
JUALAN RENAULT MERUDUM 4 TAHUN BERTURUT-BERTURUT. CATAT PENURUNAN 9.4 PERATUS PADA 2022
Jualan kumpulan Renault mencatatkan penurunan untuk tahun keempat berturut-turut setelah hanya menjual 1,466,729 unit penurunan sebanyak 9.4 peratus berbanding 2021.
Kemerosotan catatan jualan berpunca daripada krisis COVID-19 serta masalah rantaian bekalan akibat kekurangan cip yang sedang dalam proses pemulihan. Setelah kemelut itu berjaya diatasi, tidak mustahil jenama itu kembali mengaut keuntungan.
Ketua Pegawai Operasi jenama Renault, Fabrice Cambolive berkata, beliau optimis keadaan akan bertambah baik tahun ini kerana pihaknya mempunyai portfolio lebih baik dan saham yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemotongan harga global seperti diumumkan oleh Tesla baru-baru ini adalah contoh isu yang perlu Renault hadapi.
Pada tahun 2022, Renault telah menyumbang dua pertiga daripada jualan kumpulan, dan meletakkan mereka sebagai jenama Eropah ketiga dalam segmen kenderaan elektrik di belakang Toyota serta Tesla, dengan catatan jualan 228,000 unit, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2021.
Selain itu, bahagian pasaran globalnya turut menyusut 0.5 mata peratusan daripada tahun sebelumnya. Daripada 10 pasaran teratas, jenama Renault hanya mencatatkan peningkatan dalam jualan di dua negara iaitu Turki dan Colombia.
Selebihnya, Renault hanya mampu melihat jualannya jatuh sebanyak 15 peratus di Perancis, stabil di pasaran nombor dua, Brazil dan jatuh 25 peratus di pasaran ketiga terpenting, Jerman. Di Rusia, jualan global Renault telah merosot sebanyak 15 peratus.
Pada November, kumpulan Renault melancarkan baik pulih secara besar-besaran, menyaksikan ia memisahkan aktivitinya dalam lima perniagaan, mengeratkan hubungan dengan Geely China serta menyenaraikan unit kenderaan elektrik di pasaran saham. Kumpulan itu juga sedang berbincang dengan rakan kongsi, Nissan untuk menyusun semula pakatan mereka yang telah lama wujud.





