Buletin

JUAL PROTON ISWARA AEROBACK TERPAKAI PADA HARGA RM1

Seorang pemilik bengkel kenderaan di Gangsa Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka menjual sebuah Proton Iswara Aeroback terpakai kepada seorang warga emas pada harga RM1.

Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48, yang merupakan pemilik Makdad Workshop menjual kereta berkenaan kepada Isa Abdul Ghani, 72, seorang penjual roti canai segera.

Dia berkata, hatinya tersentuh apabila dimaklumkan rakannya mengenai kesempitan hidup dilalui warga emas terbabit yang terpaksa menjual roti canai segera di kedai-kedai dan kantin sekolah demi kelangsungan hidup.

Bagaimanapun dia menjelaskan, wang RM1 itu hanyalah simbolik untuk menginfakkan kereta berkenaan supaya memudahkan Isa menghantar tempahan disebabkan tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Sebelum ini, pak cik Isa mempunyai sebuah kereta tetapi terpaksa dijualnya kerana sering mengalami kerosakan.

“Dengan kelebihan dan kemahiran yang ALLAH SWT berikan kepada saya sebagai seorang pemilik bengkel kereta, saya terpanggil untuk membantunya walaupun nilainya tidak seberapa,” katanya.

Shikh Muhammad yang juga mesra dengan panggilan Pak Ngah berkata, Proton Iswara Aeroback itu merupakan kenderaan ketiga yang telah diinfakkan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Sebelum ini, saya infakkan sebuah kereta kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ramai dan hanya bergerak menggunakan motosikal,” katanya.

Dalam pada itu, Isa memberitahu, selepas menjual keretanya, dia buntu apabila sukar untuk bergerak, lebih-lebih apabila mendapat tempahan sebanyak 800 keping roti canai.

Warga emas berasal dari Kampung Semabok Dalam itu menambah, walaupun sudah dimamah usia, selagi mempunyai kudrat dan kesihatan baik, dia akan terus berdikari untuk menyara isterinya berusia 76 tahun.

“Memang saya mempunyai seorang anak. Tapi dia juga mempunyai tanggungan keluarga. Syukur ALLAH SWT masih memberikan rezeki kesihatan kepada saya.

“Bila ada orang yang berikan kereta ini untuk memudahkan saya menjual roti canai, saya terharu kerana masih ada insan yang prihatin,” katanya. –SH

Google ads
Back to top button