BuletinMotosikal

KAWASAKI H2 2019 KINI LEBIH BERKUASA. BERTAMBAH 30 KUASA KUDA!

Sedangkan yang sedia ada di pasaran pun dah cukup berkuasa, ini pula pengumuman baru dari Kawasaki Global bahawa mereka akan menaiktaraf model super sport mereka Kawasaki H2 dan H2 Carbon.

Ia bukanlah setakat tukar coverset dan bagi replika motor dan sijil tapi motor serupa itu juga dari tahun kelahiran P.Ramlee. Kawasaki benar-benar telah meningkatkan keupayaan enjin untuk model 2019. 

Berapa banyak?

Peningkatan sebanyak 30.5 kuasa kuda. Memang gila kalau difikirkan sebab peningkatan sehingga 15 peratus ni biasanya berlaku hanya apabila pengeluar meningkatkan kapasiti enjin, atau menukar terus komposisi enjin baru dengan teknologi moden. Tapi, Kawasaki masih dengan enjin sama.

Peningkatan daripada 197.3 kuasa kuda pada model sekarang kepada 227.8 kuas kuda untuk model 2019 ini sudah tentu kelihatan “menakutkan” bagi sesiapa sahaja.

Panigale tu H2 boleh buat sarapan pagi, HP4 sambil minum kopi dan kunyak goreng pisang petang-petang.

Dan walaupun kuasa lebih banyak, tahap efisiensi bahanapinya masih sama seperti model sebelumnya. Maksudnya laju tapi masih jimat minyak. 

Dah kalau beli motor harga H2, kau ingat Abang Japar peduli ke minyak RM10 seliter pun Abang bayar.

OK. Maaf, ter emosi pulak.

Jadi, bagaimana kuasa ekstra ini diperolehi? Kawasaki telah merekabentuk penapis udara baru, ruang intake baru serta kotak komputer baru yang secara asasnya hampir sama dengan Kawasaki H2 SX versi touring. Akhir sekali, ialah rekaan supercharge yang menjadi “nadi” peningkatan kuasa H2 ini telah direka semula untuk menjadi lebih “seimbang” kata Kawasaki.

Dari segi kerangka, tidak banyak perubahan, cuma sistem brek asal Brembo digantikan dengan model lebih baru – Brembo Stylema yang didakwa mempunyai aliran pengudaraan yang lebih baik.

Di bahagian kosmetik, H2 keluaran 2019 sama persis seperti model sebelumnya cuma ada beberapa perubahan kecil, misalnya pengangkup brek hadapan rekaan baru dan juga logo “super Charged” pada bahagian penutup crank case.

Pada bahagian panel instrumentasi, rekaan dashboard baru H2 2019 ini lebih mirip kepada rupa dari H2 SX Sport tourer yang menggunakan paparan TFT berwarna penuh dengan display positif (berbanding negarif pada model sekarang)

Akhir sekali ialah sambungan terus aplikasi Kawasaki Rideology yang kini merupakan ciri standard pada H2 baru ini.

GALERI

Google ads
Back to top button