" "
Buletin

KELONGGARAN PKP, UMW TOYOTA MAHU PERCEPATKAN PROSES CKD MODEL HEV

Toyota dan Lexus mengumumkan bahawa ia telah memulakan kembali operasi jualan, servis serta pengilangannya bermula 16 Ogos 2021. Ia berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan 11 aktiviti ekonomi kembali beroperasi selepas terpaksa dihentikan sejak 1 Jun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Pengumuman yang sudah lama ditunggu-tunggu itu nyata memberi kelegaan kepada industri automotif negara yang terjejas teruk akibat PKP. Kini operasi pengilangan kenderaan, alat ganti dan sistem boleh beroperasi seperti biasa. 

“Kami sangat mengalu-alukan kebenaran ini kerana PKP memberi cabaran besar buat industri. Perkembangan ini membolehkan kami membantu memulihkan ekonomi negara,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. 

Kebenaran untuk kembali beroperasi membolehkan UMW Toyota memenuhi tempahan yang tertunggak. Dua buah kilang pemasangan dan kilang berkainan dalam kumpulan UMW Toyota Motor kini boleh beroperasi mengikut peratusan pekerja yang sudah menerima vaksin. Syarikat telah menjalankan program vaksinasi. Jadi, semua kakitangan sudah atau bakal divaksin tidak lama lagi.  

“Walaupun jumlah jualan pada Jun dan Julai kurang memberangsangkan, kami masih mempunyai tempahan yang positif melibatkan pelbagai model. Kami akan berusaha untuk meminimumkan impak ke atas perniagaan dan pelanggan. dengan PKP diringankan, kami boleh menyusun perancangan dengan lebih yakin. 

“Sebagai contoh, kami sedang bersedia untuk pemasangan model PHEV Toyota secepat mungkin, memandangkan masa selama dua bulan sudah dibazirkan,” kata Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Ravindran menegaskan pihaknya akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Ia akan dilaksanakan di semua peringkat demi memastikan keselamatan pekerja dan pelanggan. 

Google ads
Back to top button