Artikel Pilihan

JERIJI DEPAN BUAH PINGGANG BMW, KENAPA BESAR GEDABAK?

Rekaan jeriji depan BMW sebenarnya terkenal dengan satu perkara, iaitu rekaan jeriji depan yang berbentuk buah pinggang. Di peringkat global ia dikenali dengan nama kidney grille. Kalau dilihat sejarah rekabentuk BMW, rekaan jeriji ini sebenarnya muncul semenjak tahun 1933 lagi, dah nak dekat 90 tahun dah rekaan ini digunakan.

Berbeza dengan pengeluar lain yang menggunakan rekaan badan sebagai pengenalan kepada jenama mereka (Porsche, Jeep, Land Rover), falsafah rekaan BMW sebenarnya tertumpu kepada rekaan jeriji depan kereta mereka. Apa sahaja jenis kenderaan yang dipasarkan oleh mereka (kereta sport, SUV, MPV, coupe) semuanya akan menggunakan jeriji 2 lubang.

Rekaan jeriji ini tetap akan dipanggil sebagai kidney grille walaupun berbeza bentuk, bermula dari tahun 1933 ke tahun 2021 terdapat 13 rekaan kidney grille yang telah dihasilkan dan digunakan oleh BMW. Ia ibarat logo perdagangan mereka. Seperti yang disebut dalam filem P Ramlee “walaupun rupamu tidak ku kenal, lubang hidungmu tetap jadi pujaan”. Gituh

Tapi adakah anda perasan yang rekaan jeriji depan BMW ini menjadi semakin besar melampau dan tidak terkawal. Buat masa ini ia banyak digunakan oleh model prestasi tinggi mereka iaitu BMW M3 G80 (sedan 4 pintu) dan juga BMW M4 G82 (coupe pintu).

Kedua dua model baru ini dilancarkan bagi menggantikan model prestasi F82 dan juga F80. Ketika kedua-dua model ini dilancarkan, ia merupakan percubaan pertama BMW menggunakan enjin turbo S55 pada model prestasi M. Enjin 3000cc 6 silinder sebaris ini menghasilkan 425 kuasa kuda dan 550Nm tork dengan turbo berkembar.

Tapi dengan kehadiran model BMW M3 G80 dan juga M4 G82, kedua dua model hadir dengan enjin yang lebih berkuasa. Enjin S55 digantikan dengan enjin S58B30TO yang jauh lebih berkuasa. Ia adalah sebahagian daripada enjin B58 yang digunakan oleh BMWZ4/Toyota Supra, namun S58 adalah talaan yang paling berkuasa, jauh lebih berkuasa daripada 382 kuasa kuda yang dihasilkan oleh Supra

S58 ini menghasilkan sekitar 510 kuasa kuda dan 648Nm tork dari 3000cc 6 silinder sebaris. Hasilnya model ini mampu memecut 0-100km/j dalam masa 3.8 sahaja iaiatu 0.02 saat lebih pantas walaupun lebih berat. Tapi kaveat kuasa yang besar dengan turbo ialah berat yang bertambah disebabkan sistem penyejukan.

Sistem penyejukan menjadi lebih kompleks bagi menyejukkan enjin. Prestasi penyejukan yang hebat diperlukan untuk menyejukkan cecair penyejuk, cakera brek yang lebih besar dan juga 2 unit turbocaj. Malah sistem penyejukan ini diperbesarkan berbanding dengan model lama. Power is heavy. Noktah

Enjin ini memerlukan satu kipas elektrik berkuasa 1000 watt dipasang di depan 2 radiator dan juga untuk penyejukan sistem turbo. Malah intercooler yang menyejukkan udara yang telah dimampatkan disejukkan dengan kaedah sejukan air, menambahkan lagi kerumitan sistem penyejukan

Satu pam air berkuasa elektrik khas untuk penyejukan sistem turbocaj bagi memastikan ia sentiasa sejuk walaupun enjin telah dimatikan. Bagi M3/M4 yang dipadankan dengan transmisi ZF 8 kelajuan, kereta ini akan menggunakan

1. radiator untuk penyaman udara

2. radiator untuk penyejukan enjin. Ada 2, kiri dan kanan

3. Intercooler untuk penyejukan udara yang telah dimampatkan

4. Penyejuk minyak enjin (ya memang ada). Axia korang tak ada

5. Penyejuk untuk sistem transmisi automatik

Bagi tujuan penyejukan sistem brek dan rotor brek, terdapat 2 “air duct intake” di bahagian kiri dan kanan bumper. Semua sistem penyejukan dan air duct ini memerlukan lubang udara yang besar, sangat besar dan banyak di bahagian depan bampar.

Ini menerangkan kenapa model prestasi tinggi BMW M memerlukan rekaan jeriji yang besar. Mereka sangat perlukan semua lubang bagi memastikan prestasi enjin dan sejukan enjin tidak terjejas. Jadi ia perlu diintegrasikan dengan rekaan jeriji depan BMW.

Maka lahirlah BMW M3/M4 dengan kidney grille yang besar gedabak. Sekarang anda faham kenapa rekaan jeriji BMW menjadi besar. Bukan saja-saja buat ye, semua itu telah diambil kira termasuk prestasi sejukan. Kalau ada masa cuba tengok video di bawah, boleh nampak brake cooling duct

Google ads
Back to top button