Buletin

ISU BREK OMODA 5: INI KENYATAAN RASMI CHERY MALAYSIA, TAWAR KERETA SEMENTARA

Baru-baru ini timbul aduan daripada seorang pemilik Chery OMODA 5 yang menyatakan bahawa brek SUV tersebut gagal berfungsi dengan baik ketika memandu di lebuh raya. 

Pengadu memberitahu perkara itu berlaku tidak lama selepas keluar daripada sebuah pusat servis Chery untuk menyelesaikan masalah berkenaan. 

Dalam satu klip video yang dimuat naik ke media sosial, wanita berkenaan menyatakan kekecewaan kerana isu itu telah pun dibangkitkan kepada pusat servis terbabit. Namun, dia berasakan masalah tersebut tidak diselesaikan dengan baik. 

Mengambil tanggungjawab ke atas aduan itu, Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi.  

“Merujuk kepada aduan yang diterima daripada seorang pelanggan mengenai keretanya, Omoda 5, kami ingin memaklumkan bahawa, pihak Chery Malaysia mengambil perkara ini dengan sangat serius.

“Keselamatan pelanggan sememangnya menjadi keutamaan utama kami. Justeru, kami telah berhubung dengan pelanggan yang terlibat sejak Sabtu (6 April 2024) untuk menangani kebimbangannya. Selain menawarkan sebuah kereta untuk digunakan buat sementara kepadanya.

“Kami ingin menekankan bahawa Chery Malaysia komited untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini. Kami juga berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaan Chery memenuhi standard keselamatan yang tertinggi,” kata Wen Hsiang. 

Sekiranya pelanggan menghadapi sebarang masalah dengan kenderaan mereka, hubungi Chery Malaysia di +603 2771 7070 atau melalui emel di [email protected] 

Google ads
Back to top button