Artikel Pilihan

INILAH PEMANDU TERBAIK RALI SEPANJANG ZAMAN

Berbeza dengan F1 yang menjadi medan ujian teknologi pemotoran termaju, WRC ataupun World Rally Championship pula menjadi medan ujian bagi kenderaan-kenderaan yang dipasarkan kepada umum.

Sudah tentu spesifikasinya tidak sama dengan yang dipasarkan. Tetapi inilah medan pengeluar kereta seperti Mitsubishi, Subaru, Ford dan  lain-lain menguji kereta keluaran mereka ke tahap yang paling ekstrem.

WRC juga menjadi medan buat para pemandu memajukan lagi teknik pemanduan mereka untuk memenangi rali dan seterusnya menjadi juara.

Walaupun ramai yang mengatakan nasib menjadi faktor penentu kejayaan seorang pelumba, namun kemampuan pemandu untuk menggunakan skil dan teknik pemanduan yang baik juga menjadi penyumbang utama kejayaan mereka.

WRC telah melahirkan ramai pemandu hebat dan di sini kami senaraikan antara yang terbaik.

1. TOMMI MAKINEN

Seorang pemandu yang sangat berbakat. Tommi Makinen dari Finland mencipta sejarah apabila memenangi kejuaraan WRC sebanyak empat kali berturut-turut dari tahun 1996-1999.

Makinen memenangi perlumbaan WRC pertama beliau pada tahun 1994 di 1000 Lakes Rally dengan menggunakan Ford Escort Cosworth. Kemudian beliau gagal memenangi sebarang perlumbaan sehinggalah tahun 1996 di mana beliau telah memenangi 5 pusingan dan menjadi juara dunia.

BACA: REPLIKA EVO TOMMI MAKKINEN

Tak lama kemudian, beliau bergandingan dengan bekas pemandu Subaru, Richard Burns untuk membantu Mitsubishi mencapai kemenangan dalam kategori pengeluar WRC.

Kehebatan Makinen sebenarnya banyak dibantu oleh kereta Mitsubishi yang digunakannya, dari Lancer Carisma ke Lancer Evolution. Semua kereta ini dihasilkan khusus mengikut keperluan Makinen.

Apa yang lebih menakjubkan, pakej Mitsubishi ini cuma berhasil dengan Makinen dan tidak dengan pemandu lain. Sama seperti gandingan Peter Solberg dan Subaru Impreza 2004-2005.

Apabila beliau bertukar pasukan selepas itu, Makinen menjadi kurang kompetitif. Namun beliau masih menjadi antara pemandu terbaik pernah dihasilkan oleh WRC.

2. CARLOS SAINZ

Pelumba yang digelar El Matador ini memulakan karier dengan Ford dan menyertai WRC pada tahun 1987. Namun beliau mula dikenali apabila bertukar ke Toyota pada tahun 1989 di mana kariernya mula berkembang.

Sainz kemudian memenangi empat pusingan pada tahun berikutnya, termasuklah 1000 Lakes Rally. Sekali gus menjadikan beliau pelumba bukan dari Scandinavia pertama yang pernah memenangi pusingan ini.

Empat kemenangan ditambah dengan sejumlah mata menjadikan Sainz juara dunia WRC pada tahun 1990. Pada tahun 1991, beliau memenangi lima pusingan dan hampir menjadi juara dunia namun dicabar oleh Juha Kankkunen yang juga memenangi lima pusingan. Ditambah pula dengan jumlah mata yang lebih banyak, ia menjadikan Kankunnen juara pada tahun tersebut.

BACA: 10 PEMANDU F1 TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN

Tahun 1992 lebih dramatik kerana Sainz berjaya menewaskan Kankunnen untuk menjadi juara buat kali kedua. Beliau dicabar hebat oleh Didier Auriol yang memenangi enam pusingan, tetapi kekurangan mata kerana terlalu banyak DNF (Do Not Finish).

Selepas menempa nama dalam perlumbaan WRC, Sainz kemudiannya menyertai perlumbaan Paris-Dakar sejak 2006.

3. MARCUS GRONHOLM

Digelar dengan nama jolokan The Flying Finn, Gronholm memulakan karier WRC pada tahun 1989 di 1000 Lakes Rally. Tetapi karier beliau hanya mula berkembang apabila menyertai Peugeot Total World Rally Team pada tahun 1999.

Perlumbaan WRC pertama dimenangi Gronholm ialah di Rally Sweden tahun 2000. Seterusnya beliau berjaya memenangi tiga lagi pusingan dan berjaya menewaskan pemandu Subaru, Richard Burns untuk menjadi juara dunia tahun 2000.

Tahun berikutnya menyaksikan beliau juga memenangi tiga pusingan tetapi tewas kepada Burns kerana mengalami beberapa kerosakan mekanikal. Gronholm kemudian muncul juara sekali lagi pada tahun 2002, namun sekali lagi ditimpa malang pada tahun berikutnya akibat kerosakan mekanikal.

BACA: 10 PELUMBA MOTOGP TERBAIK DUNIA

Pengenalan Peugeot 307 yang berat pada tahun 2004 telah menggagalkan usaha beliau untuk mencapai kemenangan. Gronholm kemudian menyertai Ford dan mencapai beberapa kemenangan tetapi gagal mengatasi kehebatan Citroen yang dipandu oleh Sebastian Loeb.

4. JUHA KANKUNNEN

Juara dunia empat kali ini mempunyai sejarah yang berwarna warni selama hampir 23 tahun penglibatan beliau dalam WRC.

