Artikel Pilihan

BMW X7 DARK SHADOW EDITION – BATMAN MINAT KOT NAK BELI

Macam biasa bila BMW keluarkan model-model baharu mesti ada bakal pembeli yang menanti varian M yang lebih gah dan sporty. Kalau tak ada dari BMW sendiri mungkin versi istimewa akan dikeluarkan oleh Alpina. Kini mereka tak payah bimbang sebab BMW baharu sahaja mengumumkan varian edisi khas X7 yang bakal menjadi saingan Mercedes-Benz GLS dan ia dinamakan X7 Dark Shadow Edition 2021. Gempak tak nama?

Model edisi terhad SUV 7-tempat duduk ini akan dihasilkan di fasiliti pembuatan global BMW di Spartaburg bermula Ogos ini. Ia bukan hanya untuk pasaran tempatan ataupun Eropah tetapi untuk seluruh dunia dengan 600 unit akan dihasilkan.

X7 Dark Shadow Edition ini akan dilengkai dengan segala jenis peralatan standard dan pilihan secara komprehensif. Itu tidak termasuk pakej-pakej lain lagi. Kini pembeli juga boleh membuat pilihan untuk tepat duduk kapten di barisan kedua berbanding tempat duduk panjang biasa sebelum ini.

Ia akan diwarnakan dengan warna khas yang dinamakan BMW Individual Frozen Artic Grey dan ia merupakan kali pertama ia ditawarkan untuk model X BMW. Kemasan hitam berkilat digunakan pada bahagian trim pintu, tiang-tiang B dan C, pelindung cermin pandang belakang, railing bumbung dan gril utama bagi menyerlahkan lagi imejnya.

Bukan itu sahaja, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem ekzos M-Sport dan diberi kemasan krom gelap. Penampilannya diserikan lagi dengan penggunaan M V-spoke 22-inci berwarna Jett Black matte dan tayar-tayar run flat prestasi tinggi.

Kuasanya datang dari enjin 4.4L V8 turbo yang mampu menghamburkan 523 hp kuasa bila diperlukan dan pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan masa 4.5 saat. Kelajuan maksima BMW macam biasa dihadkan kepada 250 km/j sahaja. Tu pun dah laju wei, laju-laju nak ke mana?

Bahagian dalaman menyaksikan penggunaan kulit Merino dengan kombinasi warna hitam dan jahitan biru. Bahagian papan pemuka dan pintu pula dibalut sepenuhnya dengan kulit Nappa dengan beberapa insert aluminium di sana sini. Mana lengkap model limited edition tanpa lencana khas kan? Ada je, jangan bimbang.

Bahagian lain sama seperti model BMW lain dengan segala macam ciri keselamatan aktif dan pasif. Sebagai tambahan mereka turut menawarkan sistem cruise control aktif dengan fungsi stop & go, tempat duduk berbilang kontur dan sistem audio Bower & Wilkins diamond.

Tags
Google ads
Back to top button