Artikel Pilihan

EA888 1.8 TFSI/TSI. JANTUNG UTAMA VOLKSWAGEN GROUP

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang enjin yang menjadi nadi utama jentera pelbagai jenama keluaran Volkswagen Group. Enjin ini diberi kod nama EA888.

Enjin ini mempunyai 2 varian berlainan sesaran iaitu 1,798cc(1.8L) dan 1,984cc(2.0L). Namun pada hari ini, topik utama kita berkisarkan tentang varian 1.8L.

Enjin 1.8L EA888 ini mempunyai 3 generasi. Pertama, kedua dan ketiga. Enjin ini direka dan dibina sepenuhnya oleh syarikat Audi AG iaitu salah satu syarikat dibawah naungan Volkswagen Group.

Enjin ini dibuat untuk menggantikan enjin Flagship Volkswagen iaitu EA113. Para peminat Volkswagen mesti tahu bagaimana kuat serta tahannya enjin EA113 ini. Mampukah enjin EA888 ini meneruskan kecemerlangan EA113 ?

Sabar. Kita kupas bersama.

GENERASI PERTAMA

Untuk generasi pertama, pihak Volkswagen Group hanya mengeluarkan enjin ini untuk sebahagian kecil jenteranya sahaja. Enjin ini memang berbeza secara total daripada EA113, yang sama hanyalah jarak antara silinder yang berukuran 88mm.

Bahagian Blok serta “Crankcase” dibuat daripada besi tuang. Material ini walaupun tradisional, namun ianya agak kuat serta kebolehannya menyerap tekanan tidak dapat disangkal. Nilai Bore x Stroke adalah 82.5mm x 84.1mm.

Untuk mengurangkan gegaran, unit “Balance Shaft” diletakkan dan dipacu oleh rantai besi. Bahagian Aci Engkol pula adalah daripada keluli dengan 8 pengimbang. Unit piston daripada “Alumunium Alloy” dan unit Rod Penghubung yang berukuran 148mm.

Unit Kepala Silinder enjin ini menempatkan 16 injap. Ini bermakna konfigurasi injap enjin ini adalah 4 injap bagi setiap silinder. Operasibinjap dikendalikan oleh 2 unit Aci Sesondol yang dilengkapi dengan “Variable Intake Valve Timing Adjustment System”.

Maknanya injap masukan sahaja yang mempunyai fungsi ini. Injap Ekzos tiada/yillek. Unit Aci Sesondol pula dipacu oleh Rantai Pemasaan(Timing Chain). Haa, ni dah tahu jangan pergi kedai alat ganti minta “Timing Belt” EA888 ye. Malu sendiri nanti. Diameter injap masukan berukuran 34mm manakala injap ekzos 28mm. Diantara Aci Sesondol terdapat unit “Low-Friction Roller Finger Cam Follower” dan unit tapet hidraulik.

Unit “Intake Manifold” dilengkapi dengan “Flap” kawalan vakum yang dibuat daripada plastik. Untuk sistem pendesak, unit Turbo digunakan. Turbo yang dipilih adalah dari BorgWarner KKK K03 sejukan cecair yang dibina terus bersama “Exhaust Manifold”.

Nilai “Boost” yang ditetapkan adalah pada kadar 0.6 bar maksimum. Sistem pancitan bahan api enjin ini menggunakan Sistem Pancitan Terus(Direct Injection). Sistem ini merangkumi Pam Bahanapi bertekanan rendah, Pam Bahanapi bertekanan tinggi, “Fuel Rail”, dan unit Pemancit Bahanapi 6 lubang.

Sistem pengurusan enjin diserahkan kepada ECU Bosch Motronic MED 17.5. Kuasa yang dapat dihamburkan oleh enjin ini ialah 118hp pada 4,000-6,000rpm dan daya kilas sebanyak 230Nm pada 1,500-3,650rpm.

