MAZDA KELUAR PASARAN RUSIA, BAKAL JUAL PEGANGAN KEPADA PENGELUAR TEMPATAN
Semakin banyak syarikat automotif yang mula keluar daripada pasaran Rusia setelah negara tersebut melancarkan serangan kepada Ukraine.
Pengeluar Jepun seperti Mazda juga dilapor akan menjual pegangan mereka di dalam syarikat kerjasama kepada syarikat pengeluar tempatan Sollers.
Menurut laporan daripada Nikkei Asia, Mazda sedang mencari jalan untuk menamatkan operasi di Rusia sejak Februari lalu, dan pada bulan Mac, mereka mengesahkan operasi eksports komponen ke kilang Vladivostok akan dihentikan, dan produksi juga akan ditamatkan selepas bekalan komponen habis digunakan.
Langkah tersebut diumumkan oleh Mazda tidak lama selepas Toyota mengumumkan langkah yang serupa baru-baru ini.
Selain daripada pengeluar Jepun, Renault juga turut dilapor telah menjual 100 peratus pegangan mereka di dalam syarikat kerjasama Renault Rusia, dan menjual 67.69 peratus pegangan di dalam syarikat tempatan AvtoVAZ kepada Central Research and Development Automobile and Engine Institute (NAMI). – Nikkei Asia