DI JEPUN, WUJUD GERAKAN HALANG ORANG ASING BELI NISSAN SKYLINE GT-R. FUH… SIAPA DIA ORANG NI?
Sama ada kita sedar atau tidak, Jepun mengeksport lebih sejuta kenderaan terpakai pada setiap tahun. Kebanyakan kereta ini ialah model-model biasa yang menyambung hayatnya di negara-negara pasaran membangun.
Namun, ada sejumlah kecil daripada kereta tersebut sangat disayangi oleh peminat di sana. Malah,sejak kebelakangan ini, semakin banyak kereta ikonik Jepun sudah pun meninggalkan pelabuhan Jepun untuk pergi ke negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Antara kereta yang dimaksudkan itu ialah Mazda RX-7, Toyota Supra dan pastinya Nissan Skyline GT-R. Perkembangan itu nyata tidak disenangi oleh sekelompok peminat tegar kereta di Jepun. Skyline GT-R sentiasa dilihat sebagai model yang eksklusif untuk pasaran negara matahari terbit itu.
Memang ada sejumlah Skyline GT-R yang tiba di pasaran dengan pemanduan sebelah kanan seperti United Kingdom, Hong Kong, Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia. Tetapi, majoriti jentera itu masih berada di Jepun.
Keadaan itu kekal sehinggalah AS membenarkan kereta berusia 25 tahun dan ke atas dieksport ke sana pada tahun 2014. Ini membuatkan model R33 dan R34 semakin dicari oleh para peminatnya di AS. Bagi mengekang perkembangan ini, wujud satu gerakan dalam kalangan kedai-kedai pakar kereta untuk memastikan Skyline GT-R tidak melepasi sempadan Jepun dan menstabilkan harganya supaya boleh dibeli oleh rakyat tempatan.
Kedai seperti R Best di pinggir Jepun mahu memastikan model GT-R terus ada di sana. Mereka tidak berminat untuk menjualnya kepada orang asing. “Kami tidak ada sumber untuk berurusan dengan pelanggan yang bercakap bahasa Inggeris,” kata mereka.
Menurut salah seorang jurujual di R Best, Naoji Matsumoto, pekerja kelas pertengahan di Jepun sepatutnya mampu membeli sebuah GT-R. Namun, harga semasa R32, R33 dan R34 membuatkan impian itu hampir mustahil.
Aktiviti mengeksport Skyline GT-R membuatkan jumlahnya semakin kurang di Jepun dan harganya terus melambung. Malah gerakan ini mula timbul apabila harga R34 mencecah harga 10 juta yen (RM400,000) beberapa tahun lalu.
Apa yang menariknya, R34 sebelum ini tidak pernah menjadi model premium. Jelas Matsumoto, harga R35 tidak naik. Tetapi harga Nissan S15 Silvia manual pula semakin mencanak. Mereka sebenarnya semakin bimbang jika kereta-kereta ikonik ini sikit demi sedikit hilang daripada jangkauan mereka.
Biarpun begitu, R Best tidak mereke-reka dengan harga setinggi itu. Sebagai contoh, R Best baru-baru ini menjual sebuah model GT-R Nismo 400R yang ultra rare pada harga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding ketika ia dijual baharu. Untuk makluman, 400R dijual pada harga bermula 12 juta yen (RM457,000) pada tahun 1996.
Kedai seperti R Best dimiliki dan dioperasi oleh peminat tegar dan tidak menjadi petunjuk kepada pengalaman anda membeli sesuatu di Jepun. Memang satu yang cukup menarik apabila mendengar ada perniagaan yang tidak mengejar keuntungan atu mengambil kesempatan terhadap trend semasa mengenai nilai kereta-kereta sports ini.
Bukan susah untuk mereka menjual inventori kereta sports yang berada dalam keadaan sangat baik kepada pembeli dari luar negara pada harga tinggi, tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian. R best tetap berpegang kepada prinsip untuk hanya menjual kereta berkenaan kepada orang tempatan. Anda mungkin kurang bersetuju, tetapi ramai yang menghormati pendirian tersebut.
Dengan barang panas seperti Skyline GT-R, jumlah broker, pengedar dan laman lelongan tidak pernah berkurang. Tetapi jika anda mahukan sebuah kereta daripada kedai seperti R Best, anda memang akan berdepan kesukaran meyakinkan mereka untuk menjualkannya kepada anda (orang asing).
R Best memberitahu mereka lebih suka untuk menjual kereta dalam kalangan pelanggan secara tertutup untuk mengelak daripada spekulator. Pembeli juga mendapat manfaat kerana kereta-kereta itu kemudian diservis oleh R Best.
Harus tahu bahawa R Best tidak keseorangan. Kedai-kedai seperti mereka juga berkongsi sentimen ini dan tidak mahu berurusan atau mengimport kereta ikonik ini ke luar negara. Misalnya, GTNet yang secara terang-terangan memberitahu mereka tidak berminat untuk mengeksport atau menjual kereta kepada orang luar.
Tindakan itu bukanlah kerana GT-R sudah menjadi spesis terancam di Jepun. Buktinya, dalam satu perjumpan di FuJI Speedway lebih 2,000 yang muncul. Tetapi usaha itu sebenarnya lebih kepada untuk menstabilkan harga dan pasaran GT-R yang nampaknya seperti sudah tidak terkawal.
Melayari laman web kenderaan terpakai Jepun, kita boleh lihat betapa harga R32,R33 dan R34 menjadi semakin merepek dengan semuanya berharga lebih AS$50,000 (RM208,000). Permintaan terhadap kereta standard yang tidak banyak diubah suai sangat tinggi. Ramai yang mahu membelinya sebelum harga semakin naik.
Justeru, apabila firma lelongan Best Heritage yang tarafnya sama seperti RM Sotheby’s berjaya melelong sebuah R34 Skyline GT-R V-Spec II Nur original pada harga ¥24 juta (RM915,000) pada acara Tokyo Auto Salon 2019, ramai yang sedar, sesuatu perlu dilakukan.
Apa pun ini adalah satu perkembangan yang menarik untuk kita ikuti… Kerana selera peminat terhadap kereta sebegini tidak akan pernah padam.