Enjin EA888 generasi pertama ini dikeluarkan sehingga tahun 2010 setelah 3 tahun pengeluarannya yang bermula pada tahun 2007. Berikut merupakan jentera yang dikuasakan oleh enjin generasi pertama ini beserta kod enjin. Kod enjin ini anda boleh lihat pada plat nombor cesi di bahagian pintu kenderaan.

Audi A4 B8 1.8 TFSI – CABA,CABB
Audi A5 8T 1.8 TFSI – CABD
Seat Exeo 1.8 TSI – CABA
VW Passat B6 1.8 TSI – BZB

GENERASI KEDUA

Pada tahun 2008, pihak VW Group melancarkan enjin EA888 1.8 TSI generasi kedua. Eh, generasi pertama keluar hingga 2007-2010, 2008 keluar generasi kedua. Macam mana ni ? Ye Tuan-Tuan. Inilah yang berlaku. Mereka saja buat kita pening. Padahal mereka pun pening sekali.

Kenapa keluar generasi kedua ni ? Sebab utamanya enjin generasi pertama mempunyai banyak masalah. Jadi, pihak VW Group cuba membuat penambahbaikan pada enjin yang baru ini. Bukan itu saja, enjin ini menerima unit Aci Engkol, Piston serta Gegelang Piston yang baru. Selainnya semuanya sama seperti generasi pertama.

Apa lagi yang lain ? Ada Tuan-Tuan. Kuasa enjin ini telah ditala dan mendapat peningkatan kuasa kepada 158hp pada 4,500-6,200rpm dan daya kilas sebanyak 250Nm pada 1,500-4,500rpm.

Jadi, penambahbaikan yang dilakukan ada kesan atau tidak ? Ada Tuan-Tuan.

Makin teruk.

Tak tahu lah nak cakap penambahbaikan atau penambahburukan. Enjin generasi kedua ini mengalami masalah penggunaan minyak enjin yang tinggi. Bahasa pasarnya, enjin ini kuat makan minyak hitam. Hal ini disebabkan Gegelang Piston yang baru ini terlampau nipis.

Antara jentera yang menggunakan enjin generasi kedua ini adalah seperti berikut :-

Volkswagen Passat B6 1.8 TSI – CDAA
Volkswagen Passat B7 1.8 TSI – CDAA
Volkswagen CC 1.8 TSI – CDAA
Audi TT Mk2 8J 1.8 TFSI – CDAA
Audi A3 8P 1.8 TFSI – CDAA
Audi A4 B7 1.8 TFSI – CDHA, CDHB
Audi A4 B8 1.8 TFSI – CDHA, CDHB
Skoda Yeti 1.8 TSI – CDAB, CDAA
Seat Leon Mk2 – CDAA

GENERASI KETIGA

Enjin EA888 generasi ketiga ini dilancarkan pada tahun 2011. Banyak juga perubahan yang dilakukan pada generasi ketiga ini.

Antaranya ialah, enjin ini menerima unit blok enjin yang baru. Lebih ringan dan dinding yang lebih nipis. Aci Engkol juga ditukar, unit Aci Engkol baru ini hanya mempunyai 4 pengimbang sahaja. Justeru, membuatkan ia lebih ringan. Unit Piston serta Rod Penghubung direka semula. Tak pakai dah rekaan lama.

Perubahan yang paling ketara berlaku ialah enjin ini menerima Kepala Silinder yang baru. Bukan itu sahaja, mekanisma “Variable Valve Timing System” juga diaplikasikan pada kedua-dua Aci Sesondol Masukan dan Ekzos.

Selain itu, mekanisma “Valve Lift” juga ditambah untuk memberikan kuasa optimum. Mekanisma ini berfungsi sekitar 3,100rpm. Sistem Bahanapi jentera ini menerima 8 unit Pemancit Bahanapi dimana 4 unit pada Sistem Pancitan Terus dan 4 lagi sebagai sokongan berfungsi secara tradisional. Unit turbo juga ditukar daripada BorgWarner KKK K03 kepada IHI IS12. Nilai “Boost” yang ditetapkan adalah pada kadar 1.3 bar. Boleh tahan !

