Artikel Pilihan

INI KELEMAHAN CVT YANG HARUS KITA TERIMA, GEAR MANUAL HAMPIR PUPUS

Jika anda lihat kebanyakan kereta terutama kereta bajet dan ekonomi yang dijual di dalam negara, hampir semua ditawarkan dalam varian automatik. Masih ada varian yang ditawarkan dalam transmisi manual, tapi tak banyak pilihan. Varian manual biasa ditawarkan dalam varian terendah seperti Perodua Bezza 1.0G manual dan Proton Saga 1.3 Standard MT selain dari trak pikap.

Selain daripada Proton Saga 1.3 automatik yang ditawarkan dengan gear automatik 4 kelajuan, hampir semua jenama menggunakan transmisi CVT. Ada 3 sebab utama kenapa CVT menjadi pilihan utama, pertama ia menawarkan penjimatan bahan api yang sangat bagus dan lebih baik berbanding transmisi automatik lain

Kedua, ia lebih mudah untuk dihasilkan dan menjadikan kos pengeluaran adalah rendah. Ini boleh menjadikan harga kereta lebih berdaya saing dalam penawaran harga. Ketiga apabila penggunaan bahan api dikurangkan, pelepasan gas karbon dioksida dan gas beracun lain menjadi semakin rendah.

Bingo, pengeluar mendapat 3 penyelesaian masalah dengan hanya menukar transmisi automatik biasa kepada transmisi CVT. Tapi bagi pengguna yang baru menggunakan transmisi CVT, anda harus terima hakikat yang transmisi CVT bukanlah sempurna. Berikut ialah kelemahan transmisi CVT yang biasa dihadapi oleh pengguna:

1. Ia dikawal oleh TCU – atau disebut sebagai Transmission Control Unit dimana segala operasi penukaran gear maya akan ditentukan oleh TCU. Tugas anda hanyalah memasukkan slot gear kepada kedudukan D sahaja, selain daripada itu tugas mengawal gear akan diambil alih oleh TCU.

CVT akan direka berdasarkan operasi BSFC atau Brake Spesific Fuel Consumption dimana BSFC merupakan ukuran penggunaan bahan api paling terendah sewaktu enjin sedang beroperasi. Jika BSFC kereta anda berada dalam julat 1500-2000 RPM, maka CVT akan cuba merendah gear sebaik mungkin agar operasi enjin kekal dalam julat tersebut.

Kesan operasi ini ialah penggunaan bahan api semakin rendah tapi menjadikan anda rasa kereta anda lemau sedikit. Tapi jika anda menekan pedal minyak, CVT akan menaikkan ratio secepat mungkin bagi membantu pecutan. Jika anda kaki lenjan dan bawa laju, operasi CVT yang sentiasa berada di gear tinggi ini (ratio rendah) tidak akan kena dengan jiwa kelajuan anda.

2. Wajib ada pilihan merendahkan gear – disebabkan isu di atas, CVT akan diberikan pilihan mode pemanduan sporti dengan gear bertanda S (Sport) bagi membantu pecutan dalam julat pertengahan (mid range) atau L (low gear) bagi mendaki bukit yang curam. Kedua dua gear ini juga boleh digunakan sebagai engine braking ketika menuruni laluan curam atau berbukit

Bagi kereta yang lebih mahal, ia akan ditawarkan dengan pilihan gear bertanda M (manual) dimana pemandu boleh mengawal pilihan gear ratio maya sehingga 7 kelajuan. Kadangkala ia akan disertakan dengan unit penukar gear di belakang stering.

Setakat ini unit CVT Toyota Corolla memberikan sensasi penukaran gear yang paling memuaskan hati, memberikan sensasi sentapan fizikal pada enjin ketika dipandu dalam keadaan agresif dalam mode Sport. Jika kereta anda tiada pilihan S atau L, anda harus pasrah berada di lorong kiri jalan.

3. Fenomena termenung – atau disebut delay atau rubber band effect dimana apabila pedal minyak ditekan, kita rasa ada penangguhan atau delay untuk kereta mulai memecut dengan gear yang sesuai. Secanggih mana pun gear CVT, masalah ini tetap ada terutama jika anda memandu agresif dan suka menekan pedal minyak dengan kasar.

Masalah ini akan dikurangkan dengan mengubah cara anda memandu dengan memberikan input pedal minyak secara linear. Barulah anda rasakan pecutan yang dibuat oleh gear CVT lebih lancar tanpa delay. Ingat AirAsia je pandai delay ni

4. CVT ada bunyi – ya memang karekter operasi CVT akan menghasilkan bunyi terutama ketika pulley atau takal CVT mengubah diameter bagi menghailkan ratio yang baru. Bunyi ini kadang-kala boleh didengari seperti bunyi bersiul yang halus. Solusi yang mudah, kuatkan sahaja radio selesailah masalah anda. Atau belajar main saham, boleh beli helikopter untuk ke pejabat

5. Imej produk – penulis tidak kisah jika kereta segmen A, B atau C menggunakan transmisi CVT walaupun penulis lebih sukakan transmisi automatik 6 kelajuan. Tapi jika anda memandu kereta segmen D dengan CVT, ia nampak kurang kena dengan gaya eksekutif sebuah sedan mewah,

6. CVT ada limit kuasa – ya kebanyakan CVT ada batasan kuasa yang boleh dikenakan oleh enjin sewaktu beroperasi walaupun ia dipadankan dengan enjin turbo. Katakanlah enjin turbo menjana sehingga 250Nm tork, maka maksima tork yang boleh diterima oleh CVT hanyalah sekitar 260-270Nm tork sahaja.

Jika anda memandu secara biasa, ia tidak akan menjadi masalah kepada CVT. Jika anda kaki ubahsuia, gemar memasang aksesori yang boleh menala kuasa enjin, maka berjaga-jagalah kerana CVT anda akan merana dan tidak mustahil ia akan rosak nanti.

Anda boleh membaca artikel tambahan berkenaan jenis-jenis CVT di SINI

Google ads
Back to top button