Buletin

TOGG BAWA KERETA DARI TURKI PAMER DI CES 2022, AMERIKA SYARIKAT

Togg dari Turki mempamerkan model kereta baharu pada CES 2022 di Las Vegas yang merupakan pameran barangan pengguna elektronik terbesar di dunia.

Togg diasaskan pada tahun 2018 bagi menghasilkan jenama global dengan 100 peratus harta intelek dan perindustrian dari Turki.

Togg juga akan menjadi tulang belakang kepada ekosistem mobiliti Turki.

Kenapa Togg bawa kereta ke pameran elektronik?

Ketua Pegawai Eksekutif Togg, M. Gürcan Karakaş memaklumkan syarikatnya bukan pengeluar kenderaan tradisional. Togg adalah sebuah syarikat teknologi dan sebab itu mereka berada di CES yang merupakan lokasi perhimpunan teknologi dan inovasi terkini.

Kereta konsep Togg

Satu perkara menarik tentang kereta ini apabila ia dipanggil sebagai peranti pintar Togg. Kereta ini menggunakan konsep fastback dan turut memperkenalkan DNA gayaan Togg.

Dari depan dan sisi hingga ke belakang memang jelas karakter kuat yang dibawa oleh kereta ini.

Logo depan Togg yang menyala pula membawa kesatuan budaya Timur dan Barat.

Togg tidak mendedahkan butiran teknikal tentang kereta ini seperti jarak pemanduan, kuasa dan tempoh pengecasan.

Apa yang diberitahu ialah Togg akan menghasilkan sendiri bateri dengan kerjasama Farasis Energy.

Penyelidikan dan pembangunan bateri

Bukan sekadar menghasilkan kereta, pelan perniagaan Togg turut merangkumi penyelidikan dan pembangunan bateri. Syarikat juga mensasarkan untuk membekalkan bateri kepada semua jenis kenderaan elektrik.

Menariknya Togg juga mahu terlibat di luar bidang sektor automotif sebagai pembekal bateri dan sistem simpanan tenaga.

Nak keluarkan sejuta kenderaan!

Togg mensasarkan untuk keluarkan sejuta kenderaan dalam lima segmen berbeza menjelang tahun 2030.

Model pertama? Sebuah SUV elektrik segmen C akan dilancarkan pada suku pertama 2023 selepas selesai ujian homologasi.

Dua buah model iaitu sedan dan hatchback segmen C turut akan dilancarkan. Lagi model yang berada di dalam perancangan ialah SUV segmen B dan MPV segmen C.

Kelima-lima buah model akan berkongsi DNA dan platform yang sama.

Togg syarikat Turki, kilang di Gemlik

Togg diasaskan pada 25 Jun 2018 dan merupakan anak syarikat Anadolu Grubu Holding A.Ş., BMC Otomotiv Sanayi ve Ticaret A.Ş., Turkcell İletişim Hizmetleri A.Ş., Zorlu Holding A.Ş. dan Türkiye Odalar ve Borsalar Birliği (Dewan Kesatuan dan Komoditi Pertukaran Turki).

Togg akan memulakan pengeluaran di Gemlik pada 2022.

BACA: SUV ELEKTRIK PERTAMA TURKI SEDIA MASUK PRODUKSI

BACA: TESLA EDAR 936,172 UNIT EV SEPANJANG 2021

BACA: TEKSI LONDON TERUS MAJU KE DEPAN – PEMILIKNYA ADA KAITAN DENGAN PROTON

Google ads
"
"
Back to top button