampuan untuk dipasang dengan kemas di dalam kereta anda. Dengan kata lain ia mesti menepati piawaian ISOFIX (piawai antarabangsa untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan). Selain daripada itu ia biasanya juga mempunyai pemegang untuk membolehkan anda membawanya dengan mudah sewaktu di luar kenderaan.

Sebagai panduan untuk memudahkan anda memilih tempat duduk kanak-kanak yang sesuai, berikut ialah antara beberapa aspek yang perlu diberi penekanan.

CIRI KESELAMATAN

Ciri keselamatan adalah faktor yang paling penting dalam memilih tempat duduk kanak-kanak. Pengeluar yang bertanggung jawab biasanya memastikan produk keluaran mereka melepasi piawaian keselamatan yang ditetapkan sebelum dikeluarkan ke pasaran.

Tempat duduk yang menghadap ke belakang adalah jenis yang terbaik untuk bayi, jadi sebaiknya posisi ini dikekalkan selama yang boleh (kecuali bila anak anda sudah semakin membesar). Pastikan tempat duduk itu mempunyai  berat yang lebih dan had ketinggian yang sesuai dengan anak-anak yang sedang membesar.

Ada juga model yang membolehkan anda memusingnya ke hadapan bila anak sudah semakin membesar. Jadi anda masih boleh menggunakan tempat duduk yang sama untuk beberapa tahun.

PELARASAN TALIPINGGANG

Kalau boleh dapatkan tempat duduk dengan talipinggang bolehlaras agar boleh disesuaikan dengan berat kanak-kanak. Tali pinggang keselamatan tempat duduk ini sepatutnya boleh diketatkan dengan sebelah tangan sewaktu memandu.

Perehat kepala boleh laras juga membolehkan kanak-kanak menggunakan tempat duduk tersebut dengan lebih lama. Tempat duduk bayi pula biasanya mempunyai pelindung ataupun kanopi untuk melindunginya daripada elemen cahaya matahari.

KETAHANAN

Tempat duduk bayi atau kanak-kanak biasanya direka agar boleh dipadankan dengan kemas di dalam kereta dan pada kereta sorong kanak-kanak untuk keselamatan.  Tetapi ujian sebenar ketahanannya ialah bila ujian piawaian mutu dijalankan.

Selain daripada itu anda juga semestinya mahukan sebuah tempat duduk yang kukuh dan versatil contohnya jika anda ingin menggunakannya sewaktu membeli-belah ataupun beriadah di taman rekreasi.

MESRA PENGGUNA

Selain boleh dilaraskan mengikut kesesuaian, tempat duduk kanak-kanak juga mestilah mesra pengguna. Dengan kata lain, ia mesti mudah dipasang dan dibuka bila tidak diperlukan.

Ada sesetengah kereta mempunyai kelengkapan untuk memasang tempat duduk kanak-kanak dan ada yang tiada. Pilih yang terbaik untuk disesuaikan dengan kereta. Ada juga yang mempunyai kusyen yang boleh ditanggalkan untuk memudahkan mencucinya. Itu juga merupakan satu kelebihan.

TAMBAHAN INFO

Sebagai tambahan, sebelum membeli pastikan ia sesuai dengan bajet anda selain mengambil kira waktu yang akan diluangkan oleh anak anda di tempat duduk tersebut. Umur anak anda juga perlu diambil kira kerana keperluan tempat duduk bayi adalah berbeza dengan kanak-kanak.

Untuk memjimatkan kos, pilih model yang boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang. Ambil sedikit masa untuk membuat penilaian anda sendiri kerana tempat duduk bayi ini terbukti boleh menyelamatkan nyawa.

BACA: TIPS PENJAGAAN SISTEM BREK KERETA

BACA: BAGAIMANA PASTIKAN AIRCOND SEJUK DAN TAHAN LAMA?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button