" "
Artikel Pilihan

INI FORMULA KERETA ELEKTRIK YANG MENARIK, BARU ORANG SUKA.

Tidak dinafikan yang penggunaan kereta elektrik sebenarnya terbukti mampu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dengan syarat penjanaan kuasa elektrik adalah datang dari sumber yang bersih dan juga lestari.

Kelemahan kereta elektrik pada zaman sekarang terbukti tidak dapat menarik perhatian semua pengguna jalan raya biasa, peminat automotif dan juga orang awam melainkan kepada pembeli yang berduit dan memang suka mencari kelainan.

Berdasarkan pemerhatian kami setelah memandu uji berpuluh-puluh kereta elektrik, kami senaraikan bagaimana kereta elektrik boleh diterima secara majoriti oleh pengguna di dalam negara

1. Harga mampu milik – jika dilihat, kereta merupakan keperluan asas bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal di luar bandar. Kebanyakan kereta elektrik pula dijual pada harga RM 100,000 ke atas, dan pada harga tersebut ia bukanlah dalam kategori mampu milik

Kita hanya boleh berharap yang Perodua MyVi elektrik yang akan diperkenalkan nanti boleh dijual pada harga kurang RM 100,000.

2. Rekaan kena bergaya – contoh yang terbaik kereta elektrik dengan rekaan paling buruk ialah Neta V yang diimport dari China. Dengan harga minima RM 100,000 ke atas, ia bukan sahaja buruk malah mahal. Tambahan pula dengan isu tular seperti terbakar dan gagal ujian kemalangan membuktikan bukan semua produk dari China adalah bagus

3. Jarak pemanduan ideal – adalah sekitar 400km ke 500km dengan pembeli akan menggunakan kereta elektrik ini sebagai kenderaan utama dan perlu memandu jauh untuk pulang ke kampung apabila musim perayaan (Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali)

Jadi jika jarak perjalanan yang terlalu dekat, pengguna akan terasa malas dan terbeban kerana perlu menunggu proses untuk mengecaj sedangkan anda hanya perlukan kurang seminit untuk mengisi petrol

4. Pendekkan masa mengecas – biar dalam 10 minit kereta boleh dicaj dari 10% ke 80%, baru kalut pemandu nak ke toilet, solat dan minum. Sebab standard industri sekarang adalah antara 20 minit ke 60 minit adalah terlalu lama. Bayangkan kalau ada kereta lain yang menunggu kita mengecaj selama 60 minit?

5. Fasiliti mengecaj berbumbung – ya bayangkan anda terpaksa mengecaj di dalam hujan sedangkan kereta petrol yang jauh lebih murah boleh mengisi minyak tanpa terkena setitik pun air hujan. Apa salahnya buat stesen mengecaj dengan lebih sempurna dan selesa.

6. Rekaan dalaman luar biasa – kadang kala pemandu biasa menyampah dengan rekaan kereta elektrik yang terlalu minimalistik. Lebih baik kekalkan semua tombol, tuil dan suis mekanikal untuk gear, signal, lampu dan juga corong penyaman udara. Bayangkan nak ubah sudut corong penyaman udara kena ubah di skrin sesentuh? Semak rasanya

7. Keselamatan – tambah lagi meyakitkan hati bila kereta elektrik diberikan Retina Sensor bagi mengawal pemandu supaya kekal fokus di jalan raya, tapi semua butang kawalan dah dihilangkan oleh pengeluar. Tekan je skrin, sensor akan bagi amaran. Ni antara rekaan keselamatan paling tak guna bila digabungkan dengan kabin minimalistik

8. Ketumpatan tenaga bateri perlu dinaikkan – sebagai contoh mudah, Perodua MyVi memerlukan 40 liter petrol (anggaran ketumpatan 1, maka berat petrol ialah 40kg) untuk perjalanan sejauh 400km. Bagi kereta elektrik, ia memerlukan bateri seberat 400kg – 600kg untuk perjalanan yang sama.

Apabila ketumpatan tenaga bateri bertambah, ia boleh dibuat dengan lebih ringan dan berat keseluruhan kenderaan akan menjadi lebih ringan

9. Berat pengaruhi pemanduan -apabila berat bateri bertambah, ia akan mempengaruhi pergerakan kereta elektrik semasa melalui jalan tidak rata, jalan berbonggol, jalan berselekoh dan sewaktu membrek. Disebabkan berat juga, tayar kereta elektrik menjadi cepat haus dan tayar ini adalah lebih mahal berbanding tayar biasa

10. Kalau berat kena pakai suspensi aktif – ya berat bateri tadi boleh disorok dengan menggunakan suspensi adaptif yang boleh ditinggikan dan direndahkan serta mengubah kekerasan penyerap hentak. Masalahnya ialah kereta elektrik seperti Audi Q8 e-Tron dan Mercedes EQS 500 adalah mahal dengan harga menjangka setengah juta ringgit

11. Ringan lebih baik – apabila kereta elektrik menjadi ringan, ia boleh menggunakan suspensi pasif biasa yang lebih murah untuk diselenggara. Cesi yang ringan juga membolehkan kereta elektrik melalui jalan kampung yang berbonggol dengan lebih selesa, tidak berayun atau terhentak-hentak.

12. Jaminan bateri sehingga 300,000km – kenapa 300,000km? Sebab inilah jarak purata yang akan digunakan dan dilalui oleh kereta dengan enjin sebelum ia rosak dan perlu menjalani proses pembaikan besar-besaran. Jaminan ini akan memberikan ketenangan pada bakal pembeli kereta elektrik

13. Taburan pusat mengecaj tidak sekata – berbeza dengan stesen petrol atau diesel, pusat mengecaj kereta elektrik banyak tertumpu di kawasan bandar dan amat kurang sekali di kawasan luar bandar menyebabkan bakal pembeli menjadi ragu-ragu

Dengan masalah dan karenah kerajaan tempatan, pelbagai halangan birokrasi dan kos yang tinggi menyebabkan syarikat penyedia perkhidmatan gagal menyediakan prasarana pengecasan yang cukup di semua tempat

Google ads
Back to top button