Buletin

ISUZU D-MAX XTR, INI BARU GANAS!

Isuzu walaupun bukan sebuah pengeluar kenderan penumpang dan hanya tertumpu kepada kenderaan komersil seperti lori dan bas tetap pandai memahami selera pengguna.

Di peringkat global ada dua sahaja model massa yang dikenali ramai, D-Max dan MU-X.

D-Max pula jika dibuat perbandingan dengan pikap lain sudah lama di pasaran dan menyedari hakikat tersebut Isuzu sentiasa tampil dengan versi yang dikemaskini.

Jika dibuat analisa anda bakal menemui pelbagai edisi istimewa D-Max dengan keunikan tersendiri.

Nampaknya cara bisnes begitu bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga di United Kingdom. Kami sendiri kerap kali menampilkan D-Max versi UK sebagai bahan berita dan rujukan peminat pikap ini.

Terbaru Isuzu UK tampil dengan model prototaip D-Max XTR di Pameran Kenderaan Komersil (CV Show) 2019 di Birmingham.

Bentuk luaran tampil ganas dan dibuat khusus untuk penggemar off-road dan pemandu yang mahu sebuah kenderaan untuk padanan gaya hidup mereka.

D-Max XTR dilengkapi suspensi jenama Pedders dan kit badan khas supaya tampil agresif. Menariknya kit badan ini tidak tampil sepenuh badan tetapi reka bentuknya jelas menangkap mata.

Di antara D-Max versi istimewa yang dikeluarkan sebelum ini, model XTR ini diposisikan di antara Blade dan Arctic Truck dan melengkapi tawaran famili Adventure D-Max.

Ketinggian D-Max XTR dari permukaan jalan kini 250mm lebih supaya senang mengharungi pelbagai bentuk muka bumi.

Sistem brek turut dirombak semula dengan menggunakan cakera tahan lasak dan tahan lama, perlindungan hakisan lebih baik dan lebih feel.

Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 – Ganas!!!

Permukaan cakera turut mempunyai leretan (slotted) dan bukaan (vented) bagi meyingkir haba dengan lebih baik.

Alas brek (brake pad) pula dibuat daripada bahan bermutu iaitu kevlar seramik supaya tugas pembrekan digalas dengan baik.

Berikut ialah lagi ciri-ciri Isuzu D-Max XTR:

  • Talaan spring dan penyerap hentak turut memberi perhatian kepada pemanduan yang diperhalusi dan selesa
  • Talaan tersebut turut mengambil kira faktor kombinasi rim dan tayar baharu
  • Roda aloi 17 inci mempunyai reka bentuk tahan lasak dan tegar tanpa menjejaskan keupayaan tunda beban 3.5 tan dan mengangkut barang
  • Roda ini turut dibuat supaya dapat mengharungi kelasakan pemanduan off-road
  • Tayar jenama Pirelli Scorpion™ All Terrain Plus 265/70r17 ditala supaya serasi dengan sempurna untuk kombinasi suspensi Pedders
  • Kerusi depan XTR adalah jenis sport dan mempunyai fungsi pemanasan
  • Kerusi tersebut dibalut dengan kulit, suede dan kulit hentian karbon
  • Satu lagi ciri menarik ialah stereng berbentuk D ala kereta sport
  • Empat warna ditawarkan iaitu Splash White, Titanium Silver Met, Obsidian Grey Mica dan Cosmic Black Mica

Isuzu menampilkan D-Max XTR ini di CV Show bukan sekadar membuatkan pengunjung tertanya-tanya atau meminta-minta pikap ini dipasarkan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan D-Max XTR dalam masa beberapa bulan lagi dan tempahan sudah boleh dibuat sekarang.

Harganya? Bermula daripada GBP 33,999 atau RM 183,368. Bukan disebabkan tukaran asing tetapi harga pikap di UK memang keras berbanding pasaran ASEAN.

*1 GBP = RM 5.393

Google ads
Back to top button