
JENTERA KAMEN RIDER – CMC TEKKEN 250
Chear Global Sdn. Bhd. (Chear Global), pengedar tunggal jenama CMC memperkenalkan model motosikal terbaharunya, Tekken 250.
Model kedua selepas CMC 400 itu didatangkan dalam dua varian. CMC Tekken 250 dengan roda jejari boleh didapati dalam warna oren dan putih. Manakala Tekken 250 dengan roda tuang pula hadir dengan warna hijau dan hitam.
Lebih menarik, model pemasangan tempatan (CKD) dengan kerjasama Syarikat Kumpulan Mofaz itu dijual pada harga cukup murah.
Tekken 250 roda jejari dijual pada harga RM11,882. Sementara Tekken 250 roda tuang pula ditawarkan pada harga RM12,876. Harga termasuk insurans dan GST.
Model dari China itu dijana oleh enjin SOHC, satu silinder dengan sistem penyejukan udara. Padanan transmisi enam kelajuan memberikan kuasa maksimum 16.5bhp @ 7,000rpm dan tork maksimum 17.0Nm @ 6,500rpm.
Ketua Pegawai Operasi Leong King Choon berkata pengenalan model itu mewujudkan satu dimensi baharu dari segi pengalaman dan keseronokan tunggangan.
“Bagi mereka yang mahukan motosikal untuk berulang-alik dan kegunaan santai, Tekken 250 adalah pilihan yang ideal.
“Motosikal serba boleh ini memiliki reka bentuk sporty dan estetika yang pasti akan menarik minat penunggang yang inginkan prestasi mengagumkan,” katanya.
CMC Tekken 250 tampil menyerlah dengan penggunaan LED lampu nyalaan siang (DRL). Malah ada dalam kalangan peminat roda dua menyatakan rekaannya seakan jentera Kamen Rider.
Bagi memudahkan bacaan, Tekken 250 dilengkapi dengan meter LCD digital yang menawarkan informasi posisi gear, baki minyak dan lain-lain.
Penghantaran model ini ke pusat jualan seluruh negara akan bermula minggu hadapan. Nantikan kemunculannya!
SPESIFIKASI
ENJIN: RE250, 4-lejang, sistem sejukan udara
SESARAN: 223cc
KUASA MAKSIMUM: 16.5bhp @ 5,700rpm
TORK MAKSIMUM: 17Nm @ 6,000rpm
GEREK x LEJANG: 65.5 x 66.2
NISBAH MAMPATAN: 9.0:1
TRANSMISI: 6-kelajuan
SUSPENSI HADAPAN/BELAKANG: Inverted Fork Shock Absorber/mono shock dengan prolink
BREK DEPAN/BELAKANG: 260mm cakera tunggal, pot kaliper, hidraulik/ 210mm cakerak tunggal, pot kaliper, hidraulik
TANGKI MINYAK: 13.5 liter
BERAT: 132kg
TAYAR DEPAN/BELAKANG: 110/90-17/ 130/80-17
















