JPJ TAHAN 15 ‘ULAT’ DI KLIA, KLIA2
Seramai 15 pemandu ditahan gara-gara menawarkan khidmat kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Operasi Khas Ulat itu dijalankan selama 12 hari, bermula 7 hingga 18 Ogos lalu.
Menurutnya, kesemua tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 60-an.
“JPJ Selangor telah menyita 15 buah kenderaan pelbagai jenis antaranya Perodua Alza, Perodua Bezza dan Proton Persona.
“Siasatan mendapati ‘ulat’ ini memujuk, merayu sama ada warga tempatan atau pelancong asing bagi menawarkan perkhidmatan pengangkutan dengan kadar bayaran tertentu dan akan dibayar apabila tiba di destinasi,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati ada kenderaan digunakan itu ialah milik pemandu terbabit selain juga disewa.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta sama,” ujarnya. – Sinar Harian
- BACA: PEMILIK TEKSI MENGAMUK, TERBALIKKAN KERETA UBER – TAK PUAS HATI UBER TAWAR TAMBANG LEBIH MURAH
- BACA: VIRAL TEKSI ANGKUT ALMARI DI BANGKOK – NETIZEN PERSOAL ISU KESELAMATAN
- BACA: PEMANDU TEKSI AUSTRALIA CAJ AUD486 KEPADA PELANGGAN UNTUK PERJALANAN 74 KM
- BACA: KENAKAN TAMBANG BERLEBIHAN, PEMANDU TEKSI DILARANG AMBIL PENUMPANG DI LAPANGAN TERBANG THAI