
KEMPEN COFFEE BREAK PETRONAS CECAH USIA KE-25 TAHUN. TAWARAN MENARIK SEMPENA TAHUN BARU CINA
PETRONAS Dagangan Berhad (PBD) meraikan ulang tahun ke-25 Kempen Coffee Break sempena musim perayaan Tahun Baru Cina yang bermula pada 29 sehingga 30 Januari di seluruh negara.
Kempen istimewa yang menawarkan kopi, snek, pemeriksaan kesihatan dan kenderaan serta diskaun baucar secara percuma itu akan diteruskan pada 5 hingga 6 Februari depan.
Ia melibatkan sebanyak 150 stesen PETRONAS di seluruh negara.

Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias berkata PDB memandang serius tentang keselamatan jalan raya.
“Justeru, selama 25 tahun, kami telah menjadi trusted travel partner untuk para pelanggan melalui hidangan kopi dan makanan ringan secara percuma untuk memastikan pengguna jalan raya dapat berehat sebentar untuk menghilangkan keletihan ketika memandu.
“Kempen ini sentiasa memberi pendedahan dan mengingatkan mereka agar berhenti berehat apabila keletihan ketika perjalanan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PETRONAS Coffee Break ke-25 di stesen PETRONAS Solaris Putra, Seri Kembangan, Selangor.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Ahmad Adly menambah, PBD turut menjalin kerjasama bersama Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. untuk menjalankan pemeriksaan motosikal secara percuma kepada para pengguna jalan raya.
Beliau menambah, PETRONAS AutoExpert juga akan menawarkan pemeriksaan 18-poin secara percuma di 11 bengkelnya yang terletak sekitar Lembah Klang dan tiga lagi di Negeri Sembilan.
“Sepanjang kempen berkenaan, Bahagian Keselamatan Jalan Raya akan menjalankan program advokasi di lebih 50 stesen untuk berkongsi tips keselamatan jalan raya.
“Selain itu, St. John Ambulans Malaysia tidak ketinggalan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma di stesen-stesen pilihan,” ujarnya.

Beliau memberitahu Nestle Products Sdn. Bhd. terus menjadi rakan kongsi utama kempen terbabit dengan menyumbang Nestle Dairy Free Oat dan Nescafe Latte Milk Tea.
Katanya, tawaran lain termasuk Revive Salted Lemon oleh Etika Sdn. Bhd, gula-gula Dequadin (iNova Pharmaceuticals) serta Mesra Chocolate Muffins.

“Baucar diskaun bernilai RM50 juga akan diberikan sepanjang kempen kali ini.
“Shopee Malaysia akan mengedarkan RM18 Ang Pow kepada pengguna baharu serta pulangan tunai 10 peratus syiling untuk perbelanjaan minimum RM65 manakala pengguna sedia dihadkan kepada 8,000 syiling.
“Grab pula akan memberikan diskaun 2 x RM10 untuk perkhidmatan GrabMart dengan perbelanjaan minimum RM30,” katanya.

Ahmad Adly berkata bagi penggemar baju T, PRYSM akan menawarkan baju T 8th F1 World Constructor’s Championship terbaharu pada harga diskaun RM25.
Katanya, pemandu juga akan menerima Insurans Personal Accident secara percuma oleh AXXESS bernilai RM25,000 selama satu bulan.

“PDB tidak ketinggalan menawarkan RM18 Ang Pow terdiri daripada diskaun untuk Setel dan barangan jenama PRYSM,” jelasnya.
Untuk keterangan lanjut mengenai Kempen Coffee Break Petronas boleh melayari laman www.mymesra.com.my
- BACA: PELANTAR MINYAK PETRONAS BOLEH MELETUP JIKA DILANGGAR KAPAL HANYUT MILIK SYARIKAT INDONESIA
- BACA: TIADA LAGI PETRONAS SRT. MUSIM BAHARU DIKENALI SEBAGAI RNF MOTOGP RACING
- BACA: HARGA MINYAK NAIK, LONJAK UNTUNG PETRONAS DAGANGAN
- BACA: BELI MINYAK ENJIN DAN PRODUK TULEN PETRONAS DI LAZADA DAN SHOPEE SEKARANG