Buletin

KAPAL KONTENA TERBAKAR, 3,965 KERETA TOTAL LOSS. VW GROUP RUGI RM651 JUTA

Volkswagen Group memberitahu hampir 4,000 unit kereta pelbagai jenama yang berada di atas kapal kargo Felicity Ace sudah rosak sepenuhnya (total loss) berikutan kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Kebakaran itu juga memaksa anak kapal meninggalkan kapal kontena berkenaan hanyut di Lautan Atlantik sejak minggu lalu.

“Kami bimbang kebakaran tersebut akan merosakkan sebahagian besar daripada hampir 4,000 kenderaan. Jadi, sudah pasti ia tidak dapat diserahkan kepada pelanggan,” kata Volkswagen Group dalam satu kenyataan rasmi.

Kapal berkenaan membawa 3,965 berjenama Volkswagen, Porsche, Audi, Lamborghini dan Bentley itu dalam perjalanan ke Amerika Syarikat. Insiden tersebut akan menyebabkan Volkswagen Group dianggarkan mengalami kerugian mencecah AS$155 juta (RM651 juta). Kerugian itu bagaimanapun dilindungi insurans.

Jenama-jenama yang terlibat dikatakan telah memaklumkan perkembangan itu kepada pelanggan masing-masing.

Kapal kontena Felicity Ace yang didaftarkan di Panama dilapor terbakar pada 16 Februari dan hanyut sejauh 1,000 batu dari pantai Portugal. Seramai 22 anak kapal berjaya diselamatkan pada hari yang sama.

Laut bergelora dan api yang marak melambatkan operasi memadamkan api. Sejumlah kereta elektrik yang mengandungi bateri lithium-ion turut membuatkan usaha memadamkan api semakin sukar.

Pada 21 Februari, api padam sepenuhnya dan pasukan penyelamat berjaya naik ke atas kapal.

“Volkswagen sangat lega dengan laporan syarikat kapal di mana tiada siapa yang cedera dan tidak ada tumpahan minyak dikesan,” jelas kenyataan itu lagi.

Sejak tahun 2002, sekurang-kurangnya lapan insiden besar melibatkan kapal kontena dan kereta rosak berlaku.

Pada tahun 2019, kapal Grande America yang dalam perjalanan ke Brazil karam bersama 37 unit Porsche di dalamnya. Ia turut melibat empat unit 911 GT2 RS yang rare bernilai sekitar AS$800,000 (RM3.3 juta) seunit.  

Google ads
Back to top button