
TOYOTA GR Yaris 2025 – EVOLUSI KEJURUTERAAN GILA
Kalau GR Yaris 2020 dah cukup buat hati peminat rali berdegup kencang, versi 2025 ni ibarat Toyota berfalsafah “Jom kita buat lagi padu.” Banyak perubahan dibuat dan ia bukan sekadar kosmetik, tapi melibatkan kejuruteraan teras termasuk dalam aspek aerodinamik, penyejukan, casis, sehinggalah ke sistem elektronik dalam TCU.
Ini adalah senarai bedah siasat Toyota GR Yaris facelift 2025.
1. Muka Baru, Bukan Sekadar Mekap
Bampar depan sekarang direka 6 keping (6-piece design) berbanding satu keping pada model lama. Dalam aspek pengeluaran, rekaan sekeping bampar lebih senang dan lebih murah untuk dihasilkan. Namun jika anda mengalami kemalangan kecil masa memandu, anda kena tukar satu bampar.
Nampak macam perubahan kecil, tapi dari sudut kos pembaikan rekaan baru ini berita baik. Kalau terbabas sikit masa masuk selekoh, anda tidak perlu tukar satu bampar penuh. Sebaliknya hanya tukar sahaja komponen yang rosak sahaja
Foglamp pun dihapuskan dan ruang foglamp diganti dengan komponen sub intercooler dan ATF intercooler khas untuk transmisi automatik. Ini bermakna aliran udara di bahagian depan digunakan sepenuhnya untuk penyejukan komponen kritikal dan bukan sekadar hiasan.

2. Sistem Penyejukan Lebih Serius
Intercooler utama kini dilengkapi dengan ciri semburan air sejuk, satu ciri yang biasanya kita nampak pada jentera WRC. Apabila suhu intake temperature turun, enjin turbo boleh bekerja dengan lebih agresif tanpa risiko knock walaupun boost yang tinggi diberikan.
Tambahan lagi, Toyota juga telah memasang sistem cold air intake duct di bahagian depan kiri enjin. Ia bertindak menyedut udara sejuk terus dari luar, bukannya menggunakan udara panas dalam ruang enjin. Semakin sejuk udara, semakin kurang risiko untuk berlakunya knocking
3. Casis Lebih Keras, Respons Lebih Padu
Enjin dipasang dengan cagak enjin baharu yang lebih rigid dan lebih kukuh bagi mengurangkan pergerakan enjin semasa RPM tinggi dan mengambil selekoh pada halaju tinggi. Sistem ekzos pun turut diubah, dengan rekaan resonance chamber diubah semula untuk respons pedal lebih pantas.
Pada bahagian suspension tower, gabungan spring dan penyerap hentakan di depan kini diikat dengan menggunakan 3 nut yang disusun dalam bentuk segi tiga berbanding 1 nut sebelum ni. Rekaan inilebih stabil dan mengekalkan geometri suspensi, terutama apabila memasuki selekoh laju.
Toyota juga menambah spot weld dari 300 ke 340 poin, dan juga menambah penggunaan epoxy resin sebanyak 24%. Toyota melakukan semua proses ini semata-mata untuk meningkatkan kekuatan torsional casis.

4. Aerodinamik Lebih Efektif
Walaupun tidak kelihatan, bahagian bawah kereta menampilkan corong NACA duct khas untuk membantu mengurangkan suhu ruang enjin. NACA duct merupakan ciri corong khas pasif rintangan rendah yang biasa dijumpai pada supercar dan juga pesawat tempur
Satu lagi perubahan menarik ialah lampu brek ketiga dialihkan dari spoiler ke bahagian bawah cermin belakang. Ini membantu pemilik menukar spoiler yang lebih menarik dan lebih sporti dan pada masa yang sama mengekalkan fungsi keselamatan dan aerodinamik.
5. Kokpit Rasa ‘Rally Car’ Sebenar
Toyota membuang semua idea “dashboard Instagrammable” dan ikut inspirasi Japan Rally & Super Taikyu race. Jika anda ingat, rekaan papan pemuka ini hampir sama dengan rekaan jentera rali kumpulan B satu ketika dulu.
Kedudukan papan pemuka direndahkan antara 30mm hingga 50mm untuk memberikan pandangan lebih jelas dan menghilangkan blind spot. Kusyen juga diturunkan sebanyak 25mm bagi merendahkan kedudukan pemandu dengan kereta.

Rekaan meter kini ditukar kepada digital penuh, diminta dan direka khas berdasarkan input pelumba rali sendiri yang menyertai Japan Rally Championship. Semua info penting seperti putaran enjin, tekanan boost turbo, kedudukan gear dan semua suhu komponen penting seperti suhu unit transmisi dipaparkan jelas tanpa gangguan.
6. Transmisi Ada ‘Otak’ Pelumba
Ini mungkin perubahan paling besar kerana buat pertama kali produk GR dihasilkan dengan transmisi automatik atau lebih tepat dikenali dengan nama GR Direct Shift 8 Speed Automatic. Ia bukan transmisi automatik biasa, tapi Transmission Control Unit ini ‘ditanam’ dengan logik pemanduan pro driver.
Ia ibarat jurutera menemui pemandu professional, mengambil semua input mereka dan ditukarkan menjadi “coding software” di dalam transmisi ini. Gear turun cepat apabila anda membrek semasa memasuki selekoh, menahan gear ketika selekoh dan menukar gear dengan tepat ketika pecutan keluar dari selekoh.
7. Komponen Perlumbaan Terus Masuk Kereta Jalanan
Selepas menerima kritikan daripada pelumba, Toyota telah memasang sistem penyejuk rear differential di bahagian belakang GR Yaris 2025, dimana komponen ini biasanya kita nampak pada kereta lumba track atau rali. Apbila rear differential menjadi sejuk, penghantaran kuasa ke tayar belakang menjadi lebih konsisten.

Sistem pacuan semua roda GR-Four juga telah dinaiktaraf. Mode Track sekarang boleh tukar mode dari 30/70 ke 60/40 secara pintar ikut situasi. Sebagai contoh ketika GR Yaris memasuki selekoh ia mungkin menggunakan mode 60:40, 50:50 ketika di tengah tengah selekoh dan 30:70 ketika keluar selekoh.
Apabila anda tengok semua perubahan ini, ini membuktikan Toyota tidak menghasilkan facelift sekadar menambah garnish atau lampu LED baharu. Jentera Toyota GR Yaris 2025 ini adalah manifestasi Toyota untuk memastikan GR Yaris terus kekal relevan dalam dunia hot hatch.



