INI SEBAB KENAPA BMW Z4 & TOYOTA SUPRA TAK DAPAT ENJIN S58
Sebelum ini BMW dan Toyota mengesahkan bahawa kedua dua kereta sport yang dihasilkan secara bersama iaitu Z4 dan Supra akan ditamatkan pengeluarannya menjelang tahun 2026. Pada awal pelancarannya ketika 2019, hanya varian automatik sahaja yang ditawarkan pada Z4 dan Supra ini.
Namun atas permintaan peminat, Toyota Supra telah melancarkan varian manual pada tahun lepas diikuti oleh BMW Z4 M40i dalam varian manual pada tahun 2025. Kedua dua model dikuasakan dengan enjin 3000cc 6 silinder menggunakan kod B58 yang menghasilkan sekitar 382 kuasa kuda dan 500Nm tork.
Namun sebenarnya BMW memiliki sebuah lagi enjin yang lebih berkuasa dihasilkan daripada varian B58 yang diberi nama S58. Dengan menggunakan 2 turbo S enjin S58 dihasilkan dalam 2 tetapan kuasa, menghasilkan 473 kuasa kuda pada 6250 RPM dan 550Nm tork seawal 2650 RPM. Talaan ini membolehkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 4.1 saat dan laju maksima 290km/jam
Bagi varian Competition, enjin S58 ditala dengan lebih kuat bagi menjana 503 kuasa kuda dan 650Nm tork dari 2750 RPM. Ini membenarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 3.8 saat. Angka yang dihasilkan ini adalah enjin dalam keadaan stok original kilang
Namun penukaran daripada enjin B58 kepada enjin S58 bukan hanya melibatkan penukaran enjin walaupun kelihatan sangat mudah. Ini kerana enjin S58 datang dengan teknologi M Integrated Braking System
Sistem ini adalah sistem kompak yang direka khusus bagi menghasilkan talaan brek yang tepat dengan 2 tetapan rasa brek yang berbeza. Bagi mengintegrasikan sistem brek ini pada Supra dan BMW Z4 termasuk sistem penyejukan yang lebih berkuasa adalah sangat mencabar terutama bagi kereta yang dihasilkan dan dijual dalam kuantiti yang rendah
Sama seperti projek penggunaan transmisi manual 6 kelajuan pada BMW Z4 dan Toyota Supra, kos dan pelaburan yang dikeluarkan oleh Toyota dan BMW adalah sangat besar. Apatah lagi dengan rancangan BMW dan Toyota untuk menamatkan pengeluaran Supra dan Z4 pada tahun 2026, kemungkinan besar projek untuk memasang enjin S58 akan menjadi rugi
Apatah lagi pengenalan enjin S58 pada kedua-dua model ini memerlukan kedua dua syarikat untuk menjalankan semula R&D termasuklah ujian perlanggaran semula yang semestinya akan mengambil masa yang sangat lama. Atas sebab inilah BMW Z4 dan Toyota Supra kekal menggunakan enjin B58 berbanding dengan model BMW lain yang menerima enjin S58