Buletin

JUALAN KERETA DI MALAYSIA SEKALI LAGI DIJANGKA CECAH 800,000 UNIT

Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia bagi 2025 berpotensi melepasi paras 800,000 unit, sekali gus mengatasi sasaran 780,000 unit yang ditetapkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Ia disokong momentum jualan hujung tahun, promosi agresif pengeluar dan lonjakan pembelian kenderaan elektrik (EV) menjelang penamatan insentif cukai import sepenuhnya (CBU).

Setakat Januari hingga November 2025, TIV telah mencecah 727,836 unit, hanya memerlukan kira-kira 73,000 unit jualan pada Disember untuk melepasi ambang 800,000 unit, satu sasaran yang dilihat realistik berdasarkan prestasi sejarah dan faktor sokongan semasa pasaran.

Sebagai perbandingan, jualan Disember 2024 merekodkan 81,735 unit, didorong kempen akhir tahun yang agresif serta sentimen pengguna yang kukuh, menjadikan Disember secara tradisi bulan jualan tertinggi dalam kalendar automotif tempatan.

Data MAA menunjukkan TIV pada November 2025 mencecah sebanyak 72,509 unit, meningkat 5.5 peratus berbanding November 2024, walaupun lebih rendah 4.6 peratus berbanding Oktober 2025 yang mencatat 75,991 unit, mencerminkan penyederhanaan bulanan selepas lonjakan sebelumnya.

Bagaimanapun, prestasi November masih dianggap kukuh, disokong kesinambungan promosi agresif yang bermula sejak Oktober serta pembelian pantas kenderaan EV CBU susulan pengumuman Belanjawan 2026 mengenai tamatnya pengecualian cukai import sepenuhnya menjelang akhir Disember 2025.

Secara kumulatif, jualan kenderaan penumpang bagi tempoh Januari hingga November 2025 mencapai 673,751 unit, hampir menyamai tempoh sama 2024, manakala kenderaan komersial berjumlah 54,085 unit, menjadikan TIV keseluruhan 727,836 unit, hanya satu peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Dari sudut pengeluaran, industri merekodkan 680,173 unit bagi tempoh 11 bulan 2025, turun enam peratus berbanding 2024, menunjukkan permintaan pasaran kekal lebih kukuh berbanding kadar pengeluaran, sekali gus menyokong pembersihan inventori menjelang akhir tahun.

Berdasarkan simulasi tahunan, jika jualan Disember 2025 menghampiri prestasi Disember 2024 pada paras sekitar 80,000 unit, TIV tahunan berpotensi melonjak ke lingkungan 808,000 hingga 810,000 unit, melepasi sasaran MAA dan mengesahkan 2025 sebagai satu lagi tahun kukuh buat industri.

Malah, bagi menyamai rekod tertinggi dalam sejarah automotif negara yang dicapai pada 2024 iaitu 816,747 unit, jualan Disember 2025 perlu mencecah sekitar 88,911 unit, satu sasaran yang lebih mencabar namun tidak mustahil dalam senario sentimen pasaran yang sangat positif.

Pemacu utama jualan hujung tahun dijangka datang daripada strategi diskaun agresif pengeluar, tawaran pembiayaan menarik, pelancaran varian baharu serta pembelian ‘saat akhir’ EV oleh pengguna yang mahu mengunci harga sebelum insentif cukai CBU ditamatkan.

Pemerhati pasaran automotif, Irzal Kamal, berkata momentum TIV juga bergantung kepada pelbagai faktor lain, bukan semata-mata sentimen pembeli, termasuk kebolehan menjual kenderaan terpakai, kesediaan sistem pengangkutan awam dan dinamik pasaran secara keseluruhan.

“Kemampanan jangka panjang industri automotif Malaysia hanya boleh dicapai melalui peningkatan eksport, yang perlu dinilai melalui prestasi jumlah pengeluaran kenderaan (TPV), selain pencapaian jualan domestik,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button