Pada tahun 1985, sewaktu era Group B, Kankunnen yang memandu Toyota Celica telah memenangi dua kejuaraan. Beliau kemudian bertukar ke Peugeot menggantikan Ari Vatanen dan mengendalikan 205 Turbo yang cukup berkuasa untuk memenangi tiga pusingan dan muncul sebagai juara dunia buat pertama kali.

Tahun berikutnya, Peugeot menarik diri daripada WRC dan Kankunnen menyertai Lancia untuk bertanding dalam Group A pada tahun 1987.

Walaupun cuma memenangi dua pusingan dengan memandu Lancia Delta HF, jumlah mata keseluruhan beliau cukup untuk menjadi juara dunia buat kali kedua.

BACA: PROTON PUTRA WRC YANG DILUPAKAN

Kankunnen meninggalkan Lancia dan berhijrah ke Toyota tahun berikutnya kerana masalah dengan pihak pengurusan, namun di kem Toyota beliau gagal mencapai sebarang kejayaan. Beliau cuma mendapat tempat ketiga pada tahun 1989 di belakang dua pemandu Lancia.

Kankunnen kembali ke Lancia semula selepas itu dan kembali muncul sebagai juara dunia pada tahun 1991, menjadikan beliau pemandu WRC pertama pernah merangkul tiga kejuaraan dunia.

Kankunnen menyertai Toyota semula pada tahun 1993 dan memenangi juara dunia buat kali keempat dengan memandu Toyota Celica Turbo.

Malangnya pada tahun 1995, Toyota telah digantung daripada menyertai WRC oleh FIA kerana didapati membuat bypass pada turbo restrictor.

Kankunnen kemudian menyertai beberapa pasukan lain sebelum bersara dari WRC.

5. COLIN MCRAE

Pemandu Scotland ini memulakan karier WRC pada tahun 1987 di Rally Sweden dengan memandu Vauxhall Nova. Dari situlah kariernya mula berkembang dan beliau sendiri menjadi duta WRC secara tidak rasmi.

McRae menyertai Subaru British Rally Team pada tahun 1991, sebelum dinaikkan ke WRC pada tahun 1993 kerana berjaya menjuarai British Rally Championship dua kali berturut-turut.

Beliau menyertai Ari Vatanen di Subaru dan memenangi perlumbaan pertama mereka di New Zealand. Tahun berikutnya McRae memenangi dua pusingan dan mendapat tempat keempat keseluruhan. Sumbangan beliau pada tahun 1995 adalah dengan membantu Subaru memenangi kejuaraan WRC kategori pengeluar.

BACA: SUBARU IMPREZA V-LIMITED 555

Tahun berikutnya beliau kembali kompetitif tetapi gagal menyaingi kehebatan gandingan Makinen dan Mitsubishi. Beliau tewas kepada Makinen dan mendapat tempat kedua dengan perbezaan cuma satu mata.

Beliau kemudian bertukar kepada beberapa pasukan lain dan memenangi beberapa pusingan perlumbaan. Selepas bersara dari WRC, McRae menyertai Paris-Dakar, Race of Champions, Le Man dan X-Games.

Permainan video dengan menggunakan nama beliau telah terjual dengan laris di serata dunia. Malangnya McRae telah meninggal dunia dalam kemalangan helikopter pada tahun 2007 bersama dengan anak lelaki beliau, Johnny.

6. SEBASTIAN LOEB

Sebastian Loeb mula bertanding di French Rally tahun 1999 tetapi gagal menyerlah sehinggalah tahun 2002 di mana kita menyaksikan kelahiran pemandu WRC terbaik di dunia ini.

Selepas memenangi Junior World Rally Championship, Loeb dinaikkan pangkat ke pasukan Citroen Total World Rally Team pada tahun 2002.

Dalam tahun pertama penyertaan sahaja Loeb telah memenangi Rally Germany dan banyak lagi kejuaraan selepas itu. Tahun berikutnya beliau bergandingan dengan bekas juara dunia Carlos Sainz dan Colin McRae memandu jentera Citroen.

Walaupun diapit oleh dua juara dunia, Loeb membuktikan kehebatannya dengan memenangi tiga acara dan tewas cuma satu mata kepada juara dunia tahun tersebut, Peter Solberg dari Subaru.

Loeb mula menunjukkan taring pada tahun 2004 dengan memenangi enam pusingan rali termasuk Rally Sweden yang selama ini didominasi oleh pelumba Scandinavia. Seterusnya merangkul kejuaraan kategori pemandu pada tahun itu.

BACA: RALI DAKAR, PERLUMBAAN LASAK DI DUNIA

Tahun berikutnya Loeb terus mendominasi perlumbaan dengan memenangi sepuluh pusingan dan merangkul kejuaraan sekali lagi.

Pada tahun itu juga Citroen dan Peugeot mengumumkan untuk menarik diri dari WRC.  Loeb bagaimanapun masih berlumba dengan pasukan persendirian pada tahun 2006 dan memenangi lapan daripada dua belas acara perlumbaan.

Beliau mendapat tempat kedua untuk semua baki empat acara. Loeb terlibat dengan kemalangan pada tahun tersebut dan tidak dapat menghabiskan empat acara akhir. Bagaimanapun, beliau masih muncul sebagai juara dunia menewaskan Marcus Gronholm dengan hanya satu mata.

Loeb muncul sebagai pemenang WRC terbanyak dengan 9 tahun kemenangan. Pada mulanya Loeb cuma diakui sebagai pakar pemanduan di atas jalan berturap. Namun tahun demi tahun Loeb membuktikan yang beliau berjaya menakluki apa sahaja jenis permukaan jalan tanpa mengira keadaan cuaca.

Seorang pemandu rali yang tulen dan sangat laju, itulah Sebastian Loeb.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button