Pandu Uji

TOYOTA GR SUPRA, WUJUD KERANA TEKNOLOGI HIDROGEN & FCEV

Ini fakta yang kita tak boleh nak ketepikan, BMW Z4 dan Toyota Supra sebenarnya berkongsi platform, enjin dan juga kotak gear. Malah kedua dua kereta juga berkongsi kedudukan enjin, kedudukan pemandu serta lokasi stering serta pedal dipasang. Hanya setakat itu sahaja persamaan Supra dan Z4.

Top hat ataupun rekaan atas bagi kedua-dua kereta adalah berlainan dengan Supra menggunakan rekaan Coupe yang diasaskan daripada model konsep Toyota FT-1. Bagi BMW Z4 pula ia menggunakan rekaan roadster dengan bumbung kanvas yang boleh dilipat.

Berbalik kepada Toyota FT-1 yang menjadi asas rekaan Supra, ia sebenarnya diilhamkan daripada 2 model ikonik Toyota iaitu Toyota 2000GT yang dihasilkan pada tahun 1967 dan juga Toyota Supra 1982. Dari segi dimensi ia datang dengan panjang 4675mm dan lebar 1970mm. Manakala jarak antara roda ditetapkan pada 2740mm

Rekaan yang diilhamkan oleh Toyota Calty Design Reasearch akhirnya terpaksa akur dengan hardpoint pada platform Cluster Architecture yang disumbangkan oleh BMW. Ia terpaksa dipendekkan dan dikecilkan sedikit menjadi 4378mm panjang dan 1853mm lebar.

Hardpoint dalam cesi CLAR yang dibekalkan oleh BMW ini menyebabkan Toyota perlu bertolak ansur mengenai kedudukan tayar, kedudukan suspensi, aspek keselamatan, saiz kenderaan, lokasi pemandu dan juga keperluan di kilang pemasangan Magna Steyr.

Manakala BMW Z4 pula datang dengan 4324mm panjang dan 1864mm lebar. Persamaan antara Z4 dan Supra ialah jarak antara roda pada 2470mm sahaja. Malah ada undang-undang perindustrian di Jerman yang menghalang 2 syarikat daripada melakukan aktiviti rebadge, dan perkongsian platform serta enjin bukan tertakluk pada undang-undang ini.

Malah perbezaan rekaan coupe 2 pintu dengan roadster ini juga menyebabkan BMW Z4 menjadi lebih berat berbanding dengan Supra disebabkan roadster perlu menggunakan banyak pendakap cesi untuk memastikan cesinya adalah tegar dan kuat

Berbalik pada Supra, rekaan luarnya cukup menarik bagi penulis dengan bampar dan rekaan jeriji bawah sama seperti jentera F1, hud depan panjang sama seperti sebuah kereta sport klasik serta bahagian ekor yang pendek dengan rekaan duck tail

Terdapat beberapa rongga kemasukan udara seperti di bampar depan, hud enjin dan juga bampar belakang ditutup dengan plastik, tetapi menurut jurutera Toyota ia boleh dibuka sekiranya pemilik bercadang untuk melakukan proses naiktaraf enjin dimana sejukan udara maksimum diperlukan

Di bahagian belakang pula, Toyota masih mengekalkan jenis tulisan dan saiz bagi perkataan “TOYOTA” dan “SUPRA” sama seperti yang pernah digunakan pada tahun 1994 dahulu. Nastolgia.

Untuk brek, Supra mengenakan brek jenama Brembo dengan saiz cakera mencecah 348mm di depan ditemani dengan angkup 4 piston. Untuk brek belakang, saiznya adalah 345mm dengan angkup 1 piston.

Roda depan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/35 R19 manakala roda belakang menggunakan saiz 275/35 R19. Untuk model baru, semua roda dihasilkan dengan kaedah tempaan untuk lebih ringan sebanyak 1.2kg.

Ruang enjin depan menerima pendakap di bahagian atas enjin, roda belakang menggunakan sistem electronic limited slip differential yang dikemaskini, tetapan stering baru dan sistem penyerap hentak yang ditambahbaik.

Semua ini adalah untuk memastikan Supra mampu mengawal tambahan kuasa setelah enjin asal B5830M1 yang menjana 335hp serta 500Nm ditukar kepada varian B5830O1. Enjin baru ini menghasilkan 382hp dan 500Nm dengan pilihan gear manual 6 kelajuan atau automatik 8 kelajuan

Sama seperti sebelum ini, enjin B58 ini menggunakan sistem turbo skrol berkembar, Double Vanos, Valvetronic, blok aluminium, nisbah mampatan 11:1, intercooler sejukan cecair, aci engkol dan rod penyambung dihasilkan dengan kaedah tempaan.

Walaupun lebih berkuasa, enjin ini masih memberikan bacaan bahan api yang bagus iaitu 13km/liter petrol untuk angka rasmi. Bacaan sebenar yang dicatatkan oleh penulis dengan halaju tidak melebihi 125km/jam mencatatkan bacaan purata 11.8km/liter

Menjengah di ruang dalaman, Supra masih mengekalkan sistem multimedia 8.8 inci dengan sambungan Apple Car Play, dan disambungkan dengan 12 pembesar suara JBL. Ciri-ciri moden yang dibekalkan termasuklah paddleshifter, brek parkir elektrik, pengecas tanpa wayar dan juga ruang kargo 290 liter.

