Modifikasi

KISAH MITSUBISHI LANCER EVOLUTION DAN OBSESI TENTANG JENAMA RALLIART!

Setiap orang mempunyai obsesi dalam hal tertentu. Bagi kelompok kita misalnya, ia lebih kepada dunia modifikasi secara am, sebelum boleh dipecahkan kepada kategori yang bersesuaian.

Bagi yang suka kelajuan, sibuk dengan graf dynonya. Yang minat cantik, semak dengan bodykitnya. Bagi yang obses dengan komponen tulen, topik perbualan mereka mestilah tentang jenama, koleksi rare dan orimoto!

Sebut pasal ori, kumpulan ini mempunyai kecenderungan untuk memilih komponen yang asli sahaja. Tak boleh pakai replika, nanti naik kudis katanya.

BACA: KOLEKSI MITSUBISHI-RALLIART KINI DI MALAYSIA

Biarlah buruk rentung sekalipun. Selagi benda tu rare dan ori, pasti akan direbutnya sampai berjaya.

“Dah siap gosok bagai, nanti eloklah balik,” kata Shah sambil menggeleng-geleng kepala, sejurus melihat rim keretanya terpalit becak tanah tanpa sengaja.

Lancer ini milik kawan lama saya Shah, yang sedang menceburkan diri dalam bidang mengajar orang di sebuah pusat pengajian tinggi. Kerana minat, beliau juga ada mengusahakan sebuah kedai barangan terpakai half-cut.

Dari zaman mula kenal, Shah bukan saja seorang yang kreatif dan teliti, tapi juga obses dengan jenama yang berkait dengan Mitsubishi iaitu RalliArt. Macam-macam aksesori dikumpulnya, sama ada baru atau terpakai.

Ada yang diperoleh dari rakan peminat lain, menyelongkar sendiri kedai half-cut atau menerusi bidaan secara online. Dan sebahagian aksesori tersebut, kemudiannya diterjemahkan pada kereta ini.

Sudut penampilan, datang dengan kit badan lengkap EVO VI TME. Bumper depan dengan lampu foglight tu asalnya ada sopak sikit, tapi dah dibuat semula sampai tak nampak langsung mana cacatnya. Sementara bahagian sisi, diserikan dengan sepasang cermin dari Ganador.

Setelah selesai, keseluruhan bahagian luar telah dicat semula, mirip kepada Lancer EVO VI pasukan Advan-PIAA RalliArt yang dipandu pasangan Yoshihiro Kataoka / Satoshi Hayashi.

Ketika pertama kali digunakan, jentera #2 terus mencatat kemenangan dalam perlumbaan Rally of Canberra pada tahun 1999. Memang lejen lah! Tu pasal ada diecast khas yang dikeluarkan untuk kereta ni.

Sektor pengendalian dibantu set suspensi HKS Hipermax, lengkap dengan pillow ball dari Kansai Service. Untuk kasi kena dengan tema yang dibawa, bahagian roda kini dihiasi rim spender Super Advan Racing SA3R berukuran 18-inci.

Nak pakai tayar gravel Yokamaha AO35 macam model asal, takut melecet pulak telinga. Maka ia digantikan dengan tayar Achilles ATR Sport yang lebih lancar perginya.

Kereta ni datang dengan nadi 6A11, sejenis enjin SOHC V6 berkapasiti 1.8-liter. Jarang benar kita nak jumpa kat sini. Kalau kena dia buat hal, memang melilau dibuatnya. Mujurlah negara kita mewah dengan enjin gantian dan sebiji 4G63T dari EVO VI RS, menjadi taruhan baru Shah untuk kereta ini.

Bahagian dalam enjin belum diusik, kecuali penempatan sepasang camshaft dari enjin EVO VII. Memandangkan unit turbo asal dah goyang dan berasap, ia telah digantikan dengan turbo TD05HR-16G dari EVO VIII MR.

Disertakan bersamanya sebuah penapis udara Apexi, wastegate Tial, lingkaran paip intercooler RalliArt serta injap pelepas Sard. Menguatkan lagi hantaran bahan api, proses suapan petrol dibantu pam Walbro 255 dan unit regulator dari Sard.

Rangkaian aksesori RalliArt yang dikumpul, banyak kelihatan di ruang dalam. Ada tempat duduk Recaro TME, karpet, tombol gear, pedal, side step, perehat kaki, meter utama dan stereng OMP TME-RalliArt yang sangat-sangat rare.

BACA: KISAH STERENG OMP RALLIART YANG RARE

Siap nombor siri dan surat beranak lagi. Tu pasal boleh cecah sampai RM8-10K. Kalau ada 2 bijik dah berapa? Tambahan aksesori lain meliputi penggunaan pemain DVD Clarion-Mitsubishi serta 4 bijik meter Defi Advance BF.

Selain pada kereta, Shah juga mempunyai koleksi pakaian dan aksesori RalliArt yang lain. Punyalah banyak, naik rambang mata dibuatnya. Sampaikan yang macam Jackie Chan pakai pun ada.

Tak mau jual ke? Alah benda tak rugi. Lagi lama simpan, lagi mahal reganya. Dan kemungkinan itu pasti takkan berlaku buat masa ini…

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button