Buletin

INI ALASAN HONDA KENAPA MEREKA PILIH ALEX MARQUEZ

Tujuh tahun selepas menandatangani perjanjian dengan Marc Marquez, Repsol Honda hari ini mencatat sejarah dengan melantik satu lagi pemenang rookie 2020 iaitu adik beliau, Alex Marquez.

Pasangan adik beradik kini dalam kerjasama pasukan yang unik di mana sejak awal lagi Marc sudah memberi isyarat beliau berharap adik nya akan menyertainya di Repsol Honda, namun mengakui tidak memberi sebarang tekanan kepada pihak pengurusan.

Namun dengan kejayaannnya mengutip kejuaraan dunia keenam dalam MotoGP dan sedang dalam proses negosiasi sambungan kontrak dengan HRC, ramai berpendapat, pihak pengurusan Honda tidak boleh mengecewakan Marc.

Apatah lagi pada tahun ini, beliau memberi kejayaan mutlak untuk kategori, pelumba, pengeluar dan pasukan kepada Honda hampir sendirian.

Pengurus pasukan, Alberto Puig menafikan gosip yang kedengaran di MotoGP Valencia dengan menyatakan Alex dipilih disebabkan hubungan beliau sebagai adik Marc. Malah Puig memberitahu, jika Alex adalah orang luar sekalipun, beliau tetap menjadi pilihan utama Repsol Honda.

“Proses memilih pelumba berterusan sejak kami menerima permintaan pengunduran dari Jorge Lorenzo. Kami berfikir, memilih dan membuat tapisan banyak kali dan pada saat akhir, kami putuskan, Alex lebih layak,” ujar Puig.

Memilih penunggang dari LCR Honda juga adalah situasi yang rumit; “Jika anda nak bayangkan bagaimana, mengambil satu pelumba dari pasukan lain menyebabkan satu lagi pelumba hilang.”

Alex layak berdasarkan keputusan prestasinya pada tahun ini dan lebih penting lagi, beliau cukup muda, pada usia 23 tahun untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Secara asasnya, prestasi semasa beliau (Alex Marquez) adalah sebab utama. Ini adalah keutamaanya. Maksud saya, dia adalah juara dunia Moto2 dan ini adalah detik di mana beliau layak diberi peluang untuk meneruskan kerjayanya ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga benar, kami di Honda cuba mencari pelumba untuk masa hadapan, pelumba muda, namunkeputusan mengejutkan Jorge Lorenzo menarik diri dan kami hilang hampir satu tahun perancangan secara tiba-tiba.

“Jadi kami buat keputusan pilih Alex, beri dia peluang berdasarkan fakta bahawa beliau adalah juara Moto2 yang baru, muda dan kami percaya ia adalah peluang yang baik untuk beliau juga.

“Kami percaya, jika kami tak mengambilnya, mana-mana pelumba yang memenangi kejuaraan dunia pun layak mendapat peluang yang sama. Cuma agak luar biasa di sini ialah kebetulan dia adalah adik Marc.”

Alberto Puig juga menegaskan Marc langsung tidak campur tangan dalam pemilihan ini. Namun keputusan memilih Alex sudah tentu sangat menggembirakan Marc.

“Saya boleh beritahu anda, Marc tak masuk campur langsung,” ujar Puig.

“Tapi sudah tentulah, jika anda tanya, adakah gembira kalau adik anda bersama dalam satu pasukan? Anda akan katakan ya. Ia normal. Perbincangan bukan dengan Marc, perbincangan adalah dengan Alex dan pengurusnya Emilio Alzamora.”

“Ia jelas, ini adalah situasi yang sangat luar biasa. Saya rasa, kita tidak pernah melihat ini dalam perlumbaan, dua beradik dalam satu pasukan yang sama.

“Tapi inilah yang saya maksudkan. Kalau Alex tak menang kejuaraan Moto2, kami tak akan tawarkan kerusi Honda-Repsol, tapi beliau lakukannya. Jadi tahun depan, kita akan dapat saksikan persaingan adik beradik dalam satu pasukan”

Dari segi bagaimana untuk menguruskan dua adik beradik dalam satu pasukan Puig memberitahu: “Secara jujurnya, dari sudut pandang saya, saya tak peduli pun mereka adik beradik.

Mereka masih dua orang pelumba saya dan setiap pelumba perlu di asuh dengan cara berbeza. Setiap orang berbeza, kita semua tak sama. Sesetengah orang kamu boleh paksa dia, sesetengah orang, perlu lebih bertoleransi, saya akan layan Alex sebagaimana beliau layak diasuh.

Memandangkan Alex Marquez hanya ditawarakn kontrak satu tahun, adakah beliau akan menghadapi tekanan?

“Saya rasa, tekanan adalah soal lain. Paling penting ialah kesukaran dalam kategori ini. Ini adalah masalah sebenar,” tambah Puig lagi.

“Maksud saya, kelas MotoGP lebih rumit dan tekanan ialah sesuatu yang kamu perlu kawal apabila bersaing untuk merebut kejuaraan dunia.

“Pada tahap ini, bukan tekanan, tetapi Alex perlu belajar untuk fahampi kelas perlumbaan ni, belajar famai tayar, dan tingkatkan kemahirannya bersama jentera Honda. Tekanan adalah faktor kedua.”

Google ads
Back to top button