Motosikal

JENTERA MODEN KLASIK HONDA MONKEY AKAN DIHIDUPKAN SEMULA?

Honda baru-baru ini dilaporkan telah menghantar permohonan paten reka bentuk motosikal baharu di Eropah dan Jepun. Paten yang didakwa sebagai Monkey bike itu menguatkan lagi khabar angin bahawa Honda akan tampil dengan model terkini tidak lama lagi.

Honda-Monkey-patent-2016-mekanika (1)

Motosikal kecil dikenali sebagai Honda Monkey sememangnya popular di Jepun sekitar tahun 1960-an. Percaya atau tidak, Monkey masih lagi dijual di negara matahari terbit itu sehingga sekarang!

Minat Honda untuk menghidupkan kembali Monkey banyak didorong oleh kejayaan model Honda Grom atau Honda MSX125, sama ada di pasaran Eropah mahupun Asia.

Honda-Monkey-patent-2016-mekanika (4)

Justeru, formula Honda adalah untuk menggabungkan aspek mekanikal Grom dengan gayaan retro Monkey. Kombinasi itu pasti membolehkannya dijual di pasaran yang memiliki peraturan emisi ketat seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Tidak hairanlah jika Monkey bakal dikuasakan oleh enjin bersesaran 125cc (sama seperti Grom dan MSX125). Malah, jentera yang menggunakan kod Z50 itu turut berkongsi kerangka, brek dan suspensi hadapan Grom.

Honda-Monkey-patent-2016-mekanika (3)

Cuma sub-kerangka dengan tempat duduk tunggal Monkey menggunakan penyerap hentak berkembar tradisional. Manakala lengan ayun baharu jenis tiub juga meniru lakaran asal Z50.

Jika sebelum ini Monkey hanya menyorok di Jepun, model baharu ini dijangka diperkenalkan ke pasaran global. Ini kerana enjin itu sudahpun mendapat kelulusan untuk digunakan di beberapa pasaran penting di seluruh dunia.

Honda-Monkey-patent-2016-mekanika (6)

Lakaran paten menunjukkan beberapa variasi konsep asal yang sebelum ini pernah dipamerkan di Thailand dan Tokyo Motor Show 2015. Jadi, boleh dikatakan bahawa Monkey ini merupakan evolusi untuk sebuah model produksi.

Berbanding profail asal Monkey, jentera ini nampaknya lebih besar, jika dilihat pada sesaran enjin rim bersaiz 12 inci yang digunakannya. Ekzosnya yang diletakkan lebih tinggi, mengambil inspirasi gaya scrambler.

Biarpun di sebalik semua keghairahan ini, adakah benar Honda akan memproduksikan Monkey? Ini kerana Honda sudah pun mempunyai Grom yang angka jualannya agak bagus. Jadi, kenapa perlu melabur jika keuntungan yang bakal diperolehi mungkin tidak seberapa? Kita tunggu sahajalah ya…

Google ads
Back to top button