Buletin

GAGAL PAKAI PELITUP MUKA DI TEMPAT AWAM. DENDA DIKENAKAN MULAI 1 OGOS – ISMAIL SABRI

Pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata trend jangkitan COVID-19 menunjukkan terdapat peningkatan walaupun sedikit demi sedikit.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai semakin menurun termasuk di dalam pengangkutan awam seperti LRT dan KTM.

“Pengamalan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka (facemask) di dalam pengangkutan awam oleh orang ramai juga tidak dipatuhi,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP).

Dalam pada itu, beliau memberitahu segelintir pihak tidak mengendahkan SOP di tempat-tempat awam yang bersesak terutamanya yang tertutup.

Katanya, orang ramai dibenar menggunakan pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342  (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Google ads
Back to top button