Artikel PilihanBuletin

INI BETUL-BETUL REAL PUNYA TRANSFORMERS!

Inovasi bukanlah hak mutlak sesuatu kaum, ia merupakan hak semua warga dunia. Contohnya adakah anda tahu siapakah yang memperkenalkan e-mail? Untuk makluman anda e-mail bukanlah ciptaan Steve Job ataupun Bill Gates, tetapi ia diperkenalkan oleh seorang remaja belasan tahun dari India pada penghujung tahun 70-an.

Kini setelah pelbagai siri filem Transformers ditayangkan, muncul sebuah BMW 3-Siri yang boleh bertukar bentuk menjadi robot seperti watak-watak dalam filem Transformers. Di mana lokasinya? Hollywood? Tokyo? Atau Kodiang? Semua tidak betul kerana negara kelahiran Transformer baru ini ialah Turki!

Ia merupakan hasil rekaan terbaru sebuah syarikat R&D Turki yang dinamakan Letvision. Letvision merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan perisian interaktif. Mereka juga telah sekian lama menjalankan kerjasama dengan Intel dan Microsoft dalam membangunkan perisian-perisian komputer.

Ciptaan terbaru mereka menggunakan sebuah BMW 3-siri yang boleh bertukar menjadi sebuah robot seperti yang dapat anda saksikan dalam filem-filem Transformers. Ia di gelar LETRON dan model yang diasaskan daripada BMW 3-Siri merah ini dinamakan ANTIMON.

Idea untuk menghasilkan model robot daripada sebuah kereta lebih kepada tujuan pemasaran untuk pasaran masa hadapan yang semestinya unik dan futuristik. Model ini mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan. Ia berjaya dihasilkan dengan menggunakan khidmat 12 orang jurutera dan 4 orang kru teknikal. Bahagian mekanikal dihasilkan di ibu pejabat Letvision di Ankara dan bahagian perisian dibangunkan oleh bahagian teknikal mereka yang berpangkalan di Technopark.

bmw-transformer-letrons-6

Adakah kereta ini boleh dipandu seperti kereta biasa? Berdasarkan laman web Letvision, kereta ini belum boleh dipandu di jalan raya buat masa kini kerana ia dioperasikan dengan menggunakan kawalan jauh. Tetapi mungkin boleh di masa hadapan kerana ia mempunyai motor elektrik seperti sebuah kereta elektrik.

ANTIMON juga belum boleh berjalan kerana perisian untuk berjalan belum dibangunkan lagi. Menurut Letvision, fungsi ini boleh ditambah jika ada mana pihak-pihak yang sanggup menanggung kos R&D.

Ini bermakna anda juga boleh membeli ANTIMON ini ataupun model-model lain seumpamanya jika berjaya berjaya meyakinkan pasukan LETRON dengan kemampuan anda dan tujuan anda ingin mendapatkannya. Ini bukan macam beli mainan transformers di pusat membeli-belah tau.

Mereka juga bersedia menghasilkan model-model berasakan kenderaan jenis lain jika ada permintaan daripada bakal pembeli. Laman web Letvision juga memaparkan video kenderaan-kenderaan ini disamping beberapa model lain yang akan dibina. Antaranya ialah BIZMUT, ARGON, WOLFRAM dan TANTAL.

Namun begitu selain daripada mampu bertukar bentuk daripada kereta kepada robot, ANTIMON tidak mempunyai kemampuan bergerak seperti manusia ataupun Transformers yang digambarkan dalam filem. Ia juga mampu bercakap tapi kalau nak ajak bersembang lupakan sahaja sebab ia cuma menggunakan ayat-ayat yang diprogramkan.

Bagaimanapun Letvision bersedia untuk membangunkan apa sahaja tambahan kepada ANTIMON asalkan ada pihak yang mahu membiayai kos R&D. Perlu diingat kos yang harus ditanggung bukannya kecil.

Siapa sasaran pelanggan?, rasanya ANTIMON bukannya dihasilkan untuk berperang. Tetapi kalau untuk pengiklanan memang ia akan menjadi sangat berkesan. Jangankan nak jual kereta baru, nak jual kereta terpakai pun boleh. Letakkan sahaja di tepi Jalan Ipoh ataupun sekitar Cheras, tekan butang kawalan jauh dan ia akan bertukar menjadi robot siap dengan sistem bunyi.

Kalau tak dapat jual kereta pun sekurang-kurangnya dapat juga menarik perhatian orang ramai. Satu lagi bakal pelanggan ialah anak-anak hartawan dunia yang memang tak pernah peduli tentang baki duit dalam akaun mereka. Maklumlah 8 keturunan makan harta belum belum tentu habis.

 

 

 

 

 

 

 

Tags
Google ads
Back to top button