Dengan segala perubahan ini, kuasa enjin ini juga melonjak kepada 170hp pada 3,800-6,200rpm dan daya kilas sebanyak 320Nm pada 1,400-3,700rpm. Namun, untuk enjin yang berkod CJEE dan CJSA, kuasan yang dihamburkan lebih sedikit iaitu 177hp pada 5,100-6,200rpm dan daya kilas sebanyak 250Nm pada 1,250-5,000rpm.

Antara jentera yang menggunakan enjin generasi ketiga ini adalah seperti berikut :-

Volkswagen Passat B7 1.8 TSI – CPKA,CPRA (US Market)
Audi A4 B8 1.8 TFSI – CJEB
Audi A5 8T 1.8 TFSI – CJEB
Audi A5 8T 1.8 TFSI – CJEE
Audi TT FV/8S 1.8 TFSI – CJSA

Bermula daripada tahun 2007 hinggalah sekarang, enjin ini sudah berkhidmat lebih kurang 12 tahun. Enjin ini juga telah berevolusi sebanyak 3 kali. Adakah masalah-masalah misteri masih menyelubungi enjin ini ?

Ya. Masih ada.

Di dalam 3 generasi ini, generasi kedua lah yang paling banyak bermasalah. Antaranya :-

– Rantai Pemasaan (Timing Chain) memanjang.
– Bunyi enjin yang sangat bising
– Operasi enjin tidak stabil(enjin tempang)
– Deposit karbon pada “Intake Port”

Generasi ketiga bukan tiada masalah. Ada juga. Masalah “Timing Chain” memanjang masih ada. Namun, masalah enjin bising ketika operasi berjaya diselesaikan dengan menukar unit “Tensioner” yang baru.

Masalah deposit karbon juga tidak berlaku kerana enjin generasi ketiga mempunyai “Pemancit Bahanapi” yang terletak di “Intake Manifold”. Apabila pancitan berlaku, secara tidak langsung ia juga memastikan kawasan “Intake Port” sentiasa bersih daripada karbon. Bagi unit turbo, pelarasan pada “Actuator” hendaklah dilakukan setiap 100,000km

Jika kita lihat pada perspektif berbeza, enjin ini sebenarnya agak hebat. Dengan kapasiti sekecil ini ia mampu menghamburkan kuasa hampir 200hp dan daya kilas sekitar 250Nm minimum.

Perlu diingatkan bahawa enjin ini untuk kegunaan harian dan bukannya perlumbaan. Jadi adalah tidak adil untuk membandingkannya dengan enjin yang dibuat khusus untuk jentera sukan.

Enjin ini walaupun agak manja, jika dijaga dengan baik ia mampu bertahan lama. Pakai minyak enjin berkualiti dan jaga disiplin servis berkala dan poket yang sentiasa penuh adalah contoh terbaik.

Untuk enjin generasi pertama dan ketiga, jangka hayat enjin adalah dalam lingkungan 250,000km-300,000km. Untuk generasi kedua, lingkungan 100,000km.

Di Malaysia ini, antara yang terkesan dengan enjin EA888 generasi kedua adalah pemilik VW Passat B7, Audi A4 B7 dan B8 Pre Facelift. Jika anda pakai kereta ini, jangan terlalu fikirkan sangat masalah enjin ini. Pakai sahaja sehingga enjin ini habis hayatnya dan keluarkan sejumlah besar wang untuk buat “General Overhaul”. Hal ini kerana jika anda fikir sangat sehingga sakit kepala keadaan tidak akan berubah. “Just enjoy your drive while you can” bak kata Mat Saleh.

Jadi Tuan-Tuan, inilah dia serba sedikit bingkisan untuk topik enjin EA888 1.8L ini. Untuk artikel akan datang, kita kupas bersama perihal varian 2.0L.

Google ads
Back to top button