Artikel Pilihan

INI SENARAI PEMANDU TERSOHOR YANG MATI DI LITAR LUMBA.

Motorsport bukanlah bermaksud anda beli kereta, mekap kereta anda merapu dan masuk pertandingan autoshow bagi kereta paling cantik. Sejarah motorsport atau sukan kenderaan bermotor wujud sebaik sahaja kenderaan atau kereta mampu milik mulai dijual pada orang awam. Henry Ford pernah mengalahkan Alexander Winton bagi membuktikan kemampuan jentera miliknya.

Walaupun nampak menarik, mampu memberikan luruan adrenalin pantas pada pemandu dan penonton tapi sukan kenderaan bermotor ini sebenarnya sangat bahaya. Kemalangan, kegagalan jentera, kebakaran dan banyak lagi faktor lain yang menyebabkan sukan bermotor ini merupakan sukan yang berisiko tinggi walaupun anda merupakan juara dunia

Oleh sebab itu kita boleh lihat penganjur sukan bermotor ini akan sentiasa cuba meningkatkan aspek keselamatan dalam perlumbaan dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru setiap tahun. Antara pelumba terkenal yang maut ketika berlumba ialah:

1. Ayrton Senna – merupakan 3 kali juara dunia dalam sukan perlumbaan F1 iaitu pada tahun 1988, 1989 dan 1990 bersama-sama pasukan Honda Malboro McLaren. Namun takdir telah menentukan Senna maut pada 1 Mei 1994 ketika memandu untuk pasukan Rothman William Renaul di GP San Marino Itali.

Ketika pusingan ke 7 di selekoh halaju tinggi Tamburello, jentera Senna terkeluar daripada litar pada halaju 307km/jam terus menghentam dinding konkrit pada halaju 233km/j selepas data yang diperolehi menunjukkan Senna sempat membrek selama 2 saat. Antara spekulasi yang dibuat ialah kegagalan sistem stering jentera William FW16

2. Ken Miles – merupakan veteran perang dunia ke dua yang berasal dari UK sebelum berhijrah ke Amerika. Ken merupakan salah seorang pelumba yang membantu Carol Shelby mengalahkan Ferrari dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans pada tahun 1965.

Pada tahun 1966 ketika memandu uji prototaip kereta lumba bagi musim 1966, jentera ujian yang dipandu oleh Ken Miles berpusing, terbalik dengan bumbung di bawah sebelum terjatuh di atas permukaan tanah ketika menuruni bukit pada kelajun 321km/j. Ken tercampak keluar dari kereta, terhempas dan mati serta merta.

3. Gilles Villeneuve – merupakan pemandu Formula 1 berasal dari Kanada dan merupakan ayah kepada Jacques Villeneuve iaitu juara dunia pada tahun 1997. Kemalangan yang tragis berlaku ketika Gilles sedang cuba membuat masa terpantas ketika sesi kelayakan di GP Belgium pada 8 May 1982

Ketika kemalangan berlaku, Gilles cuba memotong Jochen Mass di sebelah kanan tapi pada masa sama Jochen juga bergerak ke kanan bagi memberikan racing line sempurna pada Gilles. Akibatnya jentera Ferrari Gilles melanggar bahagian belakang Jochen, terlancar ke udara pada halaju 225km/jam, melayang sejauh 100 meter, jatuh dengan muncung jentera di atas tanah.

Ketika ini topi keledar Gilles sudah tercabut dan tercampak 50 meter lagi ke arah pagar keselamatan. Apabila doktor sampai 35 saat kemudian, Gilles sudah tidak bernafas tapi masih lagi memiliki denyutan nadi. Dia dihantar ke Hospital Universiti St Raphel, menerima mesin bantuan hidup dan doktor mengesahkan tulang lehernya patah.

Dia diisytiharkan mati pada pukul 9.12 malam dan kematiannya menyebabkan Enzo Ferrari trauma seumur hidup. Malah Enzo turut menyimpan potret Gilles di rumah serta pejabatnya.

4. Bruce McLaren – merupakan pemandu yang berasal daripada New Zealand tapi mengembangkan karier dalam sukan bermotor di Eropah selepas bakatnya disedari oleh Jack Brabham. Pada tahun 1966, Bruce dan Chris Amon berjaya menamatkan perlumbaan Le Mans 24 Hours dan diisytiharkan sebagai pemenang manakala pasukan Ken dan Danny Hulme mendapat tempat kedua.

Bruce meninggal dunia pada 2 Jun 1970 ketika di laluan lurus litar Goodwood England ketika menguji McLaren M8D. Jentera ini terbabas setelah bahagian belakang yang dipasang dengan penstabil aerodinamik tercabut, menyebabkannya berpusing, terbabas dan merempuh tembok.

Pasukan F1 yang diasaskannya dulu pada tahun 1963 meneruskan legasi dalam F1 dengan memenangi 8 Constructor Championship dan 12 Driver Championship.

5. Jules Bianchi – merupakan pemandu yang berasal dari Peranchis dan mempunyai pertalian dengan Lucien Bianchi yang juga seorang pemandu F1 sekitar tahun 1960an. Penglibatan pertamanya dalam F1 bermula dengan pasukan Force India sebelum berpindah ke pasukan Marussia.

Pada 5 Oktober 2014, Jules hilang kawalan pada jentera Marussia yang dipandunya keyika GP Jepun dalam cuaca hujan lebat dan melanggar sebuah jentera yang sedang mengalihkan sebuah jentera F1 lain yang terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan otak.

Selepas pembedahan kecemasan dilakukan, Jules diletakkan dalam keadaan koma sehinggalah kematiannya pada 17 Julai 2015 selepas gagal untuk sedar selepas 9 bulan koma. Kematian Jules adalah kematian pertama yang berlaku dalam F1 selepas kematian Ayrton Senna pada tahun 1994.

Jika anda fikir pelumba menghadapi risiko yang sangat tinggi ketika berlumba di litar walaupun telah mengambil semua langkah berjaga-jaga, bayangkan risiko yang anda hadapi jika anda cuba berlumba di atas jalan raya secara suka-suka.

Google ads
"
"
Back to top button