Penulis akan terangkan dengan teliti bagaimana kualiti pemanduan Toyota GR Supra yang berharga RM 655,00 bagi varian automatik ini.

1. Kedudukan pedal brek dan pedal minyak adalah cukup bagus dan cemerlang. Penulis dengan mudah menjumpai satu lokasi (pivot point) bagi meletakkan tumit untuk mengawal pedal brek dan minyak tanpa perlu mengalihkan kaki dengan pantas.

2. Tindakbalas cesi dan arah cesi boleh diubah dengan pantas selepas menerima input dari stering. Agihan berat 50:50 pada bahagian depan dan belakang serta pusat graviti yang lagi rendah dari GT86 menjadikan Supra sangat mudah untuk dikawal di selekoh

Jika GR Corolla hanya memerlukan 1.7 pusingan stering dari tengah ke kiri atau kanan, GR Supra pula hanya memerlukan 1 pusingan sahaja. Semua faktor di atas menjadikan anda yakin untuk memotong kereta perlahan di luar selekoh pada halaju 120km/jam

3. Kawalan pada cesi terasa pada dan cengkaman pada permukaan jalan adalah seperti tayar Michelin Pilot Sport 4S ini ditanam dalam tar jalan. Namun seperti biasa, anda harus berhati-hati ketika hari hujan.

4. Brek mengigit dengan cemerlang, malah dalam sesetengah keadaan penulis rasakan brek menjadi terlalu sensitif. Namun penulis tetap rasakan kuasa brek yang dihasilkan adalah sepadan dengan hamburan kuasa enjin

5. Enjin talaan baru ini lebih responsif dengan menawarkan kuasa pada semua gear. Tapi untuk kesan yang lebih dramatik, turunkan satu gear sebelum menekan pedal minyak bagi meminimakan kesan turbolag.

Jika enjin GR Corolla menawarkan bunyi lebihan boost dari turbo, GR Supra pula menawarkan bunyi enjin 6 silinder yang lebih garang dan harmonik. Ia lebih sedap didengar dan mampu mencairkan tahu telingan anda.

6. Respon gear – operasi gear ZF 8 kelajuan ini adalah memang pantas dengan penukaran gear dibuat dengan lancar dengan kaedah paddleshift dan mampu melonjakkan Supra ke depan setiap kali pedal minyak ditekan

Sewaktu memasuki selekoh pada halaju tinggi, penulis hanya mendengar sahaja ngauman enjin. Jika enjin kurang mengaum, ini bermakna gear perlu diturunkan satu atau 2 ratio sehingga enjin mengaum sedikit dan menawarkan “engine braking” sebelum anda memasuki apeks selekoh.

Latih sahaja telinga anda dan anda tidak perlu lagi melihat gear berapa yang anda kena guna untuk memasuki selekoh

Dalam aspek keselamatan, GR Supra lengkap dengan sistem brek kecemasan automatik, Lane Departure Warning & Assist, sistem pemanduan adaptif, lampu depan LED dengan adaptif, Road Sign Recognition, sistem amaran titik buta dan juga amaran trafik lintasan belakang

Namun sama seperti kereta lain, GR Supra juga datang dengan beberapa kelemahan pada rekaannya seperti terdapat bonggol kecil pada konsol papan pemuka yang selalu bergesel dengan betis penulis. Papan pemuka juga terlalu tegak ke depan dan sepatutnya dicondongkan sedikit ke arah pemandu.

GR Supra juga tiada ciri Android Auto dan sama seperti kebanyakan kereta sport Jepun yang lain diameter stering yang digunakan adalah kecil. Sebagai contoh Honda Civic Type R FL5 menggunakan stering yang dibalut dengan suede dan lebih sedap digenggam.

Toyota sebenarnya telah menjadi pengeluar dan menjual kereta terlaris selama 20 tahun di peringkat global. Jadi duit bukanlah masalah utama bagi Toyota, melainkan risiko untuk menghasilkan dan menjual kereta sport 2 pintu adalah terlalu tinggi

Malah pengenalan varian manual pun masih lagi gagal melariskan GR Supra. Data pada tahun 2023 mendapti jualan GR Supra merosot sebanyak 46% disebabkan kewujudan golongan peminat Supra yang meminta Supra dihasilkan tetapi akhirnya langsung tidak membeli selain pandai menabur janji palsu

Jadi jangan salahkan Toyota kerana tidak mahu melabur dan merisikokan sejumlah duit yang banyak untuk menghasilkan platform baru, enjin 6 silinder baru, kotak gear baru, tooling baru, acuan untuk stamping baru dan mould baru. Semua ini melibatkan duit dan pengurusan risiko

Risiko yang hanya akan ditanggung bersama oleh BMW yang sangat berminat dengan teknologi hidrogen dan sel bahan api milik Toyota. Jadi apa salahnya kerjasama antara Toyota dan BMW bagi merealisasikan sebuah kereta sport secara bersama sama dengan risiko yang minima?

Toyota GR Supra ini hadir dengan bantuan teknologi bahan api hidrogen dan samaada anda suka atau tidak, GR Supra akan wujud dengan BMW Z4 atau langsung tidak wujud.

Kena perli dengan netizen? Lantakla, bukan mereka beli pun.

Google ads
Back to top button