RASMI: ALEX MARQUEZ SERTAI REPSOL HONDA UNTUK BERGANDING DENGAN MARC MARQUEZ
Repsol Honda secara rasminya semalam telah menandatangani kontrak dengan Alex Marquez untuk menggantikan tempat Jorge Lorenzo yang mengumumkan persaraan baru-baru ini. Ini sememangnya satu perkhabaran yang menarik kerana Alex bakal bergandingan dengan abang beliau, Marc Marquez dalam satu pasukan.
Alex, sebagai juara baru Moto2 telah dipilih oleh Repsol Honda walaupun ramai yang mengatakan slot tersebut bakal diisi oleh Johann Zarco.
Marc juga menegaskan yang beliau tidak pernah menekan pihak Repsol Honda agar mengambil adik beliau sebagai rakan sepasukan (tak mainlah pakai kabel kan?) tapi ia mungkin salah satu strategi pihak Honda untuk memastikan Marc senang hati untuk menyambung kontrak bersama dengan mereka.
Ia juga satu peluang promosi terbaik buat Repsol kerana untuk julung kalinya sebuah pasukan ternama seperti Repsol Honda kini mempunyai sepasang pelumba adik beradik. Namun sudah tentu ia bukan satu situasi yang mudah untuk Alex kerana Marc sememangnya satu nama besar dalam persada MotoGP.
Walaupun Alex turut mempunyai gelaran juara dunia tetapi selepas ini beliau akan sentiasa dibandingkan dengan abang beliau dalam setiap sesi latihan mahupun perlumbaan. Hati mesti mau keras bro.
Honda Racing dalam sidang media mengesahkan kedatangan Alex ke dalam pasukan mereka dengan kontrak satu tahun untuk bergandingan dengan juara dunia 8 kali yang juga merupakan abang beliau sendiri, Marc Marquez.
Pelumba berusia 23 tahun itu akan memulakan penampilan pertama MotoGP di Valencia dan kemungkinan besar akan ditempatkan dengan pasukan LCR dan bakal menggunakan jentera HRC 2019. Pada masa yang sama khidmat pelumba penguji Stefan Brandt akan menyertai Marc dalam kem Reopsol untuk meneruskan sesi ujian jentera prototaip untuk misim hadapan.
Kemungkinan besar juga Alex ditempatkan sementara di kem LCR yang mempunyai suasana yang lebih relaks berbanding pasukan utama Repsol Honda yang mempunyai tekanan yang lebih tinggi. Ia bagi membolehkan Alex mengenali dengan lebih dekat jentera Honda RCV sebelum memasuki kem sebenar Repsol Honda.