
ISUZU SASAR JUAL 8,00 UNIT D-MAX TAHUN 2022. LEBIH 50% VARIAN X-TERRAIN
Sejak pengenalan di peringkat global, Isuzu D-Max serba baharu generasi ketiga nyata meraih perhatian ramai pengguna dan peminat baru yang menghargai tahap kecanggihan, keselesaan dan kemampuannya.
Pelancaran D-Max serba baharu Di Malaysia pada April tahun lalu mencetus minat ramai, terutama pada varian flagship, X-Terrain.
“Dengan rekaan yang menyerlah, sistem keselamatan, keselesaan dan ciri premium seperti SUV, Isuzu D-Max X-Terrain menjadi trak pikap yang paling didambakan dalam pasaran ketika ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Walaupun bekalan D-Max terkesan teruk akibat gangguan semi-konduktor, 713 pemilik telah menerima X-Terrain baharu mereka. Sekali gus menjadikan model kedua paling popular dalam barisan trak pikap Isuzu Malaysia. Varian 1.9 liter 4×4 Premium pula mencatatkan jualan 842 unit.
Lembah Klang dan Kota Kinabalu merekodkan jualan tertinggi model flagship berkenaan yang menyumbang lebih separuh daripada angka jualan keseluruhan di negara ini.
Dalam tempoh singkat, Isuzu D-Max X-Terrain telah meraih tidak kurang daripada lima anugerah Trak Pikap Terbaik Tahunan. Pihak media seperti Carplus, Carlist, DSF.my, Rider ATH dan Wapcar memilih Isuzu D-Max sebagai pemenang yang layak kerana kemampuannya mengagumkan untuk membawa pengalaman trak pikap ke tahap baharu.

Dengan momentum permintaan yang semakin kukuh sepanjang 2022, keutamaan Isuzu Malaysia adalah untuk memenuhi bekalan yang masih tertangguh.
“Sebaik sahaja bekalan pulih, kami akan dapat menggandakan penghantaran dan mencapai sasaran untuk menjual 8,000 unit tahun ini,” tambahnya lagi.
Isuzu D-Max terdiri daripada pelbagai varian untuk memenuhi segala keperluan pelanggan, bermula dengan varian Single Cab hinggalah kepada pilihan lebih luas dengan Double Cab yang dilengkapi oleh enjin 1.9 liter atau unit 3.0 liter.
Maklumat lebih lanjut, sila layari laman web: pickuptruck.isuzu.net.my atau facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/