Motosikal

MOTOR SUZUKI BERENJIN ROTARI? BETUL KE NI?

Retrofitted? Bukan. Mungkin ramai dari kita yang tak tahu bahawa dalam industri motosikal, motor dengan enjin rotari pernah dibina secara komersial. Ia adalah era dimana kebangkitan teknologi membuatkan jurutera beranggapan bahawa mereka bakal mendahului zaman. Dalam dunia automotif, ia sering berinovasi walaupun sesetengah teknologi tersebut pada hari ini kelihatan lucu.

SUzuki RE5 (1)

Menggunakan enjin rotari pada sebuah motosikal kedengarannya tak praktikal langsung. Namun itulah yang telah dilakukan oleh Shigeyasu Kamiya dari Suzuki Motor Corporation sebagai idea baru bilamana ilham ini mula dicetuskan seawal 1960-an lagi.

Pada 1970, mereka bekerjasama dengan firma NSU untuk menghasilkan model RE5. Zaman itu juga menyaksikan dua pengeluar Eropah turut berlumba menghasilkannya. Norton dan DKW turut berusaha menghasilkan produk berasaskan enjin bukan selinder ini.

Motifnya mungkin semudah mempercayai teori lebih kecil enjin akan menghasilkan kuasa lebih tinggi. Namun jauh dari sangkaan pengeluar ini, terlalu banyak aspek yang perlu di selesaikan untuk menjamin motosikal ini kekal praktikal.

SUzuki RE5 (2)

Prototaip enjin ini juga telah diketengahkan oleh kesemua pengeluar utama motosikal Jepun, Honda, Yamaha dan Kawasaki. Tetapi hanya Suzuki sahaja yang berani untuk meneruskannya untuk produksi.

Dihasilkan selama 3 tahun bermula 1974 dan dihentikan pengeluarannya pada 1977. Satu perkara yang pasti, ia bukanlah sesuatu yang ingin anda bina untuk pengeluaran komersial. Realiti di sebalik sistem ringkas enjin tanpa omboh ini ialah, ia tidaklah seringkas mana.

SUzuki RE5 (3)

Secara teori, struktur enjin hanya menempatkan sebuah rotor untuk bergerak. Namun yang menjadi masalah ialah peralatan sekunder yang dipasangkan seperti sistem penyejukan air dan minyak dan susur laluan ekzos yang lebih kompleks.

Enjin ini memerlukan 3 tangki pelinciran berbeza. 1 untuk takungan pelincir, satu untuk kotak gear dan satu lagi digelar ‘total lost tank’. Ia juga menggunakan 2 pam pelincir untuk mengepam pelincir ke seluruh bahagian dan satu pam berasingan digunakan untuk melincirkan bahagian penebat yang mana untuk sebuah rotari, penebat enjin umpama ‘nyawa’.

SUzuki RE5 (4)

Mekanisma pencucuhan juga memerlukan 2 titik berbeza untuk menyalakan palam pencucuh NGK Pallladium, satu dan seumpamanya yang dibuat untuk industri. Bila kesemua ini digabungkan, lahirlah sebuah motosikal yang berat. Ia tidak lagi ekonomikal.

Walaupun banyak pemandu uji mengakui ia adalah jenis motosikal yang bagus pengendaliannya, namun keterbatasan praktikal memaksa ia hanya tinggal sejarah. Menjadi inovator dalam industri mungkin boleh buat seseorang menabik dada. Gagal tidak mengapa. Sekurang-kurangnya Suzuki memang berani!

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button